SEARCH

Monday, November 12, 2012

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Tindakan UMNO Guna Kem Tentera Diselar

Posted: 11 Nov 2012 05:04 PM PST

Seremban: PKR hari ini merasa pelik dengan tindakan Umno menggunakan kem tentera untuk satu program anjurannya dan kesal kenapa pihak tentera yang sepatutnya berkecuali dan 'apolitical' membenarkan premis mereka digunakan oleh parti politik.

Ahli Dewan Undangan Negeri Sikamat dari PKR, Aminuddin Harun dalam sidang akhbar tengahari tadi, mendedahkan kepada media sepucuk surat pekeliling yang dipercayai ditandatangani dan dikirimkan oleh Ketua Bahagian Umno Seremban, Datuk Ishak Ismail kepada semua penduduk Sikamat.

Beliau menjemput penduduk hadir ke 'Majlis Jamuan Mesra Rakyat bersama Warga Kem Sikamat' pada malam ini di Perkarangan Kem Rejimen Ke-4, Artileri DiRaja Malaysia, Sikamat (Kem Sikamat).

"Saya kesal kerana Umno dibenarkan mengadakan program dalam kem tentera itu sendiri.

Surat jemputan mempunyai kepala surat (letter head) berlambang Umno.

"Apa yang mengejutkan Pegawai Pemerintah Kem Sikamat turut dijadualkan memberi ucapan pada program tersebut malam ini.

Sikap kecuali 'apolitical' tentera sudah tidak ada lagi.

"Selain itu Ketua Umno Bahagian Seremban juga dijadualkan berucap. Bagi pihak PKR dan Pakatan Rakyat, saya amat risau dengan cara kempen dalam kem tentera.

Sepatutnya tentera bersikap berkecuali.

"Saya mahu Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang turut dijadualkan berucap pada malam ini memberi penjelasan apakah parti politik dibenarkan menganjurkan program dalam kem tentera.

"Jika dibenarkan maka saya selaku ADUN di kawasan ini juga ingin mengadakan program mesra rakyat bersama warga Kem Sikamat dan semua penduduk Sikamat dalam perkarangan Kem Sikamat," kata Aminuddin dengan nada sinis.

Aminuddin juga mempersoalkan apakah kem tentera yang sepatutnya menjadi kawasan larangan boleh membenarkan orang awam hadir.

"Apakah rahsia dan keselamatan kem tentera tidak terdedah kepada umum? Saya harap Pegawai Pemerintah tentera memikirkan semula aspek ini," kata Aminuddin. -FMT

Penulis Fesyen Dikecam, Persenda Pakaian Wanita Islam!

Posted: 11 Nov 2012 03:41 PM PST


Seorang penulis fesyen dikecam oleh orang ramai kerana tulisannya yang mengutuk pakaian wanita Islam iaitu jubah dan burqa.

Annette Lamothe-Ramos dengan tulisannya yang berjudul "I Walked Around in a Burqa All Day (And I'm Not Muslim)" telah menceritakan pengalamannya memakai jubah dan burqa sewaktu bersiar-siar selama 6 jam di kota New York.

Annette yang bertugas sebagai fesyen editor diberikan tugas oleh orang atasannya untuk mendalami sendiri pengalaman menjadi orang 'Muslim' untuk seketika dengan memakai pakaian yang menutup aurat.

Dalam penulisannya, Annette telah mengambarkan pelbagai perkara dan perasaannya mengenai jubah dan burqa sewaktu berjalan-jalan.

Sebelum ini, dia tidak pernah mengetahui apa-apa tentang Islam apatah lagi mengenai pakaian wanita Islam.

Jadi, Annette ada melakukan sedikit kajian mengenai jubah dan burqa di Internet supaya dia tahu di mana untuk dia membeli pakaian-pakaian itu.

Annette dengan jelas menyatakan dia tidak suka memakai jubah dan burqa kerana berasa terlalu panas.

Malah, dia menyatakan pandangan umum terhadap dirinya ketika memakai jubah adalah seperti orang jahat. Bukan itu sahaja, anjing peliharaannya juga takut untuk memandang dirinya.

"My dog Bowie was really confused by my outfit. The only other time I'd seen her this freaked out by me was when I dressed up as a pregnant nun on Halloween.

"The final look. We hadn't left my house but I was already bitching about how hot it was. I wanted to go naked under the abaya but since burqas are supposed to be outwear, I wore it over a crop top and the shortest shorts I could find in my closet.

"No one really paid much attention to me except the woman on the bench behind me who was sitting with her children. She dragged them to the other end of the platform when she saw me step onto the train. What a bitch!" tulis Annette.


Selain itu juga, Annette juga menggambarkan jubah yang dipakainya tidak ubah seperti watak Batman dan amat sesuai dipakai sewaktu hujan turun.

Setiap penceritaan Annette dalam penulisannya benar-benar telah mengguris hati semua wanita Islam di seluruh dunia.

Untuk membaca penulisan penuhnya, boleh layari di sini http://goo.gl/2qWEu. -mynewshub

[PELIK] Bekas Anggota Polis 6 Kali Mengundi Tiada Kad Pengenalan

Posted: 11 Nov 2012 06:53 AM PST


Kulim - Setelah berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selama 32 tahun, seorang lans koperal terkejut apabila dia menerima surat pihak berkuasa, mengatakan dia tidak memiliki kewarganegaraan Malaysia.

Lelaki berusia 55 tahun itu, yang hanya mahu dikenali sebagai Mat, mendakwa masalah berkenaan timbul apabila dia diarahkan memohon kad pengenalan awam oleh Bahagian Perjawatan di Bukit Aman, di mana dia bertugas.

Kad pengenalan awam itu penting kerana dia dijadualkan bersara dua tahun lagi.

Dia terkejut dan kecewa apabila permohonannya ditolak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Menurutnya, dia menunjukkan sijil asal kelahirannya kepada pegawai JPN selepas penolakan itu, tetapi masalahnya masih tidak dapat diatasi.

Mat menunjukkan surat beranaknya kepada Sinar Harian yang menunjukkan dia dilahirkan di Kulim pada 1955. Dia mendakwa memasuki Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 24 April 1980.

Katanya, mengikut penjelasan JPN kepada Bukit Aman, dia tidak miliki kewarganegaraan Malaysia dan disebabkan itu, dia bimbang ia akan menimbulkan pelbagai permasalahan apabila dia bersara.

"Sepanjang 32 tahun saya bertugas dalam PDRM, masalah ini tidak pernah timbul.

Saya sudah enam kali mengundi melalui pos, menggunakan kad kuasa.

Sekiranya saya bukan rakyat Malaysia, bagaimana saya boleh mengundi?" katanya.

Dia mendakwa surat daripada Bukit Aman itu bertarikh 23 Oktober dan salinan surat itu dihantar kepada beberapa pengarah dan penolong pengarah yang bertugas di Bukit Aman.

"Sudah lima kali saya memohon kad pengenalan awam tetapi gagal.

Saya bimbang disebabkan masalah ini, wang pencen dan lain-lain (yang terkumpul) sepanjang saya berkhidmat dengan PDRM dibekukan," katanya.

Dia bercadang membuat laporan polis dan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang didakwa cuai hingga mengakibatkan dia tidak mempunyai taraf kewarganegaraan Malaysia.

"Saya akan saman pihak terlibat. Kerana kecuaian merekalah saya berhadapan dengan masalah ini. Pihak itu tidak seharusnya hukum saya dengan menyatakan saya tidak layak menyertai PDRM.

"Kalau saya tidak layak, bagaimana saya boleh bertugas dengan PDRM selama 32 tahun, menerima BR1M dan banyak kemudahan lain daripada kerajaan?" katanya. -SH

Veteran UMNO Dilarang Mati Dulu, Saluran Satu Penentu Hidup Mati UMNO (?)

Posted: 11 Nov 2012 03:59 AM PST

VVeteran Umno digesa bersedia bantu parti menangi PRU 13

KUALA TERENGGANU, 10 Nov — Anggota Veteran Umno Malaysia harus sentiasa berada dalam keadaan bersedia untuk membantu parti menghadapi pilihan raya umum ke-13 yang akan diadakan pada bila-bila masa. Pemangku Pengerusi Veteran Umno Malaysia Datuk Mohd Zahid Sirat berkata ini kerana pilihan raya umum akan datang bukan sahaja menentukan 'hidup mati' Umno tetapi juga hala tuju bangsa Melayu.

"Pembangkang yang diterajui DAP beria-ia untuk menumbangkan kerajaan BN dan merampas Putrajaya seterusnya mengambil alih pemerintahan di negara ini. "Kalau ini berlaku, segala yang dinikmati kaum pribumi selama ini dikhuatiri akan terjejas dan terhapus sama sekali," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Tahunan Veteran Umno Malaysia ke-5, di sini hari ini.

Untuk itu katanya, seluruh anggota veteran perlu bersatu dan memperkuatkan barisan bagi menghadapi satu pemilihan yang paling getir bagi Umno dan Barisan Nasional.

"Matlamat kita untuk membantu pucuk pimpinan bagi memartabatkan bangsa Melayu dan mencapai kejayaan cemerlang di dalam dan luar negara," katanya.

Mohd Zahid juga berkata bangsa Melayu akan terus teguh dan digeruni jika bersatu padu walaupun berbeza ideologi dan perjuangan.

"Melayu dan bumiputera mesti bersatu dengan mengenepikan segala fahaman atau ideologi demi mengekalkan pemerintahan dan ketuanan Melayu, mendukung tonggak kedaulatan raja-raja serta mempertahankan kesucian agama Islam," katanya. Beliau turut meluahkan rasa bimbang dengan pelbagai gejala negatif termasuk tindakan cuba menodai kesucian agama Islam oleh pihak tertentu.

Sebanyak 545 anggota Veteran Umno dari seluruh negara menghadiri perhimpunan tersebut yang berakhir hari ini. — Bernama

Nafsu Tak Mengira Siapa: Berzina Dengan Lelaki Ketika Suami Di Mekah

Posted: 10 Nov 2012 11:58 PM PST

Dia seorang ustazah bertudung labuh yang berkelulusan dalam bidang agama dari sebuah universiti di Timur Tengah, sebelum ini mengajar di sebuah masjid dan sebuah sekolah rendah di Kota Tinggi, Johor, serta bersuamikan seorang ustaz yang disegani di daerah itu.

Bagaimanapun, di sebalik perwatakan lembut dan alim, ustazah berusia 35 tahun itu sanggup menconteng arang di muka keluarga dan suaminya, apabila ditangkap khalwat bersama seorang duda sebayanya, yang juga bekas rakan sekolahnya dan suami.

Ustazah yang memiliki latar belakang yang kuat berpegang kepada ajaran agama itu memberi alasan kononnya dia tertekan akibat suaminya berpoligami sehingga sanggup menjalinkan hubungan cinta dengan duda terbabit dan lebih mengejutkan, mereka dipercayai pernah beberapa kali terlanjur.

Tembelang ustazah terbabit pecah apabila dia ditangkap khalwat ketika berdua-duaan dengan duda itu baru-baru ini dan mereka dilaporkan mengambil masa hampir setengah jam sebelum membuka pintu rumah kedai yang didiami dengan kedua-duanya dalam keadaan berpakaian lengkap.

Menurut sumber, lebih menyedihkan, ketika kejadian, suami ustazah terbabit berada di Makkah untuk menunaikan haji.

Katanya, sejurus ditangkap berkhalwat, ustazah terbabit menghubungi suaminya untuk memaklumkan kejadian dan terus meminta cerai.

Menurutnya, ustazah terbabit dan suaminya berkahwin pada 1997, tetapi tidak dikurniakan cahaya mata menyebabkan mereka mengambil dua anak angkat termasuk seorang daripadanya dipelihara sejak kecil.

"Wanita itu bertemu dengan duda yang juga bekas rakan sekolahnya ketika perlawanan boling pada awal tahun lalu dan sejak itu hubungan mereka semakin rapat apabila lelaki itu menjadi tempatnya mencurah perasaan dan menagih simpati.

"Ustazah itu memberitahu duda terbabit kononnya dia tertekan kerana suami berkahwin lain sedangkan sebelum ini, dia sendiri bersetuju serta membenarkan suaminya berpoligami dan mereka sama-sama ke mahkamah untuk menguruskan perkahwinan itu.

"Tetapi, sebagai seorang yang ada latar belakang agama, hubungan dengan lelaki lain bukan cara untuk mengatasi tekanan lebih-lebih lagi dia masih berstatus isteri orang dan perhubungan itu mendekatkan mereka dengan maksiat," katanya.

Sumber itu berkata, selepas ditangkap, duda itu pula mengaku dia pernah terlanjur dengan wanita berkenaan, tetapi di pihak ustazah terbabit, dia masih mahu 'menegakkan benang basah' dan menyebarkan berita kononnya dia dianiaya.

Menurutnya, demi menjaga nama baik keluarga dan maruah isteri, suami ustazah terbabit membuat pengakuan kononnya membenarkan duda terbabit menjemput isterinya yang baru pulang daripada rombongan sekolah, sebelum mereka ditangkap khalwat.

Katanya, ketika ditangkap, pasangan terbabit memberi alasan duda terbabit datang untuk menghantarnya pulang ke rumah dan membantu mengangkat beg.

Umno Guna Agama Untuk Raih Keuntungan Politik – Anwar

Posted: 10 Nov 2012 09:03 PM PST

Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Umno BN menggunakan agama untuk mencari keuntungan politik dengan kali ini, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah menjadi mangsa.

Menyifatkan serangan fitnah terhadap anaknya itu sebagai bermotif dendam, beliau percaya perjuangan Nurul Izzah bukan terletak di tangan kerajaan sebaliknya dihakimi rakyat biasa.

"Satu kerajaan datang hentam dia, tapi saya nak kata bukan kerajaan penentunya, tapi rakyat yang akan menghakimi segala-galanya.

"Mereka nak kalahkan Izzah, nak angkat Raja Nong Chik. Apa mereka lupa isu tanah di Kampung Baru pun tak selesai, anak dia pula dapat kontrak tender berbilion ringgit.

"Saya pesan dekat Izzah, ini ujian. Kita kena hadapi," kata Ketua Pembangkang itu.

Pada pilihan raya umum lalu, Nurul Izzah membuat kejutan apabila menewas Datuk Seri Shahrizat Jalil bagi menawan kerusi Parlimen Lembah Pantai.

Kini, ada ura-ura kerusi itu bakal ditandingi Raja Nong Chik sekalipun terpalit dengan isu rampasan tanah Kampung Baru dan skandal anaknya.

"Perlawanan ini antara rakyat dengan kerajaan yang korup. Inilah masanya untuk rakyat mengatakan tidak, kepada mereka," katanya depan 700 orang pada ceramah perdana Jelajah Merdeka Rakyat di Bulatan Little India, Brickfields, di sini malam kelmarin.

Depan 2,000 orang di padang Flat Sri Labuan, Bandar Tun Razak dalam Jelajah Merdeka Rakyat pada malam samapula, Anwar berkata tidak ada maknanya Islam seseorang itu jika agama diperalat untuk kezaliman dan menindas.

"Walkaramah itu keadilan, kita sebagai umat Islam dituntut memberi keadilan untuk semua dan angkat darjat manusia.

"Ini disebut Ketua Ulama SeDunia, Sheikh Yusuf al-Qaradawi dalam buku terbarunya (Kebangkitan Rakyat).

"Di Mesir, ada minoriti Kristian. Semasa berlaku serangan ke atas gereja oleh pelampau Mesir, anak-anak muda Islam bina benteng pertahankan penganut Kristian.

"Kerana apa? Kerana mereka mahu pertahankan umat manusia dari kezaliman. Semasa serangan gereja di Petaling Jaya dulu, Ustaz Haji Hadi Awang juga tolak kekerasan terhadap agama lain dan minta gereja tidak dirosakkan.

"Kalau orang Melayu dengan Cina bergaduh, yang untung Umno.Islam dengan Kristian gaduh, yang untung Umno," katanya.

[UMNO DEMAM] Selangor Catat Nilai Pelaburan RM6.9 Bilion Tertinggi Di Malaysia

Posted: 10 Nov 2012 06:41 PM PST

Perkembangan ekonomi Selangor dijangka terus berkembang pesat setelah negeri itu berjaya menarik jumlah pelaburan tertinggi dalam sektor pembuatan dengan nilai RM6.9 bilion berbanding negeri-negeri lain.

Angka yang diperolehi dari statistik terbaru, sehingga Ogos 2012 itu diperolehi dari MIDA (Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia) semalam.

Statistik pelaburan itu juga menunjukkan Selangor berjaya mencatat jumlah pelaburan dalam negeri tertinggi yang bernilai RM5.23 bilion dan pelaburan asing bernilai RM1.66 bilion dengan jumlah projek perindustrian tertinggi, 170 projek.

Jumlah tersebut berjaya dicapai disebabkan kemampuan Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) negeri ini berjaya mewujudkan suasana yang kondusif untuk perniagaan sekaligus menarik minat pelabur-pelabur baru untuk melabur.

Demikian menurut Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam upacara perasmian 'Selangor Healthy Lifestyle Expo 2012′ yang diadakan di Shah Alam Convention Centre (SACC) hari ini.

"Kita terus konsisten mengekalkan kedudukan tiga negeri teratas yang berjaya menarik pelaburan tertinggi di Malaysia disebabkan kemampuan kita mewujudkan persekitaran kondusif dan sihat untuk aktiviti perniagaan dan pelaburan.

"Mungkin kalau anda melabur RM1 di Selangor, ia mempunyai nilai lebih tinggi berbanding melabur RM1 berbanding negeri lain," kata Abdul Khalid.

Menurut Abdul Khalid, langkah mengadakan ekspo juga merupakan langkah yang berkesan bagi menjana aktiviti perniagaan seperti aktiviti pemasaran produk dan memperolehi pelabur baru.

Sementara itu, Abdul Khalid dalam majlis sama turut menggesa masyarakat negeri Selangor mengamalkan gaya hidup yang sihat dan menjaga pemakanan mereka.

Dalam program Selangor Healthy Lifestyle Expo 2012 yang berlangsung dari 9 hingga 11 November di SACC, sebanyak 132 syarikat yang memasarkan produk penjagaan kesihatan dan kecantikkan mengambil bahagian.

Selain itu, dianggarkan lebih 300 produk penjagaan kesihatan dan kecantikan dari dalam dan luar negeri turut dipamerkan di sepanjang ekspo sama.

Ekspo tersebut dianjurkan oleh Multi Mutual Resources dan mendapat sokongan Selangor State Investment Centre (SSIC) dan Selangor Times.

No comments: