SEARCH

Thursday, October 11, 2012

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Kes Nasya (2) : Islam & Kekuasaan Seiring Sejalan, Bukan Agama Suku Politik Suku!

Posted: 10 Oct 2012 04:57 PM PDT

Mahfuz: 'Nasha telah cabar keputusan Majlis Syura'

SHAH ALAM - Bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa telah "menyentuh dan mencabar" keputusan Majlis Syura apabila mendakwa parti itu kini mengutamakan kuasa dan meletakkan prinsip Islam di tempat kedua, kata Naib Presidennya, Datuk Mahfuz Omar.

Sambil menekankan kuasa dan Islam tidak boleh dipisahkan, kata Mahfuz, Pas memang memerlukan kuasa yang meluas untuk menegakkan Islam di negara ini.

Katanya, aspek itu yang diputuskan oleh Majlis Syura selaku badan tertinggi membuat keputusan dalam Pas.

"Jadi, apabila Ustaz mempertikaikan pendirian parti, bermakna beliau telah menyentuh dan mencabar Majlis Syura sendiri," katanya kepada Sinar Harian Online.

Ahli Parlimen Pokok Sena ini berkata, sebagai sebuah parti politik, Pas memang memerlukan kuasa dan usaha ini diteruskan dari dahulu sehingga sekarang.

"Dari dahulu kita hendakkan kuasa, dan sekarang kita hendak kuasa yang lebih meluas untuk menggantikan Umno, bagi menegakkan Islam, Umno telah gagal dalam peranannya," kata Mahfuz lagi.

Mahfuz mengulas kenyataan Nasharudin petang semalam, dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), mengingatkan parti itu agar tidak mengutamakan kuasa semata-mata dan sehingga sanggup meletakkan prinsip Islam di tempat kedua.

Beliau yang juga ahli Majlis Syura Pas berkata, dalam konteks politik hari ini, masalah perpecahan umat sering dilupakan sedangkan ia adalah masalah utama yang perlu diselesaikan terlebih dahulu.

Kata Nasharudin, beliau turut hairan mengapa usaha untuk membincangkan masalah umat Islam terutamanya melibatkan dua parti terbesar orang Melayu Islam iaitu parti Umno dan Pas sering dilihat 'taboo'.

"Jika umat Islam negara ini terus berpecah belah, apakah yang bakal terjadi kepada umat untuk lima, 10 atau 15 tahun lagi? Adakah umat Islam tergelincir? "Adakah agama mengajar umatnya meletakkan ajaran Islam di tempat kedua semata-mata mahu mendapatkan kuasa?" kata beliau pada Seminar Dakwah Islamiyyah Sebagai Tunggak Kekuatan Ummah di PWTC, semalam.

Katanya lagi, kemenangan Islam terletak di tangan umatnya sendiri tanpa bantuan dari bukan Islam.

Pas berada dalam Pakatan Rakyat (PR), yang turut dianggotai DAP dan PKR.

Mengulas lanjut, Mahfuz berkata, beliau tidak tahu mengapa sekarang Nasharudin bercakap begitu sekarang.

Apabila ditanya sama ada Pas akan membincangkan isu berkenaan memandangkan ada yang melihat Nasharudin telah mempertikaikan dasar parti, Mahfuz berkata: "Oleh kerana beliau telah menyentuh dasar dan keputusan parti, terserah kepada Majlis Syura membincangkan isu ini.

" Bagaimanapun tegas beliau, "Pas tidak pernah mengambil pendirian meminggirkan Nasharudin.

" Akhir Ogos lalu, Jawatankuasa Kerja Pas Pusat menyerahkan isu Nasharudin yang meminta Pas keluar dari PR, berhubung isu hukum hudud, kepada Majlis Syura untuk membincangkannya.

Majlis Syura yang mengadakan mesyuarat awal bulan lalu dilaporkan tidak membincangkan kedudukan Nasharudin itu.

Islam bukan kuasa, Nasha gesa Pas

LUMPUR - Dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa mengingatkan parti itu agar tidak mengutamakan kuasa semata-mata sehinggakan sanggup meletakkan prinsip Islam di tempat kedua.

Beliau yang juga ahli Majlis Syura Pas berkata, dalam konteks politik hari ini, masalah perpecahan umat sering dilupakan sedangkan ia adalah masalah utama yang perlu diselesaikan terlebih dahulu.

Menurutnya lagi, beliau turut berasa hairan mengapa usaha untuk membincangkan masalah umat Islam terutamanya melibatkan dua parti terbesar orang Melayu Islam iaitu parti Umno dan Pas sering dilihat 'taboo'.

"Jika umat Islam negara ini terus berpecah belah, apakah yang bakal terjadi kepada umat untuk lima, 10 atau 15 tahun lagi? Adakah umat Islam tergelincir? "Adakah agama mengajar umatnya meletakkan ajaran Islam di tempat kedua semata-mata mahu mendapatkan kuasa?" kata beliau pada Seminar Dakwah Islamiyyah Sebagai Tunggak Kekuatan Ummah di PWTC, hari ini.

Katanya lagi, kemenangan Islam terletak di tangan umatnya sendiri tanpa bantuan dari bukan Islam.

"Saya pernah bertanya dua kali kepada seorang pemimpin Islam, adakah dalam sejarah kemenangan umat Islam, pernah dibantu oleh orang bukan Islam? "Beliau menjawab kemenangan Islam dari dulu sampai bila-bila berada di tangan umat Islam sendiri sahaja," katanya.

Pas berada dalam Pakatan Rakyat (PR), yang turut dianggotai DAP dan PKR.

Perikatan itu dibentuk selepas PRU12 empat tahun lalu.

Nasharudin tewas dalam usahanya mempertahankan kerusi Timbalan Presiden Pas tahun lalu.


Ulasan GB

Persis bukan ahli PAS lagi layaknya, sehingga memisahkan agama dengan politik, memisahkan Islam dari kekuasaan, sedangkan perjuangan Rasulullah saw ialah menegakkan "kekuasaan" Islam dengan sehingga berlaku beberapa siri peperangan.

Islam bukan sekadar mengucap dua kalimah syahadah, solat, puasa, zakat dan naik haji ke Mekah.

Jikalah Islam hanya sekadar itu, Rasulullah saw tidak perlu nak berperang. Orang Quraisy sudah lama memberi ruang kepada Rasulullah saw untuk melaksanakan kelima-lima perkara tersebut tanpa ganggu gugat, malah sanggup melantik Rasulullah sebagai "Raja". Tetapi Rasulullah tolak semua itu. Kerana apa?

Kerana Islam itu perlu ada daulahnya, perlu menegakkan sistem pemerintahannya agar hukum-hukum Islam itu dapat dijalankan dan berkembang serta risalah Islam itu dapat disampaikan kepada seluruh umat manusia.

"Kekuasaan" itu juga penting di dalam Islam supaya kebenaran dan keadilan dapat diletakkan ke tempatnya yang sebenar.

Kerana tanpa kekuasaan, Islam itu lemah, Islam itu hamba, Islam itu diperdayakan musuhnya. Di dalam kaedah usul-fiqh telah dinyatakan :

ma laa ya'timul wajibu illa bihi fahuwa wajib.

tidak dapat ditegakkan sesuatu yang wajib melainkan dengannya, maka ia menjadi wajib.

Iaitu jika tidak dapat ditegakkan kesempurnaan Islam itu seluruhnya kecuali dengan kekuasaan, maka memiliki (memperjuangkan) kekuasaan itu adalah menjadi wajib pula.

Justeru itu GB melihat, saranan Nasya itu sudah jauh kesasar. Seolah-olah menyuruh kita berjabat tangan dengan UMNO dan kemudian membiarkan kuasa itu diboloti UMNO untuk terus memperkosa Islam. Saranannya itu sungguh merbahaya untuk Islam dan umat Islam!

Kes Nasya (1) : Nasya Takut Dengan Doa Orang Kristian?

Posted: 10 Oct 2012 09:14 AM PDT

DAP S'wak: Dakwa doa 'Msia jadi negara Kristian' berniat jahat

DAP Sarawak menafikan dakwaan bekas timbalan presiden PAS Nasharuddin Mat Isa bahawa bacaan doa supaya "Malaysia menjadi negara Kristian" diadakan dalam majlis makan malam anjuran parti itu selepas pilihan raya negeri Sarawak tahun lalu.

"Dakwaan itu tidak benar, berniat jahat dan tidak bertanggungjawab," kata pengerusinya Wong Ho Leng dalam satu sidang media di bangunan Parlimen hari ini.

Tegasnya, majlis makan malam bersama sukarelawan pilihan raya yang turut dihadirinya itu hanyalah untuk menghargai individu terlibat dan tiada sesi doa dijalankan.

Dalam sidang media sama, setiausaha DAP Sarawak Chong Chien Jien berkata parti itu menganggap dakwaan Nasharuddin itu sebagai satu perkara serius.

Namun, DAP Sarawak tidak akan mengambil apa-apa tindakan ke atas Nasharuddin dan menyerahkannya untuk tindakan di peringkat Pakatan Rakyat.

"Kami serahkan kepada PAS untuk tindakan sewajarnya," katanya. -mk

Nasha dakwa ada pihak anjur doa 'M'sia jadi negara Kristian'

Bekas timbalan presiden PAS Nasharuddin Mat Isa hari ini mendakwa, satu majlis kesyukuran yang diadakan di Sarawak tahun lalu menganjurkan doa supaya "Malaysia menjadi negara Kristian".

Beliau mendakwa, majlis itu berlangsung selepas pilihan raya negeri Sarawak.

"Saya nak menyebut, dan saya sebut ini untuk mengajak suara ummah menjadi satu, berdepan strategi yang dirancang oleh musuh Allah khasnya di Malaysia ini.

"Selepas pilihan raya di Sarawak baru-baru ini, untuk meraikan kemenangan, parti DAP contohnya, di Sarawak, telah ada satu perhimpunan yang diadakan di satu tempat sebagai majlis kesyukuran.

"Dan dalam majlis kesyukuran itu antara perkara yang disebut dan didoakan adalah doa supaya Malaysia menjadi negara Kristian.

Kerana kemenangan yang besar sudah ada doa supaya Malaysia jadi negara Kristian," katanya.

Nasharuddin juga berkata, beliau menimbulkan "isu semasa yang dihadapi ummah" itu dalam konteks dakwah dan realiti politik waktu ini.

Dalam ucapannya di Pusat Dagangan Dunia Putra itu, Nasharuddin turut menyelar pengerusi nasional DAP Karpal Singh yang bertegas untuk meneruskan prosiding saman ke atasnya.

"Saya nak kata yang (Karpal) anti-Islam dan bukan anti-hudud," katanya yang menambah, Karpal tidak berhak menentang perundangan yang ditetapkan Allah.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja di program Wacana Pemikiran Dan Peradaban Ummah ke-4: Seminar Dakwah Nasional anjuran Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia.
-mk

Ulasan GB

Dakwaan Nasya itu pun tidak disertakan dengan bukti, sama seperti kes Hassan Ali dulu yang mendakwa usaha mubaligh Kristian yang kononnya berusaha memurtadkan umat Islam. Apabila didesak kemukakan bukti, ditunjukkan video yang lansung tidak ada standard dan tidak berkredibiliti untuk sebarang pendakwaan atau bahan bukti.

Hanya sekadar rakaman temubual pengakuan. Pengakuan boleh direka oleh sesiapa. Dan apatah lagi wajah orang yang membuat pengakuan tidak didedahkan kononnya di atas alasan keselamatan.

Begitu kes nya dengan dakwaan Nasya. Mana buktinya? Bila tiada bukti maka anda perlu bertanggungjawab dan menjadi hak umat Kristian mengambil tindakan undang-undang ke atas anda.

Katakanlah betul orang Kristian berdoa untuk menjadikan Malaysia sebuah negara Kristian, ia adalah menjadi hak mereka - tiada siapa boleh menghalang doa seseorang yang lain.

Mengapa Nasya timbulkan hal ini? Mengapa fobia sangat? Sebagai seorang yang beriman kepada Allah swt, mengapa Nasya kelam kabut (atau sengaja wujudkan suasana kelam-kabut?) sedangkan semua orang tahu bahawa umat Kristian berdoa kepada Tuhan Jesusnya, konsep ketuhanan yang samasekali tidak sama dengan umat Islam! Apakah Nasya turut beriman dengan Tuhan Jesus sehingga begitu kalut dengan doa mereka?

Musuh Nabi Muhammad, Abu Jahal namanya, pernah berdoa dengan bergayut pada kain Kaabah untuk menghapuskan Islam, pun tidak pernah Nabi Muhammad menghalangnya. Tidak pernahkah Nasya membaca kisah itu?

GB melihat ada agenda di belakang dakwaan Ustaz Nasya ini. Ia mirip dengan dakwaan Hassan Ali satu ketika dulu. Dan seperti ada pihak yang mengaturkan supaya Nasya membuat pendedahan bodoh tersebut.

Kata-kata bahawa Nasya menjadi tablibarut UMNO nampaknya menjadi semakin benar dan Majlis Syura tidak boleh lagi bersikap pasif dan tidak mengambil apa-apa tindakan ke atasnya. GB sudah kemukakan dahulu supaya Nasya dilucutkan keanggotaannya dari Majlis Syura, atau setidak-tidaknya memberi amaran keras kepada beliau.

Laporan sebelum ini
klik untuk baca

Kes NFC: Shahrizat Kelu & Terkedu, Gagal Jawab Soalan Peguambela

Posted: 10 Oct 2012 05:41 AM PDT

Bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Jalil kelu dan beberapa kali gagal menjawab soalan mahkamah hari ini berhubung kes skandal penyelewengan National Feedlot Corporation (NFC).

Wakil peguambela, Ranjit Singh dalam hujah balasnya bertanya dari aspek keluarga hingga ke isu dokumen berkaitan perniagaan suaminya.

"Setuju atau tidak, interaksi antara pasangan suami isteri itu penting sebagai pembangunan keluarga?," soal Ranjit.

"Apakah anda sebagai Menteri Pembangunan Wanita mengaplikasikan prinsip itu?," soal Ranjit lagi.

Shahrizat kemudian meminta Ranjit mengulangi soalan tersebut beberapa kali dan tidak menjawab seperti yang diarah.

Ranjit turut mempersoal kelayakan anak Shahrizat yang berkelulusan teknologi maklumat tetapi menjalankan bisnes jutaan ringgit dalam bidang pertanian.

Shahrizat memberitahu Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Vazeer Alam Mydin Meera bahawa beliau tahu anaknya bekerja di Phileo Damansara tetapi tidak tahu apa pekerjaan anaknya.

"Tidakkah anda malu yang telah tersebar di seluruh negara bahawa suami anda mengambil wang dan menyebabkan kerugian besar?" soal Ranjit.

Shahrizat dalam keadaan tertekan menjawab "Tidak".

Shahrizat merupakan pihak pendakwa manakala Pengarah Strategi, Rafizi Ramli dan Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamaruddin dinamakan sebagai defendan.

NFC dipengerusikan suami Shahrizat, Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail manakala tiga anak beliau adalah pemegang saham dan pengarah di dalam syarikat Agro-Science Industry Sdn Bhd, syarikat induk yang memiliki hampir kesemua saham terbitan NFC dengan satu saham 'preference' dipegang kerajaan Malaysia.

[WASPADA] Tarif Eletrik Melambung Naik Apabila BN Menang PRU13

Posted: 10 Oct 2012 04:09 AM PDT

Peter Chin: Tarif elektrik kekal Sehingga Jun Depan

KUALA LUMPUR - Kadar tarif elektrik kekal pada paras semasa sehingga Jun tahun depan, kata Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Peter Chin Fah Kui, hari ini.

Beliau berkata kerajaan pada awalnya merancang menyemak semula tarif setiap enam bulan, namun Kabinet, yang merupakan pihak berkuasa akhir, menolak pelan itu.

Chin berkata kementerian berkenaan membentangkan kertas mengenai tarif itu baru-baru ini kepada Majlis Ekonomi Negara.

"Kabinet tidak meluluskannya. Oleh itu saya menjangkakan semakan semula tidak akan dibuat dan tarif kekal pada tahap semasa," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Seminar Amalan Terbaik Antarabangsa di sini hari ini.

Kali terakhir kerajaan menyemak tarif itu ialah pada Jun tahun lepas, berikutan peningkatan harga gas asli cecair bagi sektor tenaga.

Chin juga berkata rundingan semula mengenai perjanjian pembelian tenaga (PPA) pengeluar tenaga bebas akan menyumbang kepada kadar yang lebih kompetitif.

"Kita perlu menunggu Suruhanjaya Tenaga membuat pengumuman tidak lama lagi," katanya yang enggan mengulas lanjut.

Sementara itu, Chin menggesa Tenaga Nasional Bhd (TNB) menyediakan prosedur operasi standard (SOP) dalam melaksanakan meter digital baharu.

Beliau berkata kementerian itu telah berbincang dengan TNB berikutan aduan daripada pengguna yang mereka kini membayar bil elektrik yang lebih tinggi.

Kementerian mengambil perhatian terhadap masalah itu dan menggesa TNB menyediakan SOP yang dapat meyakinkan pengguna.

"Mereka perlu menjelaskan kepada pengguna bahawa meter baharu itu baik dan tidak ada yang salah mengenainya," katanya.

- Bernama

Saksi Utusan Bingung Setelah Diasak Peguam Mat Sabu

Posted: 10 Oct 2012 01:07 AM PDT

Saksi Utusan 'diasak' berhubung Islam & komunisme

Saksi pakar yang dipanggil Utusan Malaysia dalam saman sivil terhadapnya oleh Timbalan Presiden Mohamad Sabu 'diasak' berhubung kesimpulannya bahawa Mat Indera seorang komunis.

Peguam Hanipa Maidin mempersoalkan kewibawaan maklumat yang dibekalkan oleh pensyarah kanan yang berpangkalan di United Kingdom itu Karl Hack (gambar) di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang semalam.

Maklumat Hack semata-mata berasaskan kenyataan Mat Indera kepada polis ketika ditahan di penjara.

Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu menyaman akhbar Umno itu kerana menyiarkan beberapa laporan berhubung ucapannya di Tasek Gelugor, Pulau Pinang pada Ogos tahun lalu.

Beliau mendakwa laporan itu menggambarkannya sebagai penyokong komunisme, yang tabu dalam masyarakat Islam, ketika menyentuh peristiwa serangan komunis terhadap Balai Polis Bukit Kepong.

Hack dicabar sama ada termasuk dalam bidangnya untuk menentukan ideologi Mat Indera tanpa pengetahuan penuh tentang Islam atau kedudukannya terhadap komunisme.

"Mat Indera memiliki satu ciri khas, dia selalu membaca Quran. Kamu perlu memahami Islam sebelum membuat kesimpulannya bahawa dia seorang komunis," kata Hanipa ketika menyoal balas Hack.

"Kamu tentu sedar bahawa British sangat menentang Parti Komunis Malaya (PKM)? Itu pada tahun 1950-an, bilakah jadi salah untuk sertai komunis?"
soal Hanipa.

"Kenyataannya (Mat Indera) mungkin diputar kerana ia daripada polis. (Adakah kamu tahu) bagaimana kenyataan itu boleh keluar? Dia diperdaya untuk menyerahkan diri kepada polis?" tanya peguam.

Melihat Hack bingung dengan perkara itu, Hakim Zakaria Sam berkata, peguam hanya mahu bertanya: "Adakah kenyataan polis itu boleh dipercayai?" -mk

Kes Mat Indera: Utusan import pakar dari England

TASEK GELUGOR: Utusan Malaysia mengimpot pakar sejarah dari England semata- mata ingin membuktikan bahawa Timbalan Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu mengatakan Mat Indera bukan komunis adalah tidak benar.

Mohamad yang diwakili peguam Hanipa Maidin ketika perbicaraan semalam bertegas mengatakan Mat Indera pejuang Melayu yang kental demi mempertahankan tanah air daripada cengkaman British.

Kelmarin dan semalam merupakan pemulaan pembicaraan kes saman sivil Haji Mohamad Sabu terhadap Utusan Malaysia yang berlangsung di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.

Saman itu berkaitan tindakan akhbar itu yang didakwa menuduhnya menyokong komunis ekoran kenyataannya yang mendakwa Mat Indera bukan komunis ketika menentang pemerintahan British semasa peristiwa Bukit Kepong.

Kenyataan itu dikeluarkannya dalam satu ceramah di Tasek Gelugor, Pulau Pinang pada Ogos tahun lalu.

Sementara itu Malaysiakini melaporkan, peguam Hanipa Maidin mempersoalkan kewibawaan maklumat yang dibekalkan saksi pakar Karl Hack itu yang menyimpulkan bahawa Mat Indera seorang komunis.

Maklumat Hack semata-mata berasaskan kenyataan Mat Indera kepada polis ketika ditahan di penjara.

Hack dicabar Hanipa sama ada termasuk dalam bidangnya untuk menentukan ideologi Mat Indera tanpa pengetahuan penuh tentang Islam atau kedudukannya terhadap komunisme.

Ketika berceramah merasmikan cawangan baru PAS di Taman Sena Indah semalam pula, Mohamad berkata Utusan sanggup bebelanja besar dan mengimpot pakar dari luar untuk berdepan dengannya di mahkamah.

"Untuk membuktikan Mat Indera Komunis bagi menafikan kenyataan saya, Utusan Malaysia sanggup berbelanja besar membawa pakar dari England.

"Entah berapa kos pula mereka tanggung penerbangan, penginapan dan makan minum ketika di sini, " katanya.

Kes beliau akan disambung semula di mahkamah sama pada 15 hingga 18 Oktober ini.


Wanita Dirogol Bergilir-gilir 10 lelaki Myanmar, Pendatang Asing Tak Gugat Keselamatan?

Posted: 09 Oct 2012 10:30 PM PDT



4 jam dalam neraka 10 setan.

SUBANG JAYA: Empat jam menjadi tempoh amat lama dan penuh sengsara bagi seorang wanita apabila dia dirogol bergilir-gilir 10 lelaki warga Myanmar selepas 'diculik' ketika menunggu bas untuk ke tempat kerja di Puchong Perdana, di sini.

Dalam kejadian jam 3 petang Sabtu lalu, mangsa wanita tempatan berusia 28 tahun yang menunggu bas bersendirian dihampiri dua lelaki Myanmar yang menaiki sebuah Proton Wira.

Sumber polis berkata, seorang daripada lelaki terbabit mengacukan parang ke arah mangsa sebelum memaksanya masuk dan duduk di kerusi belakang kereta dinaiki mereka.

"Mangsa yang ketakutan dan tidak mampu melawan dibawa ke sebuah rumah flat di kawasan berhampiran dan di situ ada lapan lagi lelaki warga Myanmar menunggu.

"Dua daripada suspek mengikat kaki serta tangan mangsa sebelum seorang demi seorang merogolnya tanpa belas kasihan biarpun mangsa merayu dikasihani," katanya - HM.

SAMM Selangor Gesa Polis Siasat Hamidzun

Posted: 09 Oct 2012 07:59 PM PDT

Polis digesa membuat siasatan segera terhadap Presiden Gabungan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS), Hamidzun Khairuddin (gambar kecil) yang didakwa melakukan 'penyelewengan' ketika menjadi peguam kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Penyelaras Bersama Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Selangor, Azhar Achil berkata, walaupun kononnya Hamidzun membayar semula wang berkenaan tetapi dari segi profesionalisme guaman ia tetap merupakan kesalahan.

Justeru, pihak SAMM Selangor membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Sabak Bernam bersama kira-kira 10 orang ahlinya menggesa tindakan segera diambil oleh polis.

"Jika benar perkara ini berlaku beliau (Hamidzun) seharusnya dilucutkan dari menjadi seorang peguam kerana jelas menipu dan dikhuatiri ramai lagi akan tertipu dengan gelaran peguamnya," kata Azhar dalam kenyataan medianya.

Sebelum ini media melaporkan kes pecah amanah itu melibatkan wang berjumlah RM199,236.

15 itu didakwa berlaku sebelum Oktober 2010, ketika Hamidzun merupakan rakan kongsi dalam firma guaman yang juga panel peguam PKNS, Zamri Ibrahim & Co.

Penyelewengan itu didakwa melibatkan kepentingan PKNS dan pembeli-pembeli projek perumahan yang dimajukan oleh anak syarikat Kerajaan Negeri itu.

Setelah PKNS mengambil beberapa tindakan termasuk dua surat amaran, Hamidzun akhirnya menjelaskan bayaran duti setem pindah milik berjumlah RM46,626.

15 kepada PKNS pada 6 Jun 2011.

Bayaran Duti Setem tersebut sepatutnya dibuat kepada Lembaga Hasil pada tahun 2009 lagi.

Manakala wang pemegang bernilai RM152,610 yang sepatutnya dijelaskan pada 2010 hanya dilangsaikan pada 24 Januari 2011.

Laporan sebelum ini
klik untuk baca

No comments: