Kelab Greenboc |
- Cuti Aidil-Adha: 2 Juta Kenderaan Dijangka Guna Lebuhraya Esok
- Umno Kalah, Biar Pas Jaga Melayu - Ust Idris
- Anggota Polis Ditahan Merogol Gadis 15 Tahun
- Derma RM40 juta: Bumburing Dedahkan Wang Dimasukkan Ke Akaun Peribadi Pemimpin UMNO
- Hina Islam? Selamat Jalan MCA!
- Suami Cekup Isteri Berkhalwat Di Blik Tidur
- Dr Asri : Umno Perlu Undur Sebab Gagal Sekat Politik Wang
Cuti Aidil-Adha: 2 Juta Kenderaan Dijangka Guna Lebuhraya Esok Posted: 24 Oct 2012 05:02 PM PDT JJdual Perjalanan PLUS Untuk Cuti Hari Raya Aidil Adha 2012 : Para pengguna lebuhraya terutamanya lebuhraya PLUS telah dinasihatkan mengikut jadual waktu perjalanan (TTA) yang dikeluarkan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) bagi Lebuhraya Utara-Selatan sempena cuti Aidiladha dari 25 hingga 28 Oktober ini. Menurut Ketua Komunikasi Korporat PLUS, Mohd Nizam Ismail berkata, TTA yang dikeluarkan pada musim perayaan lalu berjaya membantu orang ramai bergerak dengan lebih selesa di Lebuhraya Utara-Selatan untuk merancang perjalanan selain mengelakkan kesesakan lalu lintas. "Justeru, PLUS sekali lagi menasihatkan pengguna jalan raya yang pulang bercuti dan kembali ke Lembah Klang supaya terus memberi kerjasama dengan mematuhi jadual perjalanan yang dikeluarkan ini," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini. Pengguna Lembah Klang, 25 dan 26 Oktober 2012 Bagi tarikh 25 dan 26 Oktober, waktu perjalanan yang dicadangkan ialah dari Lembah Klang ke Kedah, Perlis dan Pulau Pinang melalui Juru serta perjalanan ke Johor melalui Skudai, Senai Utara, Ayer Hitam, Yong Peng dan Tangkak. Sementara itu, perjalanan dari Lembah Klang ke Kuala Kangsar, Changkat Jering dan Taiping serta Melaka melalui Ayer Keroh antara 12 tengah hari dan 3 petang manakala perjalanan ke Ipoh, Simpang Pulai dan Gopeng serta Tampin dan Alor Gajah melalui Simpang Ampat bermula antara 3 petang dan 6 petang. Para pengguna dan orang ramai boleh mula memasuki lebuh raya ke Tapah, Bidor, Sungkai, Slim River, Tanjung Malim, Senawang, Port Dickson dan Seremban selepas 6 petang. Untuk kenderaan dengan nombor plat ganjil bagi semua laluan perjalanan melalui Tambak Johor dan Linkedua serta Jambatan Pulau Pinang pula dinasihatkan memasuki lebuh raya setiap jam ganjil seperti 9 pagi, 1 tengah hari dan 7 malam manakala kenderaan plat genap dinasihatkan memulakan perjalanan pada setiap jam genap. Pengguna Lembah Klang, 27 dan 28 Oktober 2012 Bagi tarikh 27 dan 28 Oktober, jadual perjalanan dari Lebuhraya Utara-Selatan ke Lembah Klang pengguna dicadangkan bermula sebelum 9 pagi dan selepas 10 malam manakala perjalanan yang tidak melalui kawasan Lembah Klang pula adalah antara 12 tengah hari atau selepas 6 petang. Bagi semua perjalanan dari utara dan selatan melalui Tambak Johor dan Linkedua serta Jambatan Pulau Pinang bagi kenderaan dengan nombor plat ganjil dinasihatkan pada setiap jam ganjil manakala kenderaan dengan nombor plat genap pula bermula pada setiap jam genap. Para pengguna dan orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini dengan menghubungi talian bebas tol PLUSline 1800-88-0000 atau mengikuti laman Twitter PLUSTrafik. Cuti Aidiladha: 2juta kenderaan dijangka guna lebuh raya PLUS esok.Berhati-hati kepada semua pemandu dan sentiasa amalkan pemanduan berhemah. Selamat menyambut Hari Raya Aidiladha dari Kelab Greenboc. |
Umno Kalah, Biar Pas Jaga Melayu - Ust Idris Posted: 24 Oct 2012 07:29 AM PDT Pas jaga Melayu jika Umno kalah di dalam PRU 13 inilah jawapan untuk Datuk Seri Najib. Beliau selaku Presiden Umno jangan duduk perasan Umno sahaja boleh jaga Melayu. Sudah 55 tahun Umno diberi peluang bukan satu masa yang pendek tetapi terbukti Umno gagal menjaga Melayu. Melayu bukan diangkat martabat, sebaliknya bertambah merempat. Bukti Pas boleh ganti Umno untuk menjaga orang Melayu boleh dilihat rekod pemerintahan di Kelantan yang berjaya menjelaskan hutang lapuk BN sebanyak RM220 juta daripada hutang BN tinggal sebanyak RM718 juta. Negeri Kelantan berjaya diturunkan kadar kemiskinan daripada nombor 2 kepada nombor 6. Sebelum Umno hendak mendabik dada mereka yang jaga Melayu, Umno tolong jawab terlebih dahulu tuduhan ini. Bukankah Umno yang menghilangkan 1,3 juta hektar tanah rezab Melayu selepas merdeka. Umno yang sekat 118 projek ke Kelantan sejak 1991 (RMK 6). Kenapa Umno yang berkuasa tidak menambah kerusi di Kelantan dan Terengganu pada PRU 2004? Umno mesti bertanggungjawab terhadap kehilangan saham bumiputera sebanyak RM52 bilion. Najib janganlah duduk ulang pita rakaman lama bila berhadapan pengundi Melayu, kononnya Dap yang akan dominan dalam PR. Manakala Soi Lek Presiden Mca bila bercakap dengan orang Cina, kata Pas yang akan menguasai PR. Mana satu yang benar? Atau kedua-dua pembohong besar. Umno hanya memainkan isu Melayu apabila sokongan politik semakin terhakis dengan meniupkan sentimen kononnya umno pembela Melayu. Dap diajadikan kambing hitam kononnya menindas Melayu dan Islam. Walaupun hakikatnya telah dibuktikan dengan fakta di Pulau Pinang, banyak projek diperolehi oleh kontraktor Melayu, yang menangis ialah kontraktor Umno yang menjadi broker dan makan komisyen. Faktanya kontraktor Melayu dapat 100% daripada nilai projek JPS dan 98% daripada nilai projek JKR yang di bawah kendalian kerajaan negeri. Ertinya Melayu mampu, yang tidak mampu hanya Melayu Umno. Peruntukan untuk Jabatan Agama Islam Pulau Pinang semasa zaman Umno hanya RM12.5 juta telah meningkat zaman YAB Lim Guan Eng sebanyak RM64 juta (2012). Hampir lima tahun Dap yang memerintah Pulau Pinang, tidak ada sebuah masjid dan surau diroboh. Sebaliknya ketika Umno memerintah Selangor, surau Jubli Perak Bandar Baru Bangi , Surau al-Rahmah Seksyen 8, Surau Puchong Perdana ditutup. Masjid Bujal Kemaman dan Surau Kampung Berembang Ampang di runtuh. |
Anggota Polis Ditahan Merogol Gadis 15 Tahun Posted: 24 Oct 2012 05:15 AM PDT Petaling Jaya – Seorang pegawai polis rondaan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini kerana merogol seorang gadis berusia 15 tahun pada Ogos lalu. Azman Zakaria, 28, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu selepas pendakwaan itu dibacakan kepadanya di hadapan Hakim, Rozina Ayob pada Selasa. Dia dituduh merogol gadis berkenaan di sebuah rumah di Jalan Berkat 5, Kg Sri Aman, Puchong di sini kira-kira 6.30 petang pada 5 Ogos lalu. Azman yang berkhidmat dengan Balai Polis Melaka Tengah didakwa di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan, di mana memperuntukkan hukuman maksimum penjara 30 tahun dan sebatan jika disabitkan. Timbalan Pendakwa Rakya Siti Aishah Ab Rashid menawarkan ikat jamin RM8,000 dengan menyatakan bahawa Azman adalah seorang penjawat awam. Peguam Esther Tan Siew Choo yang mewakili Azman berkata, dia berharap pihak mahkamah dapat mengurangkan ikat jamin kepada RM3,000 kerana Azman telah memberi kerjasama kepada mahkamah. Hakim Rozina kemudian membenarkan ikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan juga memerintahkannya untuk tidak mendekati saksi, keluarga dan mangsa. Hakim Rozina menetapkan 23 November untuk sebutan kes sementara menunggu laporan perubatan. -Mstar. |
Derma RM40 juta: Bumburing Dedahkan Wang Dimasukkan Ke Akaun Peribadi Pemimpin UMNO Posted: 24 Oct 2012 03:04 AM PDT Derma politik" kontroversial RM40 juta kepada Umno Sabah melibatkan Ketua Menteri Datuk Musa Aman telah dimasukkan ke dalam akaun bank peribadi "seorang pemimpin Umno", dakwa bekas ahli parlimen (MP) Barisan Nasional (BN). Datuk Seri Wilfred Mojilip Bumburing (gambar) yang kini merupakan MP bebas Tuaran, mengatakan dalam kenyataan melalui email malam tadi ahli keluarga "pemimpin Umno" yang beliau tuduh boleh mengeluarkan wang dari akaun tersebut sedikit demi sedikit, menimbulkan pertanyaan tentang kenyataan pemimpin BN bahawa dana tersebut adalah untuk digunakan oleh Umno Sabah. "Apakah pengeluaran wang ini mendapat kelulusan Umno? "Jika wang itu bertujuan untuk didermakan kepada Umno, mengapa ianya dimasukkan ke dalam akaun bank peribadi individu?" katanya dalam kenyataan tersebut. Bekas timbalan pengerusi BN Sabah dari Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO), walaubagaimanapun tidak mendedahkan identiti pemimpin Umno atau memberikan bukti untuk menyokong dakwaannya. Bumburing juga mempersoalkan mengapa BN menolak untuk mendedahkan sumber dana, dengan mengatakan ia memberikan persepsi seolah-olah pemimpin gabungan pemerintah tersebut membiarkan rasuah berleluasa. Beliau mengkritik Setiausaha Umno Sabah, Datuk Abdul Rahman mengatakan bahawa MP Kota Belud ini telah berkali-kali mempertahankan derma dengan mengatakan tiada apa-apa kesalahan dalam sumbangan berkenaan. "Pengakuan (Abdul Rahman) juga meninggalkan banyak persoalan yang tidak terjawab seperti dari mana wang itu datang? "Adakah wang tersebut dikecualikan dari cukai atau apakah penderma membayar di atas wang yang didermakan?" soalnya. Bumburing dan seorang lagi MP Sabah, Datuk Seri Lajim Ukin meninggalkan BN baru-baru ini dan berikrar untuk menyokong perjuangan Pakatan Rakyat (PR) mengatakan mereka telah hilang keyakinan terhadap kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. Di Parlimen awal bulan ini, didedahkan bahawa Musa telah dibersihkan daripada rasuah selepas pihak berkuasa tempatan mendapati bahawa RM40 juta yang menjadi persoalan adalah "derma politik" untuk Umno Sabah dan tidak dimaksudkan untuk kegunaan peribadi Ketua Menteri. Menurut laporan lalu, siasatan pertama bermula pada tahun 2008 di atas permintaan Suruhanjaya Bebas Pencegahan Rasuah (ICAC), Hong Kong, selepas seorang ahli perniagaan yang didakwa ditangkap ketika cuba menyeludup wang tunai kembali ke Malaysia. Akan tetapi, penemuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kemudian membersihkan nama Musa menyebabkan ICAC menutup kes terhadap ketua Umno Sabah itu. MP pembangkang di sini tidak berpuas hati dengan penutupan kes tersebut dan menuntut pentadbiran Najib untuk mendedahkan sumber derma tersebut dan peristiwa tepat membawa kepada siasatan pada Musa. Menurut laman pemberi maklumat Sarawak Report, yang pertama mendedahkan kes tersebut, peniaga kayu Sabah Michael Chia ditangkap di Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong dengan wang tunai dalam mata wang Singapura. Pada ketika itu, Chia dilaporkan memberitahu pihak berkuasa Hong Kong wang tersebut adalah untuk Musa. Dalam pendedahan April lepas Sarawak Report turut mendedahkan dokumen dikatakan dari ICAC Hong Kong menunjukkan peguam Sabah memegang US$30 juta (RM90 juta) dalam akaun bank Swiss untuk Musa. Laporan itu juga mendakwa jejak kertas menunjukkan bahawa berjuta-juta dalam matawang Euro serta Amerika Syarikat, Hong Kong dan Singapura telah disalurkan dari beberapa firma diuruskan oleh Chia yang berpangkalan di Hong Kong untuk beberapa syarikat British Virgin Island dan seterusnya kepada akaun peguam Swiss perguam tersebut. Tetapi apabila menjelaskan isu ini di Parlimen Isnin lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata bahawa Chia tidak pernah ditangkap dengan tunai di Hong Kong dan tidak pernah ditangkap oleh ICAC. Nazri berkata RM40 juta sebenarnya dibekukan dalam akaun pelaburan di Hong Kong, yang kemudiannya perlu dipindahkan ke sebuah akaun dalam bank Switzerland. "Itu adalah pemahaman saya dalam kes itu," katanya kepada Dewan. -TMI |
Hina Islam? Selamat Jalan MCA! Posted: 24 Oct 2012 12:26 AM PDT Tiada lain yang dapat ku ucapkan kepada Chua Soi Lek selain 'selamat jalan', tatkala seluruh negara melihat betapa gigihnya MCA menggali kubur sendiri sewaktu persidangannya hujung minggu lalu. Sambil mengelap air mata meratapi pemergian parti Cina terbesar di Malaysia, kita turut menitipkan belasungkawa buat United Malays National Organisation yang kian sunyi menyendiri di dalam sebuah barisan politik yang sedang nazak. Mari kita bertafakur sejenak dan mengenang kembali fiasco konvensyen MCA yang baru sahaja berlalu. Kita faham keadaan mereka sekarang. Selalunya orang yang menghampiri ajal akan buat dan cakap yang bukan-bukan. DAP tidak perlu menjawab tuduhan MCA, apatah lagi bermain drama politik MCA. Sebagai sebuah parti yang lama, MCA sepatutnya lebih punya pengalaman dan kebijaksanaan untuk melakukan perkara yang lebih masuk akal, selain menghina Islam secara terang-terangan. Sangkanya permainan begitu akan menjerat DAP, tetapi MCA ternyata silap. DAP, sebagai sebuah parti yang tidak berasaskan kaum mahupun mengangkat nama mana-mana agama; hanya sekadar melihat dengan ekspresi tidak percaya pada politik 'lagak ngeri' yang diperlihatkan MCA dua tiga hari lalu. Tidak menyangka parti Cina tersebut mampu memberanikan diri untuk menyerang dan menghina Islam dan hudud secara terang nyata. Seolah-olah pemimpin MCA ini semua telah salah makan ubat.Mabuknya itu lain macam, hatta menyebabkan kaum Cina lain menepuk kepala dan menggeleng-geleng tidak percaya. Antara tuduhan paling gila pastilah yang keluar dari mulut Naib Pengerusi Wanita MCA, Heng Seai Kie yang mendakwa kononnya PAS menbenarkan merogol wanita bukan Islam sekiranya wanita tersebut tidak menepati peraturan berpakaian yang disarankan agama Islam. Mengucap panjang saya apabila membaca laporan ini. Bagaimana agaknya beliau boleh membenci Islam sampai ke tahap ini, sehingga sanggup memfitnah PAS sampai begitu sekali. Apakah Heng Sai Kie langsung tidak membaca atau melakukan sebarang penyelidikan? Tidak mampu menggaji seorang dua pembantu penyelidik kah? Atau memang betul-betul salah makan ubat? Tidak saya bukan menghina, cuma saya mahu tahu. Bagaimana mungkin dalam negara yang begitu majmuk, masih boleh wujud dua tiga kerat manusia yang begitu tidak peduli dengan sensitiviti sehingga langsung tidak berfikir apabila berkata-kata. Malaysiakini memetik Heng sebagai berkata, "Daripada ucapan Nik Aziz, kami simpulkan bahawa Nik Aziz secara terbuka meminta orang Islam merogol bukan Islam, adakah saya benar?" Dari kejauhan kita dengar bunyi 'pap' yang amat kuat. Bunyi puluhan ribu rakyat Malaysia yang menepuk dahi dengan kenyataan tidak masuk akal ini. Mungkin inilah sebabnya hatta NGO ultra-Melayu, Perkasa pun akhirnya keluar 'fatwa' bahawa haram bagi orang Melayu untuk mengundi MCA. Perkasa, sebagai sebuah NGO pro-UMNO pastinya rasa serba salah untuk bergulat dengan MCA, sebuah parti yang pastinya punya kuasa politik besar dalam Barisan Nasional. Lainlah kalau Perkasa sendiri sudah boleh membaca bahawa ada kemungkinan UMNO akan "fly-solo" dalam pilihanraya akan datang. Apa maksud "fly solo"? Bacaan politik saya dua tiga hari ini memberitahu bahawa akan ada kemungkinan bodoh untuk UMNO meninggalkan regu politik paling akrabnya dan bertanding dalam pilihanraya akan datang dengan penglibatan minima MCA, atau mungkin dengan tidak melibatkan MCA langsung. Dead-weight dah MCA ni, kata orang putih. Seumpama mengusung mayat. Sebagai parti politik yang masih terjerat dalam permainan sentimen perkauman dan agama, MCA tidak belajar dari kesilapan 2008. UMNO tidak boleh terus memberi muka kepada parti politik Cina yang biadap dengan Islam. UMNO pun Islam juga kan? Bukan PAS sahaja yang Islam. Tetapi MCA ini sudah merepek di luar kawalan apabila ia menyangka hanya PAS sahaja yang Islam dan pro hukum Tuhan, tanpa menyedari bahawa dengan menyerang Islam, MCA turut mencederakan UMNO. Kita cuma berharap UMNO tidak cukup bodoh untuk menyahut seruan MCA dan tumpang sekaki dan turut menyerang Islam, tidak kiralah versi siapa pun. Saya yakin UMNO tidak sebodoh itu. (Tetapi malangnya UMNO itu bodoh juga.. -GB) Di penghujung konvensyen MCA jelaslah kepada rakyat Malaysia seluruhnya bahawa tiada lagi harapan untuk parti politik berasaskan kaum yang dengan terang nyata tidak mahu melayan sebarang ide baru menjelang pilihanraya umum akan datang. Ini ertinya MCA akan terus bermain di dalam lingkungan politik perkauman sempit seperti kebiasaannya berpuluh tahun lampau. Dengan sentimen yang dibakar oleh presidennya hujung minggu lalu, pastilah kita boleh mengagak bahawa hanya kebencian terhadap Islam yang akan terus ditiupkan sepanjang kempen pilihanraya umum akan datang. UMNO akan terus berdiam diri kerana yang terkorban hanyalah MCA. Apa guna lagi membantu jasad yang sedang nazak. Maka selamat jalan kita ucapkan buat MCA. Jasamu kan tetap kami kenang – Roketkini. |
Suami Cekup Isteri Berkhalwat Di Blik Tidur Posted: 23 Oct 2012 10:19 PM PDT Ayer Keroh - Luluh hati seorang kontraktor apabila mendengar suara isteri tersayang bergelak ketawa dengan lelaki lain di dalam bilik tidur mereka di kediamannya di sebuah pangsapuri di Ayer Keroh, di sini, lewat malam Ahad lalu. Akibat tidak sanggup melihat kecurangan isteri, lelaki berusia 36 tahun itu menggagahkan diri ke pejabat Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) dan mengetuk pintu jabatan penguat kuasa bagi memaklumkan hal berkenaan, awal pagi kelmarin. Dakwa suami malang itu, dia terpaksa meminta penguat kuasa Jaim mencekup kedua-dua mereka yang berusia 24 tahun apabila dipermainkan isterinya buat kali kedua selepas pernah ditangkap berkhalwat dengan lelaki lain tidak sampai setahun lalu. Lelaki terbabit yang dikenali sebagai Salman berkata, dia yang sedang bekerja pulang ke rumah untuk mengambil pengecas telefon bimbit yang tertinggal. "Isteri yang bekerja sebagai jurujual di sebuah pusat beli-belah di sekitar negeri ini biasanya bekerja pada hujung minggu, bermula jam 9 pagi hingga 11 malam. "Tetapi sebaik sahaja tiba di luar rumah, saya dengar suara seorang perempuan dengan seorang lelaki ketawa bersama. Lebih tiga kali saya memastikan suara itu sebelum terpaksa menerima hakikat bahawa ia milik isteri saya," katanya. Menurutnya, dia dengan berat hati kemudian membuat laporan kepada Jaim kira-kira jam 3 pagi untuk tindakan lanjut. "Dia pernah dicekup bersama lelaki lain tetapi saya beri peluang kedua untuk dia dan saya perbaiki kelemahan masing-masing tetapi kali ini saya tidak mampu bersabar lagi," katanya yang tidak mempunyai anak hasil perkahwinan selama empat tahun. Salman berkata, ia adalah perkahwinan keduanya selepas isteri pertama meninggal dunia akibat barah dan empat anaknya kini tinggal bersama ibunya di Bukit Piatu, di sini. "Saya tidak menyalahkan sesiapa dan reda dengan apa yang berlaku," katanya. Sementara itu, Ketua Penguat kuasa Jaim, Rahimin Bani berkata, serbuan lima anggotanya kira-kira jam 4.15 pagi mendapati terdapat dua wanita dan seorang lelaki di dalam rumah tersebut. "Selepas anggota kami mengetuk pintu rumah beberapa kali, seorang wanita berusia 31 tahun membuka pintu. "Dia kemudian mengetuk dan membuka pintu bilik kedua rumah tersebut. Kami dapati ada seorang lelaki dan wanita di dalamnya," katanya. Menurutnya, selepas disoal siasat, ketiga-tiga mereka ditahan dan dibawa ke pejabat penguat kuasa Jaim untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 iaitu berkurung mendatangkan syak ataupun bersekediaman. -SH |
Dr Asri : Umno Perlu Undur Sebab Gagal Sekat Politik Wang Posted: 23 Oct 2012 08:10 PM PDT Umno harus berundur dari persada politik negara ekoran pengakuan pemimpinnya bahawa politik wang sudah menjadi budaya di dalam Umno yang perlu diterima oleh masyarakat termasuk agamawan yang ingin menyertai parti itu. Saranan itu dibuat oleh bekas Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainal Abidin kerana amalan itu menyebabkan negara diterajui pemimpin yang kaya tetapi tidak semestinya mampu mentadbir negara dengan bijak. Selain itu, menurutnya budaya politik wang itu akhirnya akan melibatkan unsur-unsur rasuah yang akhirnya tidak dapat dikawal. "Terima kasih kepada Ustaz Syahrin kerana menjawab dengan jujur, tetapi saya rasa kalau Umno begitu parah bererti Umno kena berundur. "Kita tidak akan dapat keluar dari masalah ini jika Umno terus dengan cara itu sebab tak kira parti mana akan terpaksa ikut amalan itu. "Kerana orang Melayu dah terbiasa memilih pemimpin bukan kerana ketajaman minda dia, ada idea dan sebagainya tetapi soal dia banyak duit. "Sebab itulah bila seseorang itu jadi pemimpin Umno dia mesti ada duit, mesti ada projek dan perkara ini semakin hari semakin disuburkan," ujar Dr Mohd Asri dalam program Wacana Sinar bertajuk 'Peranan Ulama Menasihati Pemimpin' di sini hari ini. Seorang ahli panelis program itu Syahrin Md Jamaluddin mengakui bahawa wang memainkan peranan amat penting dalam mempengaruhi kedudukan seseorang pemimpin dalam Umno. Syahrin yang merupakan Exco Pemuda Umno berkata pemimpin Umno samada peringkat bahagian ataupun pusat yang tidak memiliki sumber kewangan yang kukuh tidak akan bertahan melebihi tiga bulan dalam Umno. Syahrin memberi contoh di mana ahli Umno akan meminta duit untuk menjalankan program seperti permainan bola sepak dan sambutan keagamaan daripada pemimpin bahagian mereka. Sementara itu, seorang lagi panelis Datuk Siddiq Fadzil pula berkata mekanisma pemilihan pemimpin berdasarkan wang itu merupakan mekanisma 'enjit-enjit semut'. "Ini yang dipanggil mekanisma 'enjit-enjit semut', siapa sakit naik atas,' jadi mekanismanya begitu, pemimpin yang naik atas itu juga pemimpin sakit. |
You are subscribed to email updates from KELAB GREENBOC To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
No comments:
Post a Comment