SEARCH

Thursday, December 27, 2012

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


[PANAS] Bekas Anggota Ruffedge Didakwa Rogol Anak Tiri - video inside

Posted: 26 Dec 2012 05:17 PM PST

Ampang – Seorang bekas anggota kumpulan Ruffedge hari ini didakwa merogol anak tirinya berumur 14 tahun, Februari lalu.

Lelaki berusia 37 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah apabila tuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Roszianayati Ahmad.

Dia yang memakai baju kemeja-T berwarna biru didakwa melakukan perbuatan berkenaan di sebuah rumah di Taman Gombak Jaya, jam 9 pagi pada 9 Februari lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 376 (2)(d) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebat, jika disabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Dalina Ali tidak menawarkan jaminan atas alasan tertuduh mempunyai hubungan kekeluargaan dengan mangsa.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar diberi jaminan kerana dia perlu menyara kedua anak kandungnya.

Roszianayati kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut mengenakan syarat tambahan iaitu tertuduh tidak boleh tinggal serumah dengan mangsa dan tidak mengganggu mangsa.

"Tertuduh juga diarah melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali dan menyerahkan pasport kepada mahkamah," katanya.

Mahkamah menetapkan 25 Januari depan sebagai sebutan semula kes. – SH

[EDISI HARAMJADAH] Peruntukan Katil Hospital Pun Kena Kebas

Posted: 26 Dec 2012 04:05 PM PST

Pengerusi Biro Kepenggunaan KEADILAN, Yahya Sahri bakal membongkar penyelewengan dan penipuan Umno BN terhadap projek hospital kerajaan, khususnya mengenai peruntukan katil buat pesakit dan hospital baru yang gagal dibina untuk setiap negeri. Gambar hiasan

Beliau berkata, kerajaan sepatutnya menyediakan peruntukan 60,000 katil hospital untuk lebih 28 juta rakyat, tetapi perjanjian itu dilanggar apabila jumlah yang disediakan tidak mencukupi.

"Apa yang berlaku sekarang, hanya ada 30,000 katil di setiap hospital seluruh negara, iaitu separuh daripada yang diperuntukkan," jelasnya kepada Keadilan Daily.

Bagaimanapun, kata Yahya, butiran lanjut mengenai penyelewengan tersebut akan didedahkan beliau pada sidang media 2 Januari.

Ketua Cabang Tanjung Karang itu turut mempertikai pengumuman kerajaan untuk membina hospital di setiap negeri, tetapi hingga sekarang proses pembinaan masih tidak berjalan.

"Konon beriya-beriya umum, buat acara pecah tanah dan sebagainya. Tapi pembinaan tak ada.

Itu yang saya nak persoalkan nanti, dan saya ada jawapan untuk kedua-dua isu ini," katanya.

"Ia juga bagi menunjukkan janji kerajaan untuk menyediakan khidmat kesihatan yang cemerlang kepada rakyat tidak ditunaikan," sambung beliau.

Sebelum ini, Yahya mendedahkan seorang bekas pegawai tertinggi polis memiliki aset berupa 10 unit rumah persendirian di sekitar Kuala Lumpur.

Kemudian, beliau mempersoal isu pemberhentian 37 pekerja kilang kelapa sawit (KKS) Bukit Talang, yang dimiliki anak syarikat perladangan konglomerat Sime Darby berusia 60 tahun.

Yahya turut membongkar isu air mineral yang diedar BN Selangor dalam kempen politik dikesan melanggar pelbagai peraturan, malah status halalnya diragui.

"Seperti yang saya beritahu sebelum ini, setiap minggu akan ada penyelewengan Umno BN yang akan saya dedahkan sehinggalah Pilihan Raya Umum ke-13," katanya.

Mereka Mengaku Menghalang Konvoi Oren, Patutkah Polis Berdiam Diri?

Posted: 26 Dec 2012 06:58 AM PST

Konvoi Jelajah Oren: 'Kami memang rancang sekatan'

JEMPOL - Pemuda Umno bahagian Jempol mendakwa, insiden kekecohan yang berlaku pada Jelajah Oren 'Selamatkan Felda' di Felda Bukit Rokan Utara Ahad lalu sebenarnya berpunca daripada tindakan provokasi pihak berkenaan.

Ketuanya, Mohd Nizam Aman berkata, tidak timbul isu pemuda Barisan Nasional (BN) bersama penduduk bertindak agresif semasa kejadian seperti didakwa.

"Keadaan mula tegang ketika konvoi jelajah terbabit sampai ke persimpangan Felda Bukit Rokan Utara yang dicetuskan oleh kumpulan itu.

"Saya tidak berada di lokasi kerana mengadakan sekatan di Felda Bukit Rokan Barat. Tapi saya diberitahu penduduk yang juga terdiri daripada pemuda BN telah menghalang perjalanan mereka kerana sejak awal lagi kami semua tidak setuju kumpulan itu masuk ke Felda," katanya.

Menurutnya, mereka sememangnya sejak awal lagi merancang mengadakan sekatan jalan di lebih 30 tanah rancangan di sana sebaik sahaja mengetahui kehadiran konvoi jelajah berkenaan.

Bagaimanapun katanya, tujuan sekatan bukan untuk mencetuskan huru-hara tetapi hanya untuk menghalang konvoi itu terus diadakan.

"Kami generasi kedua Felda menolak kehadiran mereka. Tiada sesiapa pun mengalu-alukannya.

"Tiada apa yang perlu diselamatkan kerana nasib peneroka semakin baik di bawah Felda. Lagipun selama ini tidak pernah mana-mana parti politik selain Barisan Nasional (BN) yang membantu peneroka," katanya.

Mohd Nizam berkata, dia bagaimanapun kesal dengan insiden yang berlaku kerana dua pemuda BN juga turut mengalami cedera ringan.

Sementara itu, penganjur konvoi tersebut menyifatkan ia kejadian terburuk dan terhebat di Negeri Sembilan berbanding di negeri lain.

Pengarah Program Kembara Oren Negeri Sembilan, Abdul Rahman Ramli berkata, kekecohan yang tidak disangka-sangka itu turut memberi kesan kepada peserta konvoi apabila dua daripada mereka cedera.

Katanya, kejadian berlaku apabila rombongan konvoi itu tiba berdekatan persimpangan Felda Bukit Rokan Utara dan kemudiannya dihalang oleh beberapa individu.

"Semasa perbincangan sedang dijalankan, secara tiba-tiba kumpulan yang menghalang konvoi Oren ini bertindak agresif, dengan memukul kenderaan pacuan empat roda kami dan secara meluru ke arah Ketua Penerangan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Noraza Muda.

"Pada waktu yang sama, seorang lagi Ahli Jawatankuasa Anak, Razali Rashad turut dipukul, sehingga mendatangkan kecederaan di kening, manakala Noraza cedera di kepala akibat dipukul dengan kayu.

"Melihatkan keadaan Noraza dalam keadaan separuh sedar, kami memberinya rawatan ringan sebelum pasukan polis membantu menghantarnya ke Hospital Jempol untuk mendapatkan rawatan pesakit luar," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya Pas 2 berkata, keadaan Noraza bagaimanapun kini stabil. -SH

Ulasan GB

Sekarang mereka (UMNO BN) telah secara terang membuat pengakuan bahawa mereka menghalang konvoi oren berkenaan. Akibat dari "halangan" itu mereka bertindak liar dan ganas terhadap para peserta konvoi.

"Kami generasi kedua Felda menolak kehadiran mereka. Tiada sesiapa pun mengalu-alukannya." Fasal yang mana di dalam Undang-undang yang mereka gunakan boleh menghalang ornag lain untuk memasuki mana-mana kawasan di dalam negara ini?

Undang-undang ciptaan dan rekaan sendiri lantaran takut dengan konvoi berkenaan?

Kemudian setelah ada pengakuan sejelas itu, apa pula tindakan polis selanjutnya terhadap mereka yang mencabul undang-undang ni?

Bukankah sepatutnya mereka ditangkap dan ditahan kerana mencabuli perlembagaan dan undang-undang negara?

Menteri Pengangkutan Pentingkan Kroni, Rompak Duit Rakyat

Posted: 26 Dec 2012 03:34 AM PST

Kenyataan Menteri Pengangkutan bahawa pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) diteruskan, bukti beliau lebih pentingkan kroni berbanding bantahan dan kehendak rakyat, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Teja, Chang Lih Kang.

Mengikut Datuk Seri Kong Cho Ha, Putrajaya akan tetap teruskan operasi AES walaupun Jabatan Peguam Negara membeku semua prosiding kes saman, minggu lalu.

Beliau turut mengakui pelaksanaan sistem itu mendapat tentangan rakyat dan bermasalah dari sudut perundangan, tetapi tetap berdegil tidak akan berhenti mengeluarkan saman.

"Kedegilan menteri seperti Cho Ha jelas menunjukkan dia hanya menjaga kepentingan kroni, bukan rakyat. Padahal semua pihak berpandangan sistem itu ada masalah," kata Lih Kang ketika dihubungi.

Dua syarikat yang mengendali AES ialah Beta Tegap Sdn Bhd dan ATES Sdn Bhd, yang mempunyai hubungan dengan Umno Johor dan menteri dari MCA.

Kedua-dua syarikat itu mensasarkan 10 juta saman dikeluarkan setahun dan bakal mendapat keuntungan sehingga RM700 juta hasil kutipan saman.

Kerajaan berbelanja RM800 juta untuk menyediakan kamera di 831 lokasi.

Kerajaan juga didakwa menyediakan kos senggaraan sehingga RM3.8 bilion untuk lima tahun. Sepatutnya, kerajaan mengambil hasil saman AES, bukan bekerjasama dengan syarikat swasta.

"Jika Cho Ha menteri bermaruah, beliau patut malu dan letak jawatan. Jika tidak, rakyat sendiri akan pecat beliau dalam pilihan raya nanti," tegas Lih Kang.

Menurutnya, penerusan saman AES merupakan usaha pimpinan Umno BN untuk memeras wang rakyat.

"Kedegilan pemerintah yang tetap mahu laksana AES amat mencurigakan. Tiada sebab lain, mereka hanya mahu terus rompak wang rakyat," katanya.

Sejak dimulakan pada 23 September lalu, sebanyak 300,000 saman AES dikeluarkan terhadap pengguna jalan raya.

AES ditentang ekoran terlalu banyak kelemahan termasuk had laju tidak relevan dan kamera di sepanjang lebuh raya yang terlalu banyak sehingga menyebabkan saman berganda. -KD

Putrajaya kekalkan kamera perangkap kelajuan AES walaupun saman dibekukan

KUALA LUMPUR, 26 Dis — Putrajaya akan meneruskan operasi kamera perangkap kelajuan kontroversi Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) walaupun pembekuan pada pendengaran saman oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) minggu lepas, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha.

Kong memberitahu The Malaysian Insider pihak berkuasa tidak akan berhenti mengeluarkan saman AES walaupun mendapat tentangan hebat daripada orang ramai dan pemimpin Pakatan Rakyat (PR).

"Kerajaan tidak akan menghentikan saman AES ini, seperti yang sudah diputuskan dalam Mesyuarat Kabinet lalu," kata Kong merujuk kepada kelulusan perbelanjaan dianggarkan kementerian itu di bawah Bajet 2013 bulan lepas.

Setiausaha agung MCA itu akhirnya menjelaskan isu berkaitan pemberhentian semua prosiding mahkamah berkaitan dengan saman AES oleh AGC untuk mengkaji isu-isu undang-undang yang dibangkitkan, selepas seminggu isu ini berada dalam keadaan tergantung.

"Saman itu masih sah dan akan terus dikeluarkan. Keputusan pembekuan itu terpulanglah kepada AGC untuk membuat keputusan," jelas beliau menunjukkan bahawa kementeriannya tidak campur tangan dalam perkara ini.

Sementara itu, Kong juga mengakui saman AES tersebut bermasalah dalam sudut perundangan dan kementeriannya sedang mencari jalan untuk menyelesaikan perkara yang dibangkitkan tersebut.

"Saya fikir tidak lama lagi masalah ini akan diselesaikan," jelas beliau.

Kong juga memberitahu AGC sudah dalam peringkat perbincangan dengan Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk menyelesaikan isu ini secepat mungkin.

Pembekuan saman oleh AGC berpunca daripada rungutan pelbagai pihak terhadap sistem AES yang sudah mengeluarkan hampir 300,000 saman sejak ia dimulakan pada 23 September lalu.

Sejurus selepas itu Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar mengisytiharkan kontroversi berterusan ke atas sistem penguatkuasaan lalu lintas adalah "permainan politik" dan mencabar Putrajaya untuk menangguhkan operasi AES.

Ahli parlimen pembangkang itu menuduh Putrajaya tidak telus dalam berurusan dengan kedua-dua syarikat — Beta Tegap Sdn Bhd dan Ates Sdn Bhd — diberi kontrak untuk memasang dan menjalankan sistem kamera-perangkap kelajuan yang mencetuskan kemarahan orang ramai terhadap apa yang dilihat sebagai penswastaan penguatkuasaan undang-undang lalu lintas.

Mahfuz, yang juga pengerusi gerakan anti-AES Kumpulan Anti Saman Ekor (KASE) juga menuntut JPJ untuk mengembalikan wang pesalah trafik yang sudah membayar denda mereka.

The Malaysian Insider melaporkan minggu lalu Putrajaya mempertimbangkan untuk menggantung pelaksanaan sistem tersebut kerana saman berganda dengan perangkap kelajuan polis di sepanjang lebuh raya.

Projek swasta bernilai RM700 juta bermula pada bulan September dengan 14 kamera fasa percubaan tetapi JPJ berikrar untuk melancarkan sebanyak 831 kamera menjelang akhir 2013 untuk menangkap pemandu laju dan mencegah lebih banyak kematian di jalan raya.

Pihak polis, yang menguatkuasakan undang-undang hadlaju berkata, mereka akan meneruskan penguatkuasaan dan meletakkan perangkap kelajuan mudah alih berhampiran kamera AES, meningkatkan prospek saman berganda untuk pemandu ingkar.
.

[BERGAMBAR] Detik Cemas Banjir Di Setiu Terengganu

Posted: 25 Dec 2012 11:44 PM PST

Dibawa arus... Seorang pemuda Khairi Said, 27, yang sedang menunggang motosikal mengalami detik cemas apabila nyaris dihanyutkan arus deras ketika melalui Jalan Permaisuri-Penarik di Kampung Tasik di Setiu, Terengganu, Selasa Beliau yang bertekad meredah banjir untuk ke tempat kerja gagal mengawal motosikalnya, lalu dihanyutkan arus deras di kawasan sawah terbiar berhampiran Sungai Setiu.

Kejadian berlaku sungguh pantas dan orang ramai yang berada dikawasan itu yang menyedari kejadian tersebut turut membantu mangsa.

Jurufoto BERNAMA Arjasneh Ahmad yang kebetulan berada di situ sempat merakamkan detik-detik cemas itu.

Kelihatan Khairi juga turut dihanyutkan arus deras setelah usahanya untuk menyelamatkan motosikal miliknya gagal. Foto ihsan: BERNAMA


Isu Tapis Calon: Siasat Najib Razak Dan Taib Mahmud Dahulu!

Posted: 25 Dec 2012 09:41 PM PST

Orang pertama yang harus disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, jika benar UMNO betul-betul serius mahu menapis calonnya yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) nanti.

"Walaupun gaji Perdana Menteri atau Menteri Kabinet boleh dikatakan tinggi, pastinya ia tidak begitu tinggi sehingga begitu mudah mampu berbelanja sehingga RM80,000 untuk majlis hari jadinya dan RM410,000 untuk majlis pertunangan anak perempuan beliau, dan juga barangan mewah yang diperagakan isterinya, Rosmah Mansor yang diketahui umum memiliki sejumlah besar beg tangan Birkin," kata Ahli Parlimen DAP Serdang, Teo Nie Ching.

Nie Ching dalam kenyataannya mempertikaikan keikhlasan Najib Razak untuk membersihkan imej UMNO-BN dengan menapis calon BN untuk PRU-13.

Menurutnya, kerjaya politik Najib bermula dengan mewarisi kerusi ayahnya pada usia 23 tahun, dan memegang jawatan menteri pada usia 25 tahun sehingga dilantik menjadi Perdana Menteri pada 2009 setelah Tun Abdullah Ahmad Badawi berundur.

"Saya pasti ramai yang tertanya-tanya bagaimana beliau dapat mengumpulkan begitu banyak kekayaan ketika menjadi ahli politik sepenuh masa sejak usia pertengahan 20-an," ujar Nie Ching.

Beliau juga menambah seorang lagi ahli politik yang mesti disiasat secepat mungkin ialah Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Taib Mahmud.

Menurut beliau, laporan sebuah NGO yang berpusat di Switzerland, Bruno Manser Fund menganggarkan aset keluarga Taib Mahmud bernilai RM64 bilion, dengan harta kekayaan Taib sendiri bernilai RM46 bilion.

"Adakah Perdana Menteri dan Pengerusi BN akan menukar fikirannya dan tidak mahu calon BN disiasat untuk amalan rasuah?" ujar Nie Ching lagi.

Beliau yang juga Timbalan Setiausaha Publisiti DAP turut menyarankan supaya calon BN melakukan pengisytiharan harta secara terbuka sekiranya mereka benar-benar serius mahu mempamerkan imej yang lebih bersih.

"Kami menyeru Perdana Menteri Najib Razak dan BN untuk menunjukkan kepada rakyat bahawa mereka boleh berubah, jika tidak mereka mesti bersedia untuk diubah oleh rakyat pada PRU-13 nanti," tambah beliau. – Roketkini

No comments: