Kelab Greenboc |
- Saintis Amerika Mendapati Puasa Dapat Mengelakkan Otak Daripada Mengecut!
- Aisyah: Saya Pilih Pas Kerana Islam
- Papagomo Kena Lepuk Dengan Ulama Muda UMNO
- Gril Besi Halang Lelaki Selamatkan Kekasihnya Semasa Kebakaran
- Polis Mengamuk Bebas Walaupun Didakwa Hari Ini
- Rakyat Bukan Ahli UMNO Tidak Diperlukan Sambut Hari MERDEKA? Bagus!
- [VIDEO] Abby Abadi Tamatkan Segala Spekulasi, Serah Borang Sertai PAS
- Hosni Mubarak Juga Tak Mengaku Dirinya Diktator - Mahfuz
- Selepas UMNO BN, PDRM Pula Memfitnah Pembangkang, PR Minta Bukti
Saintis Amerika Mendapati Puasa Dapat Mengelakkan Otak Daripada Mengecut! Posted: 20 Jul 2012 04:58 PM PDT Kajian saintifik terbaru perubatan Barat mendapati berpuasa dua kali seminggu, sebagai contoh, boleh mengelakkan otak individu daripada mengecut dengan pertambahan umur, selain manfaat kepada mereka yang menghidapi penyakit jantung, diabetes dan kanser. Berpuasa pada masa dulu pernah digunakan dalam rawatan perubatan namun kajian terbaru menunjukkan ia perlu diterapkan semula. Ini kerana ia mampu mencetuskan pelbagai hormon yang membantu meningkatkan kesihatan selain perubahan metabolisme badan. Berpuasa selama beberapa hari hanya melibatkan pemakanan makanan antara 500 dan 800 kalori sehari sahaja berbanding hari biasa iaitu 2,000 kalori bagi wanita dan 2,500 kalori (lelaki). Ia menurunkan tahap hormon yang dikaitkan dengan kanser dan diabetes selain kolestrol 'tidak baik' dan triglyceride dalam darah serta pengurangan radikal bebas, molekul yang dikaitkan dengan pelbagai penyakit. Ketua Neorosains Institut Penuaan Nasional Amerika Syarikat (AS), Profesor Mark Mattson berkata, faedahnya sama seperti anda bersenam. Ia boleh melindungi otak daripada penyakit kemerosotan otak seperti Alzheimer dan Parkinson. Dalam satu kajian yang dilaporkan oleh Jurnal Obesiti Antarabangsa tahun lepas, sekumpulan wanita obes dan gemuk diberikan pemakanan melibatkan 1,500 kalori sehari untuk satu minggu. Satu lagi kumpulan diberikan pemakanan 500 kalori untuk dua hari dan kemudian 2,000 kalori setiap hari pada lima hari seterusnya. Pakar diet Universiti Manchester, Dr. Michele Harvie yang mengetuai kajian itu berkata, kedua-dua kumpulan menunjukkan penurunan berat badan yang sama selain pengurangan sama penanda biologi yang boleh meningkatkan risiko kanser. – Agensi |
Aisyah: Saya Pilih Pas Kerana Islam Posted: 20 Jul 2012 11:32 AM PDT di Dataran Al-Ikhwan, Air Mawang, kelmarin. JOHOL- "Saya memilih Pas kerana Islam. Saya ingin berdakwah melalui Pas kerana parti ini mempertahankan agama Islam dan saya selesa bersama barisan kepimpinan Pas." Itu pengakuan penyanyi Aishah atau nama sebenarnya Wan Aishah Wan Arifin yang diundang menjayakan ceramah 'Bilo Selebriti Dah Join Pas' di Dataran Al- Ikhwan di Air Mawang, petang kelmarin. Aishah berkata, walaupun baru dua bulan menyertai Pas, dia yakin dan bersemangat untuk terus berjihad di jalan ALLAH SWT. "Ini bukan bermakna semasa saya menjadi penyanyi, saya tidak mendekati ALLAH SWT tetapi selepas memilih Pas, saya lebih bersemangat ingin berjuang dan berdakwah ke jalan yang diredhai. Lagipun kita sudah sedia maklum, perjuangan Pas salah satunya adalah Islam. "Bukan hanya seorang ulama sahaja yang boleh berdakwah, seorang penyanyi juga mampu melakukannya," katanya. Menurutnya, asas pertama dia memilih Pas kerana Islam itu sendiri dan kerana kesucian agama Islam. "Saya hanya nampak Pas sahaja yang mampu pertahankan agama Islam. "Walaupun saya tidak belajar tinggi hingga ke Universiti Al-Azhar tetapi saya tidak jahil agama Islam, malah selepas masuk Pas, mereka banyak membantu dan memberi sokongan kepada saya untuk terus berdakwah kepada masyarakat terutama peminat saya," katanya. Dalam pada itu, Aishah turut memuji keterbukaan Pas menerima golongan artis sebagai ahli. Sementara itu, bekas kumpulan XPDC, Azua Md Tasi berkata, dia memilih Pas kerana mahu berhijrah. "Dulu saya lalai dengan duniawi semata-mata tetapi sejak awal 90-an, saya sudah mula berjinak-jinak dengan aktiviti keagamaan. "Saya sering bertemu imam dan pendakwah. Dari situlah, hati saya mula terbuka untuk memilih Pas. Kita mestilah berhijrah daripada tidak baik kepada baik, daripada kurang baik kepada lebih baik," katanya. Menurutnya, jika mahu berubah, ia bermula dari diri sendiri. "Jangan salahkan bidang nyanyian jika kita lalai, sebaliknya diri sendiri perlu berpendirian teguh. "Bila waktu solat, kita solat. Jadi tiada masalah untuk kita meneruskan profesion dalam dunia nyanyian," katanya. |
Papagomo Kena Lepuk Dengan Ulama Muda UMNO Posted: 20 Jul 2012 07:56 AM PDT Ulama Muda Umno tolak fitnah blogger Umno SHAH ALAM: Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sekreteriat Ulama Muda Umno, Fathul Bari Mat Jahaya pada sidang media di Kompleks Karangkraf semalam menolak budaya fitnah yang dilakukan oleh blogger pro Umno, Papagomo. Beliau yang menjelaskan pendirian tersebut ketika menjawab pertanyaan pemberita berhubung budaya fitnah yang dilakukan oleh blogger pro Umno itu yang sentiasa menjadi topik utama kepada media pro kerajaan dalam usaha meraih sokongan undi. "Saya katakan secara prinsip tidak setuju dengan bentuk fitnah dan provokasi yang dilakukan. "Sewajarnya kita perlu perbetulkan dan memperbaiki keadaan, perlu bekerjasama dalam mengurangkan budaya melontar persepsi tanpa fakta dan bukti," jelasnya selepas program debat anjuran Sinar Harian. Tambahnya lagi, didikan perlu dilakukan dalam membuat analisa sebelum menjatuhkan hukum. Sementara itu, Ketua Pemuda PAS, Nasrudin Hassan memberitahu mewujudkan budaya debat seperti ini adalah satu budaya yang sihat. "Untuk buat budaya baru seperti debat ia perlu ada keberanian kerana politik tanah air bermula pertembungan yang sangat sengit. "Walaupun kami berbeza pandangan dalam dunia politik kami tetap saling hormati menghormati," katanya. Katanya lagi, budaya debat walaupun hujah itu kadang kala hangat serta tajam namun ia tetap menunjukkan satu kebaikan dalam mencari penyelesaian dalam setiap pandangan. "Dengan debat secara terbuka kita dapat mengurangkan budaya lempar batu sembunyi tangan. "Menuduh seseorang dengan pelbagai fitnah tanpa fakta tetapi tidak mahu bertanggungjawab terhadap tuduhan yang dilakukan itu," sambung beliau lagi. Dalam pada itu, Fathul Bari memberitahu beliau telah menasihati blogger pro Umno yang telah menyebarkan fitnah tanpa asas terutamanya penyebaran video yang mengaibkan seseorang individu. "Perkara yang melangkaui persepsi fitnah seperti penyebaran video yang mengaibkan memang kami tidak bersetuju. "Yang salah tetap salah dan kami sentiasa membuat teguran," jelas beliau lagi. Sebelum itu kedua-dua mereka telah bersama-sama dalam program debat yang bertajuk 'PRU13: Orang Muda Pilih Siapa' anjuran Sinar Harian yang dimoderatorkan oleh Prof Datuk Mohamad Abu Bakar dari Universiti Malaya. -HD |
Gril Besi Halang Lelaki Selamatkan Kekasihnya Semasa Kebakaran Posted: 20 Jul 2012 06:04 AM PDT Johor Bahru - Seorang pemuda 24 tahun hanya sekadar mampu melihat apabila teman wanitanya terperangkap mati kerana terhidu asap, apabila sebuah rumah dua tingkat di Taman Pelangi Indah telah dimusnahkan oleh kebakaran. Mangsa, Loh Hui Jin, 24, dipercayai sedang tidur di tingkat atas apabila dia terbangun kerana merasa haba kebakaran. Difahamkan Loh menghubungi teman lelakinya, Kee Yung Ywe yang sudah berada di tempat kejadian apabila Pasukan Bomba dan Penyelamat dari Jaya Johor tiba selepas menerima panggilan dari Loh pada 8.18 pagi. Ketua operasinya, Syed Nasir Syed Abu Bakar, berkata Kee telah memanjat ke balkoni dan mencuba untuk memecahkan tingkap dalam usaha untuk menyelamatkannya. Kee dapat bercakap dan cuba untuk menenangkannya tetapi gril besi tingkap telah menghalangnya daripada mendapatkan Loh. Syed Nasir berkata pasukan yang terdiri daripada 10 anggota bomba telah memecahkan tingkap kaca sebelum memotong gril untuk mengeluarkan Loh daripada banglo yang terbakar. Loh meninggal duniakemudiannya akibat lemas ketika dalam perjalanan ke Hospital Sultan Ismail. Kee yang sesak nafas juga dirawat di hospital kerana terhidu asap. Keadaannya dilaporkan stabil. Syed Nasir berkata selepas bomba berjaya mengeluarkan Loh, seorang jiran memberitahu bahawa terdapat dua lagi mangsa iaitu adik lelaki yang berumur 9 dan 14 tahun di dalam rumah. "Kami masuk kembali dan cuba untuk mencari dua lagi mangsa dalam asap tebal tetapi tidak menemui sesiapa," katanya. Mereka segera menghubungi ibu bapa mangsa di Ipoh, Perak, dan mendapat bahawa kedua kanak-kanak berada di sekolah pada masa itu. "Ibu mereka terus menghubungi sekolah dan mengesahkan mereka berada di sekolah." Ibu bapa mangsa terlibat di dalam industri kecantikan dan Loh yang bekerja sebagai pekerja kecantikan, membantu dalam perniagaan keluarga. Kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam 10.32 pagi dan punca kebakaran masih disiasat. Kredit : NST/Pulakdah |
Polis Mengamuk Bebas Walaupun Didakwa Hari Ini Posted: 20 Jul 2012 04:13 AM PDT Seremban – Seorang pegawai polis berpangkat Inspektor yang mengamuk dan mencederakan dua pekerja hotel dua bintang di Seremban 2, di sini, Selalu lalu, didakwa di mahkamah hari ini. Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Manan Md Hassan berkata, pihaknya sudah melengkapkan kertas siasatan kejadian itu dan laporan siasatan diserahkan kepada pihak pendakwaan. "Kita menahan pegawai polis terbabit kira-kira jam 10 pagi Selasa lalu dan direman dua hari bagi membantu siasatan tetapi dibebaskan hari ini (semalam) dengan jaminan polis. "Kita serahkan tindakan selanjutnya kepada mahkamah dan pegawai polis terbabit tidak akan terlepas daripada dikenakan tindakan tatatertib," katanya kepada pemberita semalam. Menurutnya, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana anggota mahupun pegawai yang terlibat dengan kejadian mencemarkan nama baik Polis Diraja Malaysia (PDRM). Abdul Manan berkata, siasatan pihaknya mendapati pegawai polis berusia 32 tahun itu mahu menginap di hotel berkenaan untuk berehat selepas pulang bercuti bersama seorang lagi anggota polis. "Insiden dipercayai berpunca daripada salah faham mengenai harga pembelian aiskrim dengan dua pekerja hotel terbabit. "Pegawai polis berkenaan dipercayai mengalami tekanan perasaan dan dibebani masalah peribadi serta keluarga," katanya. Menurutnya, pihaknya tidak menemui sebarang senjata pada pegawai polis terbabit ketika ditahan. "Dia telah serahkan pistol miliknya sebelum bercuti dan kita tidak mempunyai maklumat senjata yang digunakannya untuk memukul dua pekerja hotel itu ketika kejadian adalah pistol. "Hasil ujian urin juga jelas menunjukkan pegawai polis berkenaan bebas daripada pengaruh dadah dan alkohol," katanya. Abdul Manan berkata, pegawai polis terbabit baru lapan bulan berkhidmat di Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Daerah (IPD) Seremban. "Sebelum ini, dia bertugas di bahagian sama di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur dan sudah berkhidmat sebagai anggota polis selama 10 tahun. "Dia tidak mempunyai masalah disiplin sebelum ini berdasarkan semakan rekod peribadi," katanya. Menurutnya, kes akan disiasat mengikut Seksyen 324/427 Kanun Keseksaan dan disiasat bersama Seksyen 506 Kanun Keseksaan. Menurutnya, kedua-dua pekerja hotel terbabit cedera ringan dan menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Tuanku Ja'afar. -SH CCTV: Polis pukul pekerja hotel guna buntut pistol |
Rakyat Bukan Ahli UMNO Tidak Diperlukan Sambut Hari MERDEKA? Bagus! Posted: 20 Jul 2012 02:08 AM PDT Petaling Jaya:Bekas menteri kabinet, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir membidas tema perayaan hari kemerdekaan yang disifatkannya sebagai kempen pilihan raya BN. Tema hari kemerdekaan tahun ialah Janji Ditepati. "Ianya begitu terang dan terbuka tanpa sorok-sorok. Ini jelas membuktikan sikap kerajaan yang begitu ego dan begitu yakin tentang kedudukannya. "Ianya tidak peduli sama sekali dengan perasaan pihak rakyat keseluruhannya. Ianya seakan-akan perayaan kemerdekaan juga telah menjadi hak "BN"," katanya dalam kenyataan akhbar semalam. Abdul Kadir yang juga Presiden Sementara Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) berkata, beliau pernah menjadi pengerusi perayaaan kemerdekaan selama tujuh tahun dari tahun 1999 hingga 2006. Katanya, beliau dapat memahami kenyataan kekecewaan yang diluahkan merata-rata mengenai tema perayaan kemerdekaan pada tahun ini iaitu Janji Ditepati. "Saya diingatkan bahawa pada pilihanraya 2008 hampir separuh dari pengundi seluruh Malaysia tidak mengundi BN. "Oleh itu sudah wajarlah kerajaan perlu mengambil kira bagaimana untuk menarik sokongan hampir separuh dari jumlah rakyat ini supaya sama-sama dapat merayakan kemerdekaan tersebut," tambah beliau lagi. Pemimpin pembangkang Abdul Kadir berkata, perayaan kemerdekaan adalah suatu peluang yang sebaik-baiknya untuk kita merapatkan hubungan di kalangan seluruh rakyat Malaysia. Ia juga peluang untuk mengenepikan segala persoalan yang mengasingkan rakyat maka kerajaan begitu berhati-hati mengenai segala perkara yang berkaitan dengan perayaan tersebut. "…supaya ia tidak menimbulkan sebarang kecurigaan dan sebaliknya pula perayaan tersebut dapat diterima dan disokong oleh semua pihak," kata beliau lagi. Menurut Abdul Kadir lagi, pemimpin pembangkang dijemput untuk menghadiri dan bila mereka menghadirinya maka adakalanya mereka dijemput juga di pentas untuk bersama pemimpin-pemimpin kerajaan. Katanya, beliau sendiri setiap tahun sebelum perayaan bermula akan berjumpa Menteri Besar Kelantan dan juga Menteri Besar Terengganu (yang pada masa itu dipimpin oleh PAS) serta ketua pembangkang, Lim Kit Siang supaya memberi kerjasama dan merayakan perayaan tersebut sebagai suatu perayaan yang dipunyai oleh seluruh bangsa Malaysia. Begitu juga bantuan-bantuan yang berbagai termasuk bantuan bendera yang termampu disalurkan juga kepada kerajaan-kerajaan pembangkang termasuk memberi ruang kepada mereka dalam media massa. "Alhamdulillah, parti-parti pembangkang pada waktu itu telah memberi kerjasama 100 peratus kepada kerajaan dalam menjayakan program-program perayaan kemerdekaan," katanya. -FMT Rais: Tidak salah guna slogan 'Janji Ditepati' untuk tema kemerdekaan Ulasan GB Oleh kerana sambutan Hari Kemerdekaan pun telah dirompak oleh UMNO BN, maka apakah ini bererti rakyat yang bukan ahli UMNO BN tak perlu lagi sambut hari kemerdekaan negara? Apakah sambutan hari kemerdekaan sudah menjadi hakmilik eksklusif ahli UMNO BN sahaja? Jika demikian halnya, baguslah, kami tak kisah. Kami tidak memboikot tetapi kerajaan UMNO BN seolah-olah menyuruh kami memboikotnya. Kepada Rais, kami menyatakan: PINGGAN TAK RETAK NASI TAK DINGIN ORANG TAK HENDAK, KAMU PUN TAK HINGIN Hal ini akan menguatkan lagi semangat mereka yang bukan ahli UMNO BN untuk berusaha "memerdekakan" pemerintahan negara dari UMNO BN didalam pilihanraya akan datang ini sehingga sambutan hari merdeka akan menjadi milik semua rakyat. MERDEKA kali kedua iaitu kemerdekaan dari belenggu penjajahan UMNO BN selepas merdeka dari belenggu penjajahan British. |
[VIDEO] Abby Abadi Tamatkan Segala Spekulasi, Serah Borang Sertai PAS Posted: 19 Jul 2012 11:45 PM PDT Kota Bharu: Selepas menekuni semula amalan agama dan bersedia sepenuhnya menerima segala risiko, akhirnya pelakon Abby Abadi secara rasminya malam tadi menyertai PAS sebagai ahli seumur hidup. Beliau menyerah borang sebagai pendokong berdaftar gerakan Islam kepada Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Nilam Puri. Biar pun dalam keadaan keuzuran dan kepenatan, namun Menteri Besar Kelantan mengagahi juga hadir pada program tersebut yang diadakan di padang Yayasan Islam Kelantan, berhadapan dengan kampus Akademi Islam Universiti Malaya. Kedatangannya agak lewat, semata-mata bagi memenuhi impian dan hasrat pelakon terbabit yang kebelakangan ini muncul dengan penampilan baru. Bersaksikan ribuan penduduk tempatan, Abby bersama seorang lagi pelakon Hairie Othman diserbu ramai peminat remaja untuk bergambar dan beramah mesra. Selepas menyerah borang yang dirakam dengan puluhan lensa kamera, Abby kemudian dipakai selendang berwarna hijau oleh anggota Exco kerajaan negeri, Wan Ubaidah Omar. Hadir sama Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa dan Ketua Penerangan PAS Kelantan, Dr Muhammad Fadzli Hassan. "Biar pun saya bersama dengan gerakan memperjuangkan Islam dan keadilan, namun saya masih sayang lagi kepada dunia seni. "Sebagai orang seni saya tidak pandai untuk mencari rezeki dengan bidang lain. Oleh itu saya berharap selepas ada perubahan di Putrajaya nanti, kita boleh lakukan sesuatu bagi memartabatkan seni mengikut acuan Islam," ujarnya. Hujah itu sebelumnya turut dikongsi bersama Hairie apabila mencadangkan kepada PAS supaya membikin drama berkaitan perjuangan Islam bagi membolehkan generasi muda tahu asal usul sejarahnya. Menurutnya elok diterbitkan filem mengisah mengenai kegigihan tokoh terkenal dalam gerakan Islam di Malaya iaitu Dr Burhanuddin Helmy yang begitu banyak berjasa. "Kalau PAS berminat untuk menerbit filem tersebut eloklah watak utama diberi kepada saya," katanya dengan nada berseloroh. -Detikdaily klik untuk baca |
Hosni Mubarak Juga Tak Mengaku Dirinya Diktator - Mahfuz Posted: 19 Jul 2012 09:10 PM PDT Bekas presiden Mesir, Hosni Mubarak, juga tidak mengaku diktator sama seperti bekas perdana menteri (PM) Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad, kata naib presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar. "Dr Mahathir mengambil Mubarak sebagai contoh kepada apa yang beliau sebut sebagai ketua negara yang dicap sebagai diktator," kata Mahfuz kepada The Malaysian Insider melalui telefon sebentar tadi. "Sama seperti Dr Mahathir, Mubarak juga tidak mengaku sebagai diktator malah seperti Dr Mahathir juga, bekas Presiden Mesir itu mahu dikenali sebagai seorang demokrat walaupun beliau dikategorikan dalam senarai utama demokrat palsu." Ahli parlimen Pokok Sena itu (gambar fail) menasihatkan Dr Mahathir supaya tidak perlu meminta bukti menunjukkan beliau seorang diktator. "Tidak perlulah Dr Mahathir minta bukti kerana diktator tidak akan mengaku diktator. "Lagipun, Dr Mahathir sendiri mudah lupa walaupun beliau suka menuduh orang lain mudah lupa," katanya sambil merujuk inkuiri suruhanjaya siasatan video Datuk V.K. Lingam empat tahun lalu di mana Dr Mahathir beberapa kali mengatakan bahawa "saya tidak ingat". Mahfuz juga meminta Dr Mahathir "sedar sendiri" apakah imej beliau di mata dunia dan sebahagian besar rakyat negara ini. "Adakah dunia khususnya sebahagian besar rakyat negara ini melihat Dr Mahathir dengan imej seorang pemimpin yang mesra demokrasi atau seorang diktator. "Dr Mahathir jawablah sendiri, jika beliau sudah tidak ada lagi, adakah beliau akan diingati sebagai seorang demokrat atau seorang diktator," kata Mahfuz lagi. Sebelum pilihan raya umum 2008 lalu, kata Mahfuz, Dr Mahathir sering memberitahu rakyat bahawa Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi terlibat dalam rasuah dan nepotisme serta menjadikan negara ini negara polis. "Dr Mahathir jawablah sendiri, adakah Pak Lah atau beliau sendiri yang pertama sekali diingati dan lebih dahulu terlintas dalam fikiran rakyat dalam soal rasuah, nepotisme dan negara polis?" katanya. Naib presiden PAS itu menasihatkan Dr Mahathir, jika benar sudah tidak ingat apa mengapa beliau dilihat sebagai diktator ketika menjadi Perdana Menteri dahulu, tidak perlulah beliau menulis meminta orang lain membuktikan sifat diktatornya. "Menjelang Ramadhan ini, eloklah Dr Mahathir memperbaiki imejnya dengan banyak beribadat dan beriktikaf di masjid daripada meminta orang ramai mengungkit-ungkit perbuatannya yang dilihat tidak elok ketika menjadi Perdana Menteri dahulunya," katanya lagi. Dalam tulisan dalam blognya, Dr Mahathir bertanya kepada pembaca, "Saya ingin tahu daripada pelawat ke blog saya tentang apakah yang saya telah lakukan semasa saya menjadi Perdana Menteri Malaysia yang menjadi bukti bahawa saya adalah seorang diktator". -TMI klik untuk baca |
Selepas UMNO BN, PDRM Pula Memfitnah Pembangkang, PR Minta Bukti Posted: 19 Jul 2012 07:07 PM PDT Komponen Pakatan Rakyat (PR) mencabar polis menunjukkan bukti jika benar parti-parti politik pembangkang diresapi pengganas Jemaah Islamiah (JI) dan individu yang pernah dikaitkan dengan gerakan komunis, yang cuba menjadi calon Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13). Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub berkata, pihaknya bimbang kenyataan yang dibuat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) semalam "bertujuan jahat" ke atas pembangkang menjelang PRU13. Bagaimanapun Ahli Parlimen Kubang Kerian itu yakin sokongan kepada PR khususnya Pas, yang dinamakan secara langsung dalam kenyataan semalam, tidak akan terjejas. "Saya minta tunjuk bukti kalau benar dalam Pas ada orang seperti ini seperti yang didakwa oleh Datuk Mohd Sofian (Md Makinuddin). "Kami bimbang kenyataan-kenyataan seperti ini dikeluarkan ketika menjelang pilihan raya untuk mengelirukan rakyat... kenyataan yang berniat jahat," kata beliau ketika dihubungi. Salahuddin berkata, pihaknya tidak terkejut dengan kenyataan seumpama itu sebab pihak berkuasa pernah menggunakan cara yang sama pada masa-masa lalu. "Polis pernah membuat kenyataan seperti ini, mengaitkan Pas dengan kumpulan Al-Maunah, saya melihat tujuan berniat jahat ini berulang ketika dekat dengan PRU. "Pas, yang sudah terlibat dalam politik lebih 50 tahun, memilih untuk menggunakan jalan demokrasi, menerusi pilihan raya untuk menang pilihan raya," katanya sambil menambah, PDRM tidak harus membuat kenyataan-kenyataan tidak bertanggungjawab. Laporan media memetik Mohd Sofian, Ketua Penolong Pengarah E2 (M), Bahagian Ancaman Ekstremis Sosial Bukit Aman berkata, terdapat pengganas JI dan individu yang pernah dikaitkan dengan gerakan komunis berusaha meresapi parti politik pembangkang selain cuba menjadi calon pada PRU13. Mohd Sofian berkata, Cawangan Khas itu mengesan beberapa elemen JI cuba meresapi Pas selain elemen gerakan komunis cuba meresapi DAP. "Beberapa pemimpin Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan PKR juga sering berulang-alik ke Bangkok dan selatan Thailand yang dipercayai untuk mengadakan pertemuan sulit dengan beberapa bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) di sana. "Kesannya, idea-idea berhubung politik baru yang berpotensi menjejaskan nilai teras negara telah berkembang. Gerakan ini sebenarnya mendapat sokongan daripada badan bukan kerajaan asing yang membantu dari segi kewangan, latihan dalam dan luar negara serta pendedahan kepada kepakaran tertentu untuk menghadapi pilihan raya," katanya. Beliau berkata demikian semasa menyampaikan syarahannya bertajuk "Keselamatan Negara Tanggungjawab Bersama" pada Konvensyen Pemimpin Muda Negara anjuran Parlimen Malaysia bersama-sama Biro Tatanegara Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Pengajian Tinggi, Institut Pendidikan Guru dan Majlis Belia Malaysia. Sehubungan itu, kata Salahuddin, pihaknya akan membincangkan tindakan ke atas pegawai polis berkenaan. "Kami akan membincangkan tindakan yang hendak diambil dalam waktu terdekat," katanya. Dalam pada itu, Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad juga mencabar PDRM mengeluarkan bukti jika benar wujud elemen-elemen sedemikian. Sambil menegaskan pihaknya tidak terkejut dengan laporan tersebut, Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor ini berkata, "kenyataan-kenyataan seperti ini, yang dibuat oleh polis, bukan perkara baru." "Saya pun boleh buat kenyataan seperti ini. Buktikan siapa mereka, namakan individu terbabit, kita pun hendak tahu. "Saya mencabar beliau bertanding pilihan raya jika berminat untuk bercakap mengenai politik," kata beliau yang yakin bahawa sedar dan tahu tentang keadaan sebenar, dan sokongan mereka tidak akan terjejas. "Ini taktik Barisan Nasional menggunakan polis untuk membuat kenyaatan-kenyataan seperti ini menjelang PRU. Rakyat tahu," katanya lagi. -SH |
You are subscribed to email updates from KELAB GREENBOC To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
No comments:
Post a Comment