SEARCH

Tuesday, July 3, 2012

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


[IKTIBAR] Kisah 18SX: Remaja Yang Sedang Belajar

Posted: 02 Jul 2012 05:23 PM PDT

Kisah kali ini diceritakan oleh seorang hamba Allah di sebuah taman perumahan di sekitar Ipoh (namanya dirahsiakan)… Kisah ini amat menyentuh jiwa saya apabila ianya diceritakan kembali oleh salah seorang anak murid pengajian saya di taman perumahan tersebut…..

Ceritanya mengisahkan seorang ayah dari keluarga yang miskin.. kerja sendiri hanya menoreh getah..datangnya jauh dari kampung.. dengan menaiki teksi.. membawa beg dan barang-barang milik anak gadisnya.. yang dapat melanjutkan pelajarannya di sebuah institusi pengajian di Ipoh.. menyewa di rumah sewa bersebelahan dengan rumah tuan empunya cerita ini.

"Masih saya ingat lagi ustaz…. bagaimana senyuman bangga ayah si gadis ini… yang terlalu seronok kerana anak gadisnya berjaya melayakkan dirinya menjadi pelajar di Institut Pengajian Tinggi

"Saya dapat melihat dengan jelas..bagaimana ayah si gadis ini ..sibuk mengangkat barangan anaknya..dengan mulutnya riuh rendah.. sambil melemparkan senyuman kepada dirinya…sebagai jiran kepada anaknya itu. Setelah bersalaman dengannya.. ayah si gadis ini ramah menceritakan kejayaan anaknya.. dan anaknya itulah yang diharapkan akan menempah kejayaan .. seterusnya dapat membela hidup mereka sekeluarga suatu hari nanti.

Sedang kami berbual.. terdengar anak gadis si ayah ini merungut…katanya "Ayah…kat sini tak ada tilam.. la.. takkan nak tidur atas toto aje ..nanti sakit lah badan along ni..!!" kata anak gadisnya merungut manja…sambil meneruskan bebelannya dengan suara yang kurang jelas.

Ayahnya hanya tersengih. .sambil menjawab "nantilah ayah belikan.. tengah ni duit ayah dah habis…. beli kelengkapan kamu…kita bukan orang senang…"

"Ok lah ok lah…tapi ayah beli cepat sikit tau…nanti macam mana along nak belajar.. tidur tak selesa….nanti tak boleh tidur…. haaa.. ganggu prestasi along..!!"

Ye la…ye la….. nanti ayah beli lah…."

Sebulan telah berlalu… si ayah belum lagi nampak ..kelibatnya membawa tilam yang dijanjikan…mungkin.. sedang kumpul duit nak beli tilam agaknya…maklumlah kerja kampung bukan orang senang…. rumah yang anaknya sewa pun bayarannya kongsi ramai-ramai…satu rumah duduk lapan orang.

"Apa yang tak seronoknya ustaz ialah….budak-budak perempuan di sebelah rumah saya tu…pada mula mereka duduk menyewa tiada apa masalah ataupun gangguan

tapi lama kelamaan..rumah sewa anak dara di sebelah saya ni dah mula dilawati oleh budak-budak lelaki…ada yang datang bermotosikal dan ada yang datang dengan menaiki kereta….

"Entahlah ustaz.. bukan tak tegur.. dah tegur dah…. tapi jawab budak lelaki yang datang bertandang tu… pakcik ni sapa?…bapak diorang ke ..????" terkedu saya ustaz apa nak dikata lagi….." Kadang-kadang ustaz bebudak lelaki tu duduk rumah sewa budak perempuan sampai ke tengah malam…. gerun saya ustaz….!!"

"Pernah sekali tu saya terfikir untuk melaporkan perkara ini kepada penguatkuasa jabatan agama… tetapi saya risau pulak nanti bebudak lelaki tu akan serang saya balik.. atau apa-apakan keluarga saya..saya pun ada anak dara ustaz…risau saya ustaz…apalah upaya saya ustaz…"

"Berkenaan dengan anak gadis si ayah yang malang ni tadi..setiap hari keluar dengan pakwenya…maklumlah orang sedang bercinta..bercouple…mak bapak pulak jauh ..jadi line clear…ustaz.. kadang-kadang tengah malam baru nampak balik ke rumah sewanya.. entah lah.. sedih saya apabila mengenangkan bapanya yang cukup baik."

Suatu petang ustaz…. sedang anak gadis si ayah ni keluar macam biasa dengan pakwenya…. ayah si gadis ini sampai ke rumah sewa anak gadisnya…. dengan menaiki motorsikal.. di belakang motorsikalnya itu terikat tilam kekabu…. sambil dia berhenti ..lalu terkial-kial si ayah ini cuba menongkatkan motornya…kerana tilam kekabu itu berat…..

kemudian si ayah itu menjerit memanggil nama anaknya.. sambil mengelap peluhnya yang mengalir laju…terdengar suaranya yang mengah.. memanggil-manggil anaknya.. tetapi tiada sahutan… sunyi…kerana hari itu hari cuti…ada yang dah balik kampung hujung minggu dan ada yang biasa la..tengah menenggek di belakang motorsikal pakwe mereka… termasuklah anak gadis si ayah yang malang ini.

"Saya pun keluar dari rumah….lalu memanggil si ayah ini tadi..abang..mari masuk berehat di rumah saya dahulu…bebudak ni tak ada mereka keluar agaknya…"kata saya kepada si ayah ."

"Ke mana mereka pergi…. agaknya…keluar ramai-ramai ke. bila balik agaknya.?" tanya ayahnya…bertalu-talu…saya hanya mendiamkan diri…. lalu saya berkata kepada si ayah…tak mengapa bang…rehat dulu.. abang letih tu datang dari jauh…. bawak masuk motor abang tu ke dalam laman rumah saya…."

Si ayah bersetuju kerana tiada pilihan lain…nak balik alang-alang.. dah sampai ..bukannya dekat.. lagipun bukan senang nak datang balik….. si ayah nampak keletihan sambil menolak motorsikalnya dengan beban tilam yang berat.

Si ayah menunggu…sehinggalah waktu maghrib telah masuk….si anak masih tidak balik lagi…. saya mengajak si ayah masuk ke dalam rumah mandi dan menunaikan solat maghrib .. kemudian saya menjamunya makan malam.Si ayah nampak keberatan tapi apa kan daya kerana menunggu anaknya …lantaran hati kecilnya merasa risau kalau-kalau anaknya tidak selesa tidur di atas toto…takut kesihatan anaknya terganggu.

Sedang kami duduk menunggu anaknya…. yang masih tidak balik walaupun waktu isyak sudah lama berlalu….tiba-tiba si ayah sudah mengesyaki sesuatu….. lalu bertanya kepada saya…"Anak saya ni keluar dengan siapa sebenarnya encik?"

Saya hanya terdiam…tak terkata apa-apa…. lalu saya menjawab…"beginilah bang.. abang tunggulah sampai dia balik ..lihatlah sendiri dan tanyalah sendiri dengannya."

Si ayah semakin risau……dan semacam sudah mengesyaki sesuatu yang tidak baik sedang dilakukan oleh anak gadisnya itu. Tepat pukul 2.15 pagi… barulah anak gadisnya pulang.. dengan membonceng motorsikal pakwenya..memeluk mesra…pakwenya….berhenti di depan rumah sewa

Si anak gadis itu kemudiannya turun dari motorsikal pakwenya…sambil menanggalkan topi keledar diikuti oleh pakwenya,.. itu…. mereka tidak terus berpisah tetapi berbual mesra di hadapan rumah.. tanpa menyedari…perlakuan mereka itu dilihat oleh kami berdua….

Mereka berpegangan tangan..sambil ketawa….bergurau….dan tiba-tiba..pakwe si gadis itu mencium bibirnya…!!!Subhanallah….saya tak boleh bayangkan keadaan ayahnya ketika itu yang bangun dan hendak bergerak menuju ke arah anaknya…tetapi saya tahan….kata saya kepada ayahnya..:

"Jangan bang… sekarang dah pagi…jangan mengamuk tengah ni nanti.. abang yang dapat malu… biarkan budak lelaki itu balik dulu".

Hampir setengah jam kami melihat babak mesra bercumbu dan berpeluk itu… barulah budak lelaki itu pulang…si gadis itu pun masuk ke rumahnya…..

Setelah beberapa minit barulah ayahnya menolak motorsikalnya…dan menghidupkan enjin lalu berhenti di depan pintu pagar rumah anaknya.. seolah-olah dia baru sampai…lalu dia memanggil nama anaknya….Anak gadis ini membuka pintu sambil merungut terkejut dengan kehadiran ayahnya pada lewat pagi sebegitu…sambil katanya..:

"hah ayah apasal datang pagi-pagi macam ni….. tak boleh tunggu besok..?

Si ayah terus meluru lalu menampar… muka anak gadisnya… menjerit-jerit…marah..

"Oooo….. buat apa datang pagi buta ye….kamu tahu tak… aku sampai sejak dari petang tadi.. menunggu kamu… bawakkan tilam untuk kamu….. jenuh aku tunggu kamu….ni ha…pakcik ni yang tumpangkan aku.. rehat..s embahyang …makan….. aku datang dari jauh letih…sebab risaukan kamu…sayangkan kamu.. tapi kamu…keluar sampai jauh malam….d engan pakwe kamu ye…dah la tu kamu bercium beromen depan aku.. anak tak tahu diuntung…. aku malu tau tak…maluuuuu….

Anak kurang ajar.. anak derhaka…. anak tak mengenang budi…..aku jaga kamu…. aku tatang kamu macam minyak yang penuh…. macam ini balasan kamu…macam ni balasan kamu.. pada aku.. haaaa!!! anak ****…….. berdebub… gedebab…. kali ini saya lihat dia terajang anaknya ustaz….. saya masuk ke dalam rumah dan memegang si ayah dan memintanya mengucap…. beristighfar…. bersabar……….

Anak gadisnya… menangis meraung…merayu… memohon keampunan….. hu hu hu ayahhhh…ampunkan alongggg….huwaaaaa…ayah alongggg salah …along berdosa dengan ayah….. hunhuuuuuu…….!!

Kau memang anak celaka…. .memalukan keluarga…orang tua.. kalau mak kamu tahu ni pasti mak kamu akan sedih sangat…. tadi.. mak kamu nak ikut.. rindu nak tengok kamu…aku tak bagi tau tak…. sebab nak bawak tilam ni….kamu tau tak tilam ni berat…. tilam kekabu…aku bawak dari kampung jauh…. terhoyong hayang aku.. bawak motor…tadi pun nyaris tak kena langgar dengan lori.. tau tak…??

Kata si ayah sambil menangis…….suasana pilu….. saya juga menitiskan air mata…. sedih melihat ayah yang separuh abad,,, menangis kecewa dengan perbuatan anak gadisnya.

"Sudah.. kau kemaskan barang…. pagi ni jugak balik ikut aku…. balikkkkk… ikut aku…cepatttt,………kata ayahnya….

Sejak itu ustaz saya tak nampak lagi anaknya itu balik ke rumah sewa disebelah rumah saya itu… Tilam yang dibawa oleh ayah si gadis itu masih ada di rumah saya ditinggalkan oleh ayahnya…kerana tidak mampu dibawa balik lantaran si ayah membawa anaknya balik pada malam itu juga.

Pada malam itu juga si anak gadis itu balik ke kampungnya, dengan membonceng motor…tetapi bukan di belakang pakwenya…tetapi dibelakang bapaknya…… kesiannn ustaz…kesiannnn —RAMM

Kerajaan Pusat Sekat Royalti, Allah Limpahkan Kelantan Dengan Bijih Besi

Posted: 02 Jul 2012 08:05 AM PDT

R minyak dinafi, bijih besi pula ditemui

KOTA BHARU: Ketika kerajaan pusat masih menafikan hak Kelantan ke atas royalti petroleum, sebaliknya bijih besi pula ditemui di bumi negeri ini.

Bijih besi tersebut sekarang dieksport sebanyak 40,000 tan metrik setiap minggu melalui Tok Bali ke China.

Kapal dari China kini berlabuh kira-kira 1.4 batu nautika dari pantai Tok Bali bagi mengangkut bijih besi, di mana ia diangkut ke kapal menggunakan 20 tongkang dari jeti di Tok Bali.

Anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa berkata, sebelum ini bijih besi tersebut dieksport ke China melalui pelabuhan di Kemaman dan Kuantan yang melibatkan kos agak tinggi.

"Namun sekarang bijih besi tersebut dieksport melalui pelabuhan di Tok Bali yang ternyata lebih menjimatkan kos pengangkutan," katanya menjawab soalan Abdul Latif Abdul Rahman (PAS-Mengkebang) pada persidangan Dun hari ini.

Beliau berkata, hasil royalti tersebut dijangka dapat menampung kos pembinaan pembinaan lebuh raya rakyat Kuala Krai-Kota Bharu.

Menurutnya daripada hasil royalti besi sekurang-kurangnya dapat menampung bayaran tertunda projek lebuh raya berkenaan yang ditetapkan dalam masa 25 tahun.

"Kita telah berusaha memecahkan benteng kongkongan dan halangan oleh kerajaan pusat sebelum ini. Idea yang dicetus Menteri Besar bagi mengamalkan konsep wakaf sebagai satu nilai tambah.

"Usaha itu ternyata mendapat sambutan menggalakkan biar pun promosinya belum dilakukan secara meluas, namun dana yang disumbang secara online sekarang sebanyak RM430,000," ujarnya.

Kata beliau kerajaan negeri akan mewujudkan dana amanah di bawah Perbendaraan Negeri bagi mengurus sumbangan orang ramai.

Malah pada 7 Julai ini artis-artis yang menyertai PAS akan mengadakan program khusus bagi menyokong projek lebuh raya rakyat.

"Pada Ramadan nanti kita juga akan lancarkan kutipan dana di Kuala Lumpur bagi membolehkan orang ramai turut sama menyumbang," ujarnya.

Husam juga memberitahu lapan juruukur yang mengambil alih peranan juruukur awal menyiapkan jajaran projek lebuh raya rakyat sudah berjaya menyiapkan kerja-kerja ukur sepanjang 30 km.

Kata beliau kerja-kerja mengukur jajaran jalan raya tersebut sebenarnya sudah disiapkan pada 2007, namun juruukur yang terbabit tidak dbenarkan menyerahkan laporan kepada kerajaan negeri.

Bagaimanapun katanya, kerja-kerja pembinaan lebuh raya tersebut dijangka akan dimulakan selepas mendapat kelulusan mesyuarat Exco kerajaan negeri dalam masa terdekat ini.

Menurutnya jentera berat milik syarikat juga sudah berada di lokasi bagi memulakan kerja-kerja pembinaan.

"Kita akan laporkan setiap minggu perkembangan projek pembinaan lebuh raya tersebut selepas ini bagi pengetahuan rakyat," katanya. -HD

Ulasan GB

kerajaan UMNO BN cuba dengan segala cara untuk menyekat pembangunan di negeri Kelantan, khususnya dengan menyekat royalti minyak, tetapi Allah itu Maha Kaya. Kerajaan Kelantan pimpinan TG Nik Aziz akan terus mendapat perlindungan dan rahmat dari Allah swt apabila kita terus berusaha mempertahan dan memperjuangkan kalimah Allah di atas mukabumi ini.

Biarkan, kezaliman UMNO BN itu akan memakan diri mereka sendiri!

Cacing 5 Inci Dikeluarkan Dari Bola Mata

Posted: 02 Jul 2012 05:50 AM PDT

Seorang lelaki yang mengalami sakit dan gatal di bahagian mata terkejut selepas mendapati keadaan berkenaan berlaku akibat seekor cacing sepanjang lima inci yang hidup di sebalik bola matanya.

Keadaan itu disedarinya selepas doktor membuat pemeriksaan mata.

PK Krishnamurthy, 75, yang juga seorang pesara dari Mumbai sebelum ini berulang kali ke hospital selepas mendapati matanya sakit dan tidak selesa.

Doktor kemudiannya memberikan ubat, namun dia masih terus dilanda kesakitan.

Susulan itu, doktor memutuskan untuk membuat pemeriksaan lanjut dan alangkah terkejutnya mereka apabila menemui cacing di dalam matanya itu.

Cacing itu bagaimanapun berjaya dikeluarkan dalam satu pembedahan kecil, semalam.

Menurut pakar mata di Hospital Fortis, Dr V Seetharaman, Krishnamurthy bernasib baik kerana cacing itu dikesan dan dikeluarkan dengan segera.

"Simptom kesakitan pada bahagian matanya telah hilang dan dia amat bertuah kerana cacing itu hanya berada di bahagian mata.

"Jika ia memasuki bahagian otak pesakit, maka ia akan menyebabkan masalah neurologikal yang amat besar kepada Krishnamurthy,'' katanya.

Setakat ini doktor masih belum mendapat jawapan bagaimana cacing berkenaan boleh berada di dalam mata pesara berkenaan.

"Cacing itu berjaya memasuki saluran darahnya dan membesar di dalam badan manusia. Ia telah dihantar ke makmal untuk kajian ,'' kata Dr V Seetharaman .

Dalam pada itu, Krishnamurthy gembira kerana penyakitnya itu dapat dikesan lebih awal. -mynewshub

Kemenangan Dr Morsi – Gendang Perjuangan, Bukan Loceng Rehat

Posted: 02 Jul 2012 03:31 AM PDT


Dr Morsi, calon Presiden Mesir dari Parti Kebebasan dan Keadilan yang dikelolakan oleh Ikhwaanul Muslimin, telah secara rasminya diumumkan menjadi Presiden Mesir pertama pasca Revolusi Mesir 25 Januari 2011. Seluruh dunia yang bersama dengan perjuangan menuntut keadilan dan menumbangkan kezaliman, bergempita dengan rasa syukur atas kemenangan ini. Rata-rata manusia yang jiwanya masih lurus dan akalnya masih berada pada tempatnya, merasa lapang dan senang dengan kemenangan ini. Grafik: HalaqahMaya.Com

Kita tidak mahu ketinggalan merakamkan ucapan tahniah. Kepada Ikhwaanul Muslimin, kepada Dr Morsi dan semestinya, kepada yang memainkan peranan paling besar sekali atas kemenangan hari ini – Rakyat Mesir. Tanpa kami tinggalkan syukur dan rasa rendah diri kami kepada Allah SWT yang menggerakkan semua ini.

Namun apa yang lebih besar daripada kemenangan Dr Morsi hakikatnya adalah kesedaran kita.

Sesungguhnya bagi kami di LangitIlahi, kemenangan Dr Morsi adalah merupakan bunyi gendang perjuangan.

Bukanlah deringan loceng rehat.

Kita Teruskan Usaha-Usaha Kita. Dan Dr Morsi Meneruskan Usaha-usahanya.

Kita hidup dalam dunia global yang luas. Kemenangan di satu tempat, belum lagi bererti kemenangan di merata-rata tempat. Bahkan, pada realiti hari ini, kemenangan di sesebuah tempat itu sendiri belum bererti kemenangan penuh. Contohnya di Mesir, selepas ini Dr Morsi akan berhadapan dengan saki baki regim Mubarak pula di dalam pemerintahannya. Di Turki dahulu, Erdogan berhadapan dengan tentera Turki sendiri.

Bahkan, jika kemenangan di satu-satu tempat tersebut adalah kemenangan solid, ia tetap akan mendapat ancaman daripada Barat contohnya. Mereka tidak akan berdiam diri. Justeru, kita tidak patut berdiam diri juga. Tidak patut untuk kita berehat. Bahkan, apabila ada sesebuah kumpulan Islam menang di satu-satu kawasan, kita perlu memberikan sokongan kepadanya.

Bagaimana memberikan sokongan kepadanya? Dengan kita berusaha mengislah diri, serta mengislah keluarga dan masyarakat di tempat kita. Kemenangan Islam di sesebuah kawasan, perlu dibantu dengan kemenangan Islam di sesebuah kawasan yang lain. Barulah kemenangan itu mampu mencetus kekuatan yang sebenarnya.

Namun jika Dr Morsi dan partinya berusaha mengislah Mesir, dan kita di Malaysia berdiam diri membatu, sekadar bergembira dengan kemenangan Dr Morsi, dan tidak berbuat apa-apa, maka di manakah keuntungannya kemenangan Dr Morsi itu?

Di sini kita perlu perhatikan dengan teliti. Agar kita tidak tertipu dengan kemenangan ini.

Usaha mesti diteruskan, dan digencarkan lagi!

Ini Adalah Peperangan Nafas Panjang.

Hakikatnya, perjuangan antara hak dan batil adalah perjuangan nafas panjang. Semenjak Nabi Adam dan ibu kita Hawwa, diturunkan ke bumi angkara Iblis durjana, hinggalah ke hari kiamat nanti, peperangan antara hak dan batil ini akan berterusan.

Maka kita sepatutnya maklum akan hal ini, dan mempersiapkan bukan sahaja diri, bahkan menghasilkan pula pewaris-pewaris untuk meneruskan perjuangan kita nanti. Kita patut sibukkan diri kita dengan pelbagai projek kebaikan, menyusun pelbagai strategi, berfikir dengan kreatif dan kritis untuk meningkatkan kualiti perjuangan Islam.

Jangan fikir bahawa apabila kita mencapai sebuah kemenangan, maka kemenangan itu akan bertahan selama-lamanya. Ianya perlu dipertahankan. Ianya perlu diperkuatkan lagi. Diperkukuhkan.

Bukannya bersambil lewa, dan lemas dalam kemenangan.

Musuh-musuh Islam tidak akan duduk diam. Mereka mempunyai agenda. Mereka akan menyusuh perancangan. Maka apakah pantas bagi kita, orang-orang Islam, bergoyang kaki dan sekadar bergembira dengan kemenangan, lantas menanti untuk dikalahkan sekali lagi?

Penutup: Maka Marilah Jadikan Kemenangan Dr Morsi Ini Sebagai Pemacu Semangat Kita!

Bangunlah. Jangan fikir ini masa rehat kita.

Kami mengajak agar kita bersama-sama menggunakan momentum ini, menggencarkan lagi segala usaha, dan memperhebatkan lagi segala urusan perjuangan kita. Mungkin kita tidak berjuang dengan senjata seperti raifal dan kereta kebal, tetapi kita tetap berjuang dengan senjata minda dan pergerakan.

Kita perhebatkan lagi usaha penyebaran Islam dalam bentuk akhlak, bentuk pemikiran yang kreatif, dalam bentuk yang harmoni, menghidupkan jiwa-jiwa agar menjadi subur kembali dengan kefahaman terhadap deen Allah SWT.

Ini bukan masanya lagi untuk kita berehat.

Rehat kita hanya di syurga nanti!

Ayuh!

Bangun, dan bergeraklah!

Mari Menjadi Hamba Ilahi!

disunting dari: langitilahi.com

Chua Soi Lek Melenting ADUN UMNO Cadangkan Hudud

Posted: 02 Jul 2012 01:33 AM PDT


Cadang hudud: ADUN Umno 'hilang akal', kata MCA

Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata ADUN Umno Johor yang mencadangkan supaya hukum hudud dilaksana ke atas orang Islam dan bukan Islam di negeri itu "hilang akal" kerana mengemukakan perkara tersebut. Grafik: Pencinta keadilan.

Dalam satu tulisannya di Twitter malam tadi, Chua berkata ADUN berkenaan, Datuk Ayub Rahmat juga telah kehabisan idea sehingga menimbulkan cadangan berkenaan.

"ADUN Umno Johor itu tentu sudah kehabisan idea dan hilang akal untuk mencadangkan hudud di Johor meliputi bukan Islam," katanya.

Tambahnya, MCA "pastinya" menentang usaha seperti itu.

Ayub yang merupakan ADUN Kemelah membangkitkan cadangan itu 20 Jun lalu pada mesyuarat pertama penggal persidangan kelima Dewan Negeri Johor ke-12.

Ketika diminta menjelaskan cadangannya itu, berkata beliau mahu melihat Johor mendahului negeri lain melaksanakan hukum hudud "sebenar" – yang menurutnya berbeza dengan hudud PAS.

Hukum hudud sebenar meliputi semua kaum dalam sesuatu negara berbanding hudud PAS yang hanya tertakluk kepada orang Islam, kata Ayub yang memberi contoh Kanun Jenayah Syariah II (1993) (Hudud Kelantan).


Beliau berpandangan bahawa undang-undang itu menimbulkan diskriminasi dari segi pelaksanaan di antara orang Islam dan bukan Islam.

Pendiriannya itu meletakkan MCA sebagai parti kedua paling besar dalam BN dalam kedudukan sukar.

MCA sebelum ini lantang mengkritik undang-undang hudud dan sentiasa menyerang PAS atas rancangan pelaksanaan undang-undang syarie yang didakwa akan menakutkan pelabur asing.

MCA menjadikan kritikan ke atas hudud sebagai bahan kempen utamanya dalam menghadapi pilihan raya umum untuk menentang seterunya, DAP. -mk

Hudud: Kelantan ada halangan, jika Johor dahului silakan

KUALA LUMPUR: "Pada saya, saya bersyukur sangat-sangat atas kesedaran ini. Tidak perlu cabar mencabar, saya menyokong sepenuh hati," kata Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Beliau menyatakan demikian sebagai respons setelah membaca kenyataan Adun Umno Johor di dalam Sidang Dun Johor, Datuk Ayub Rahmat yang mencadangkan agar Johor melaksanakan hudud mendahului Kelantan serta mencabar PAS menyokong hukum hudud itu walaupun datang dari Umno.

"Kelantan atau Johor dahulu tidak penting. Kelantan telah menghadapi halangan untuk laksanakan hudud, jika Johor mendahului Kelantan, silakanlah.

"Insya Allah giliran Kelantan akan tiba juga. Sekali lagi saya nyatakan, saya menyokong sepenuh hati," ujarnya yang juga Mursyidul Am PAS melalui Facebooknya.

Justeru, harapan beliau agar cadangan itu tidak akan ditarik balik dan menjadi kenyataan.

"Mari kita bekerjasama memperlihatkan Islam yang sebenar kepada masyarakat Malaysia.

"Tahniah kepada Umno Johor dan saya menunggu untuk melihat langkah seterusnya," ujarnya lagi.
-HD





Jefrydeen Terima Geran di Kampung Melayu Subang Setelah 10 Tahun Menunggu

Posted: 01 Jul 2012 10:53 PM PDT

Penyanyi pop yeh yeh, Datuk Jefrydeen Imbrom Soekaman, adalah antara 20 penerima surat hakmilik tanah daripada Kerajaan Selangor di Kampung Melayu Subang Tambahan di sini hari ini.

Beliau yang menetap di kampung tersebut sejak 1996 mengucapkan rasa syukur kerana impiannya bagi memiliki hak kepada tanah yang diduduki akhirnya tercapai.

"Saya berasa syukur dan gembira kerana menunggu lebih 10 tahun dan akhirnya ia menjadi kenyataan.

Terima kasih kepada Kerajaan Negeri yang prihatin akan masalah ini serta meluluskan permohonan saya.

Sebelum ini saya pernah memohon beberapa kali sejak 1999 tetapi gagal," kata penyanyi 65 tahun yang popular dengan lagu "Kenanganku".

Beliau ditemui selepas Majlis Penyerahan Surat Hakmilik Tanah Penduduk kampung tersebut di sini hari ini.

Majlis penyerahan itu disempurnakan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan dihadiri Exco Selangor, Iskandar Abdul Samad dan Rodziah Ismail, serta ADUN Kota Damansara, Dr Mohd Nasir Hashim.


Seorang lagi penerima, Che Nah Salleh, 60, berkata pemberian hakmilik itu adalah bukti Kerajaan Negeri amat mengambil berat akan kebajikan rakyat di Selangor.

Pesara kakitangan kerajaan itu pernah membuat permohonan hakmilik pada zaman pentadbiran Umno-BN tetapi keputusannya menghampakan.

"Selepas 2008 barulah segalanya berubah dan akhirnya masalah ini dapat diselesaikan. Memang saya gembira dengan anugerah ini," kata ibu tunggal lima anak yang kematian suami pada 1981 itu.

Sementara itu, Abdul Khalid berkata, Kerajaan Negeri mendapati masih ramai penduduk di sesuatu kawasan penempatan di Selangor yang masih tidak dapat hakmilik.

Ini kerana mereka adalah terdiri dari penduduk yang telah mendiami kawasan perumahan tersebut dalam tempoh yang lama.

"Oleh sebab itu Kerajaan Negeri telah meminta Pegawai Daerah dan Pejabat Tanah untuk menyelesaikan masalah ini.

Walaupun masanya agak lama untuk selesai, iaitu lebih dari setahun, tetapi saya rasa bila sudah diselesaikan, ia memberikan ketentuan kepada pemiliknya," katanya. -selangorku


Terharu Terima Geran Sampai Tak Boleh Tidur Malam

AMPANG 1 JUL : Setelah 18 tahun turun naik pejabat tanah dan gagal mendapat geran, S. Ravindran seakan tidak boleh percaya apa yang berlaku padanya hari ini.

Pesara yang berumur 57 itu akhirnya menerima yang impian yang ditunggu hampir 20 tahun itu menjadi kenyataan apabila dokumen borang 5A ada dalam tangannya.

"Memang saya tidak percaya kerana saya fikir semua itu sekadar janji-janji politik sahaja dan tidak bermakna apa-apa pada rakyat biasa seperti saya.

"Jadi apabila diberitahu dua minggu lepas bahawa saya akan terima geran, saya memang tidak percaya dan menganggap ini merupakan satu lagi janji kosong.

"Saya hanya percaya apabila terima surat berkenaan perkara ini tempoh hari.

Perasaan terharu serta gembira itu sememangnya tidak dapat digambarkan dengan kata-kata sehingga tidur semalam pun tidak dapat lelap mata,
" ujar Ravindran dari Kampung Tasek Permai.

Beliau yang hilang kakinya dalam satu kemalangan telah menduduki tapak rumahnya selama lebih 30 tahun.

Ravindran antara 66 orang yang menerima borang 5A daripada Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam satu Majlis Pemberian Hak Milik Persendirian di kawasan Dewan Undangan Negeri Lembah Jaya.

Manakala 72 orang menerima dokumen geran tanah di majlis yang bertempat di Padang Awam Tasik Tambahan.

Sementara itu, Abdul Khalid dalam ucapannya berkata, Kerajaan Selangor sentiasa komited untuk menyelesaikan isu permohonan hak milik tanah yang berlarutan sekian lama sejak era zaman Umno-BN dahulu.

"Jika dahulu, kebanyakan pemberian tanah tidak dibuat secara telus, antaranya kerana mengutamakan kawan rapat atau sanak saudara.

"Sebaliknya, Kerajaan Pakatan memberi hak rakyat tanpa mengira pegangan parti politik," kata beliau sambil disambut tepukan gemuruh kira-kira 100 hadirin.

Selain penghuni Kampung Tasek Permai, kampung lain yang terlibat dalam majlis pagi tadi ialah Kampung Ampang Indah, Ampang Campuran dan Kampung Bukit Sungai Puteh.

Turut hadir ialah Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan, Setinggan, Iskandar Abdul Samad, Adun Lembah Jaya, Khasim Abdul Aziz dan Timbalan Yang Di Pertua Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Zulkefli Khalid.

[BERGAMBAR] Macam Dalam Filem: Rompakan Mesin ATM Di Carrefour Wangsa Maju

Posted: 01 Jul 2012 08:51 PM PDT

RM1.17 juta dalam empat mesin ATM lesap

KUALA LUMPUR - Wang tunai berjumlah RM1.17 juta di dalam empat mesin juruwang automatik (ATM) di aras 1 pasar raya Carrefour, Wangsa Maju di sini, dilarikan penjenayah awal hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul Supt Othman Abu Bakar berkata kejadian disedari seorang pengawal keselamatan pada pukul 7 pagi semasa membuat rondaan dan mendapati kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan mesin ATM itu telah dialihkan.

Melihat kesan tebukan pada keempat-empat mesin ATM berkenaan, pengawal keselamatan itu bertindak melaporkan kepada polis.

Othman berkata berdasarkan siasatan awal rakaman CCTV, kejadian pada pukul 3.06 pagi itu dilakukan sekumpulan penjenayah yang memakai topeng muka dan menggunakan alat pencair besi (oxy-gas) bagi menebuk keempat-empat mesin ATM itu.

"Kami percaya ia dilakukan sekumpulan penjenayah yang cukup profesional dan perancangan mereka amat rapi," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Othman berkata polis kini memburu kumpulan penjenayah terbabit berdasarkan rakaman CCTV di tempat kejadian.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat segera menghubungi balai polis berdekatan bagi membantu siasatan. - Bernama



Jika diletakkan pujian, kumpulan penyamun yang melarikan wang tunai dari 4 mesin ATM ini memang layak menerimanya.

Dengan kerugian RM1.17 juta , segala-galanya nampak teratur walaupun mereka melakukan kerja gila ini dengan pelbagai rintangan yang harus dihadapi.


Bukan memuji penjenayah, tetapi kelemahan sistem kawalan dan keselamatan di lokasi ini dipercayai menyebabkan kejadian ini langsung tidak disedari.

Kejadian dipercayai berlaku antara jam 3 hingga 5 pagi tadi di Carefour Wangsa Maju di ibunegara.

Kumpulan penjenayah terancang ini memasuki bahagian dalam premis hipermarket ini melalui pintu kalis api bawah tanah.

Sebahagian pintu dipotong dari luar dan mereka masuk dengan membawa sekali peralatan untuk membuka peti besi mesin ATM terbabit.

Penjenayah terpaksa mendaki laluan 2 lagi tingkat ke bahagian atas sebelum sampai ke lokasi mesin ATM terbabit.



Kamera litar tertutup di bahagian atas, dialihkan hala tujunya bagi mengelakkan dikesan.

Penjenayah dipercayai menggunakan gas Oxy-Acetylene bagi memotong dan membuka peti besi 4 daripada 6 buah yang terdapat di sini.

Mereka kemudian mengeluarkan 16 buah kotak berisi wang tunai dari 4 mesin pengeluaran sebelum mengeluarkan semua wang tunai yang terdapat di dalamnya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Supt Othman Abu Bakar berkata, polis percaya , ia dilakukan lebih dari 3 saspek.

Polis turut merakam percakapan pengawal keselamatan bagi membantu siasatan, manakala beberapa kesan cap jari turut ditemui di lokasi kejadian.

Sebarang maklumat, sila salurkan ke IPD Sentul
03-61895222


kredit: ondscene.my


No comments: