Kelab Greenboc |
- ADUN Kuala Nerang, Syed Sobri Akhirnya Mengaku Sendiri Beliau Muflis
- Negara Paling Selamat? Pemuda Mati Ditembak Dalam Kereta Di Pasir Mas
- Tiada Rusuhan, Tiada Pergaduhan, Anggota Polis Patah Kaki, Terbabas Sendiri
- BERS✔H 3.0 Wajib Diadakan. Tarikh Akan Diumumkan Esok!
- [Video] Tindakan Pandikar Tolak Laporan Minoriti & Halau MP Pakatan Dikecam
- [Bergambar] Bas RapidKL Terbakar, Penumpang & Pemandu Selamat
- Mayat Wanita Ditemui Bogel & Terikat Dalam Rumah Di Taiping
- Kemenangan Suu Kyi Suntik Semangat Perjuangan PR Di Malaysia
- 'Skodeng’ Anak Jiran - Mat Taha Didenda Menceroboh
- [Bergambar & Video] Mata Adam Adli Lebam Kena Tumbuk Di Kampung Kerinchi - updated
- Pakatan Bantah Laporan PSC Pilihanraya, Ongkili Hanya Pilih Isu Tertentu
- Nafsu Tak Kenal Siapa: Pemuda Lumpuh Dituduh Rogol Pelajar 15 Tahun
ADUN Kuala Nerang, Syed Sobri Akhirnya Mengaku Sendiri Beliau Muflis Posted: 03 Apr 2012 05:15 PM PDT Alor Setar - Ahli Dewan Undangan Negeri Kedah kawasan Kuala Nerang Datuk Syed Sobri Syed Hashim malam tadi mengumumkan dirinya muflis setelah gagal membayar baki hutangnya dengan bank tempatan berjumlah RM8 juta. Naib Ketua Umno Bahagian Padang Terap itu berkata, hutang tersebut adalah sebahagian daripada pinjaman RM50 juta yang diambil pada 1998 untuk membolehkan syarikatnya, Kulim Enterprise Sdn Bhd, disenaraikan di papan kedua Bursa Saham Malaysia pada masa itu. Bagaimanapun, negara mengalami kegawatan ekonomi ketika itu dan syarikatnya gagal disenaraikan, menyebabkan beliau terpaksa menanggung hutang berkenaan, Syed Sobri pada majlis perjumpaan dengan kira-kira 300 anggota dan pemimpin akar umbi Umno bahagian itu di rumahnya malam tadi bagi menjelaskan kedudukan sebenar. Beliau berkata pada Disember lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah mengisytiharkannya sebagai muflis. Syed Sobri berkata pemimpin Umno telah dimaklumkan mengenai perkara itu, begitu juga dengan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak, yang ditemuinya semalam. Beliau berkata Azizan tetap menyuruhnya hadir pada persidangan Dewan Negeri Kedah yang akan bermula 17 April ini. Bagaimanapun, Syed Sobri tidak akan berbuat demikian kerana berdasarkan undang-undang negeri, beliau telah hilang kelayakan sebagai wakil rakyat berikutan statusnya sebagai muflis. Perkara 47(1)(b) Undang-Undang Tubuh Kerajaan negeri Kedah menyatakan seorang anggota Dewan Negeri hilang kelayakan jika ia seorang muflis yang belum dilepaskan. Pada Pilihan Raya Umum 2008, Syed Sobri yang bertanding buat pertama kali telah menewaskan calon PAS Zawawi Ahmad dengan majoriti 805 undi. - Bernama |
Negara Paling Selamat? Pemuda Mati Ditembak Dalam Kereta Di Pasir Mas Posted: 03 Apr 2012 04:24 PM PDT Pasir Mas: Seorang pemuda mati manakala rakannya cedera di tangan apabila seorang penunggang motosikal melepaskan beberapa das tembakan ke arah kereta yang mereka naiki di Rantau Panjang dekat sini, hari ini. Gambar: ANGGOTA polis memeriksa kenderaan yang terbabit dalam kejadian tembakan di Rantau Panjang, Kelantan, hari ini. Seorang pemuda maut manakala rakannya cedera di tangan apabila seorang penunggang motosikal melepaskan beberapa das tembakan ke arah kereta yang mereka naiki. - Foto Jauhariatul Akmal Johar Ketika kejadian pada 11.15 pagi itu, Mohamad Nazuri Mohd Zain, 24, dari Kampung Kubang Panjang, Lemal, di sini menaiki kereta yang dipandu rakannya. Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman, berkata siasatan awal mendapati mangsa yang duduk di bahagian penumpang hadapan, ditembak penunggang motosikal berkenaan semasa kereta itu melalui Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) Rantau Panjang. "Rakan mangsa kemudian memecut kereta ke pekan Rantau Panjang dan berhenti di hadapan gerai mee milik ibu mangsa. "Hasil pemeriksaan mendapati dua tembakan mengenai mangsa, satu di bahagian rahang kiri dan satu di bahagian dada sebelah kiri," katanya dalam SMS kepada BERNAMA di sini, hari ini. Jalaluddin berkata, rakan mangsa yang cedera ringan di tangan kiri turut ditahan untuk siasatan dan beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. Sementara itu, kakak Mohamad Nazuri, Sahera, 29, berkata beliau tidak menyangka individu yang terbaring dan berlumuran darah di dalam kereta di depan kedai ibunya adalah adiknya. "Saya melihat Proton Wira di depan kedai emak dan ingatkan kereta pelanggan yang ingin membeli beras, saya hampiri dan melihat seorang lelaki berlumuran darah di kerusi depan dalam keadaan terbaring. "Selepas saya melihat mayat itu dengan teliti, baru saya dapat cam ia adalah adik saya...saya segera meminta ayah menghubungi polis," katanya ketika ditemui di tempat kejadian, di sini. - BERNAMA |
Tiada Rusuhan, Tiada Pergaduhan, Anggota Polis Patah Kaki, Terbabas Sendiri Posted: 03 Apr 2012 10:49 AM PDT Anggota polis patah kaki, kenderaan terbabas LEDANG – Seorang anggota polis nyaris maut apabila kereta peronda yang dipandunya terbabit dalam kemalangan di Kilometer 19.5 Jalan Segamat-Muar dekat sini, semalam. Dalam kejadian kira-kira jam 1.16 petang, kenderaan yang dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas di tepi jalan. Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris berkata, mangsa, Koperal Sidi Ahmad Dollah, 51, mengalami kecederaan dan patah kaki kanan. Menurutnya, mangsa merupakan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun, Terengganu memandu kenderaan tersebut bersendirian. "Mangsa dalam perjalanan dari Terengganu ke Maktab Teknik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bakri. "Mungkin mangsa kepenatan menyebabkan dia gagal mengawal kenderaan yang dipandunya itu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian. Beliau berkata, mangsa dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Muar untuk rawatan lanjut dan keadaannya dilaporkan stabil. "Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) (a) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya. |
BERS✔H 3.0 Wajib Diadakan. Tarikh Akan Diumumkan Esok! Posted: 03 Apr 2012 08:29 AM PDT Bersih 3.0 dijangka berlaku bulan ini, kata sumber KUALA LUMPUR, 3 April — Bersih dijangka akan mengumumkan esok tarikh perhimpunan ketiganya untuk pilihan raya yang bersih dan adil, yang mana menurut sumber badan pemerhati pilihan raya itu akan berlaku hujung bulan ini. Salah seorang jawatankuasa pemandu Bersih yang enggan mendedahkan identitinya berkata kepada The Malaysian Insider butiran berkenaan "Bersih 3.0" akan didedahkan sewaktu sidang media di Dewan Perhimpunan Cina Selangor Kuala Lumpur (KLSCAH) di sini. Beliau bagaimanapun tidak memberikan butiran walaupun laporan di Internet menyebut 28 April ini sebagai tarikh untuk perhimpunan berikutnya, dan Dataran Merdeka sebagai lokasi perhimpunan tersebut. Sumber lain yang dihubungi juga tidak mengesahkan dan menidakkan khabar angin tersebut, namun mengakui semalam bahawa kumpulan tersebut telah bergerak untuk menuntut perubahan pilihan raya yang lebih besar. Perkara itu jelas sumber tersebut, berlaku akibat daripada kegagalan Jawatankuasa Khas Parlimen berkaitan pilihan raya (PSC) menyelesaikan isu pokok dan menunaikan tuntutan Bersih sebelum ini di samping pilihan raya yang bakal berlaku. Sumber itu menambah, lebih banyak bukti penipuan sistem pilihan raya akan didedahkan, yang akan membuktikan PSC adalah sekadar hiasan pentadbiran Najib untuk menunjukkan keikhlasannya melaksanakan pembaharuan sistem pilihan raya. "Kami telah menemui bukti penipuan sistem pilihan raya yang lebih banyak dan menimbulkan tanda tanya sama ada keseluruhan PSC itu hanyalah sekadar satu penipuan," kata sumber berkenaan. "Melalui perhimpunan, kamu boleh sebut saya tidak mengesahkan, atau menafikan perkara itu. "Tapi apa yang saya boleh katakan adalah bukti penipuan tersebut adalah sangat jelas." Sembilan ahli bipartisan PSC telah diumumkan Datuk Seri Najib Razak tahun lalu setelah berbulan lamanya pentadbiran beliau menerima kritikan ketika menguruskan perhimpunan Bersih kedua pada 9 Julai. Selepas enam bulan perbincangan, panel berkenaan telah menyiapkan 22 hasil laporan akhir dan akan diserahkan kepada wakil rakyat di Parlimen semalam. Perbahasan berkenaan laporan itu dijadualkan berlangsung 11.30 pagi hari ini namun, Pakatan Rakyat (PR) telah menyatakan kekecewaan mereka terhadap hasil laporan tersebut. Selain itu, tiga ahli PR dalam PSC sejak minggu lalu sering mengkritik panel kerana dikatakan gagal menyelesaikan isu utama bagi membersihkan pilihan raya, terutamanya dakwaan kurangnya komitmen Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk membersihkan sistem pilihan raya. SPR, yang mana ahli PR telah berulangkali mendedahkan terdapatnya kehadiran 42,000 pengundi hantu di dalam daftar sistem mereka, namun mereka tidak bertindak untuk menyelesaikan masalah tersebut. Tambahan lagi, mereka menyatakan suruhanjaya berkenaan gagal mengemukakan kaedah yang sesuai untuk membenarkan rakyat Malaysia di luar negara untuk turut mengundi, walaupun telah didesak untuk dikemukakan dalam laporan interim PSC Disember lalu. Pengerusi Bersih, Datuk S. Ambiga, pada 18 Mac telah memberi amaran kepada Putrajaya kemungkinan berlakunya Bersih3.0, ekoran penambahbaikan pilihan raya sengaja dilambat-lambatkan dan penambahan pengundi secara mendadak di sesetengah kawasan Parlimen. "Melihatkan kepada keadaan sekarang, kami tiada pilihan lain. Selain Bersih 3.0," kata Ambiga kepada The Malaysian Insider. "Sekiranya kerajaan tidak serius berkenaan penambahbaikan pilihan raya, biar rakyat jadikan perkara itu didengari," tambahnya. Pemimpin PR turut menyatakan sokongan mereka terhadap perhimpunan berkenaan kerana kerajaan gagal memenuhi tuntutan untuk pilihan raya yang lebih adil. Ribuan rakyat Malaysia telah menyertai perhimpunan 9 Julai Bersih 2.0 yang kemudiannya menjadi ganas apabila polis melancarkan gas pemedih mata dan meriam air untuk menyuraikan penunjuk perasaan. Situasi berkenaan menyaksikan 1,000 orang telah ditangkap termasuk sebelum perhimpunan berlangsung, dan Najib menerima kritikan daripada media antarabangsa. Berdasarkan tekanan tersebut, kerajaan telah menjanjikan reformasi, yang mana turut melibatkan pembentukan PSC dan enakmen yang menerima kritikan hebat, Akta Perhimpunan Aman tahun lalu. -TMI BERSIH 2.0: Penipuan pilihan raya akan berterusan PSC: Tindakan Speaker pemangkin Bersih 3.0 Ulasan GB GB telah menyuarakan acapkali mengenai perlunya BERSIH 3.0. Kini baru ada kenyataan positif daripada jawatankuasa BERSIH sendiri. Sekalipun agak lewat dan pilihanraya begitu hampir, namun bak kata pepatah, its better late than newer. Berikut ialah ulasan GB sebelum ini: Penyertaan anggota Pakatan ke dalam PSC adalah satu kesilapan! |
[Video] Tindakan Pandikar Tolak Laporan Minoriti & Halau MP Pakatan Dikecam Posted: 03 Apr 2012 07:14 AM PDT Tiga MP pembangkang diarah keluar dewan Tiga ahli parlimen pembangkang diarah keluar Dewan Rakyat hari ini kerana enggan mematuhi arahan Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia berhubung isu laporan minoriti. Mereka mempersoalkan keputusannya tidak membenarkan laporan minoriti dilampirkan kepada laporan jawatankuasa pilih parlimen (SPA) bagi reformasi sistem pilihan raya. "Di bawah Perintah Tetap 42, apabila speaker bercakap, anda mesti diam," Pandikar memberitahu mereka. "Di bawah Perintah Tetap 43, keputusan speaker tidak boleh dipersoalkan... dan di bawah Perintah Tetap 44, saya mengarahkan Gombak (Azmin Ali), Subang (R Sivarasa) dan Kuala Selangor (Dzulkefly Ahmad) meninggalkan Dewan." Pandikar baru sahaja mengambil alih tugas mempengerusikan sidang Dewan daripada timbalannya, Datuk Ronald Kiandee, apabila beliau memerintahkan mereka meninggalkan Dewan. Sivarasa bangun selepas waktu rihat tengah hari untuk meminta panduan daripada Kiandee mengenai kemungkinan Pandikar silap dalam keputusannya berhubung laporan minoriti. Kiandee enggan melayan permintaan tersebut, tetapi Sivarasa, tidak putus asa - dengan dibantu oleh celahan daripada Azmin dan Dzulkefly - terus membangkitkan perkara itu. Mereka membangkitkan duluan-duluan di mana laporan minoriti telah dibentangkan dalam Parlimen negara Komanwel yang lain. Kiandee (lamam) bertegas bahawa keputusan Pandikar juga dibuat berdasarkan duluan dan amalan yang diterima di Parlimen New Zealand dan negara Komanwel yang lain. Keadaan menjadi riuh-rendah apabila ahli Parlimen pembangkang terus mendesak perkara itu. -mk Usul PSC tambah baik p'raya lulus dalam kecoh Tolak laporan minoriti, cubaan tutup daftar pemilih kotor |
[Bergambar] Bas RapidKL Terbakar, Penumpang & Pemandu Selamat Posted: 03 Apr 2012 05:22 AM PDT Kuala Lumpur - Pemandu dan lapan penumpang sebuah bas RapidKL terselamat apabila kenderaan itu terbakar di Taman Desa di sini tengah hari tadi. Gambar: ANGGOTA bomba dan penyelamat memadamkan bas Rapid KL yang terbakar di Jalan Desa Utama, Taman Dasa, Kuala Lumpur, hari ini. Kejadian itu dipercayai berpunca daripada masalah teknikal. - Foto Zulfadhli Zulkifli Pegawai Bomba Kanan II, Balai Bomba Pantai Dalam, Salmi Abdul Mukti, berkata ketika kejadian pada 1.10 tengah hari, bas itu sedang beroperasi bagi laluan Taman Desa ke ibu kota. "Sebaik kami tiba api masih marak, bagaimanapun 14 anggota dari Balai Bomba Taman Desa dan Pantai Dalam berjaya mengawal kebakaran itu dalam masa 14 minit," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini. Katanya punca kebakaran masih disiasat. - Bernama |
Mayat Wanita Ditemui Bogel & Terikat Dalam Rumah Di Taiping Posted: 03 Apr 2012 04:14 AM PDT Taiping - Bau busuk dari sebuah rumah di Kampung Aman yang menimbulkan tanda tanya kepada penduduk akhirnya terbongkar apabila polis menjumpai mayat seorang wanita dalam keadaan bogel dan terikat. Hasil maklumat jiran, sepasukan polis diketuai Asisten Superintenden Saerah Dollah dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping ke rumah berkenaan untuk menjalankan siasatan. Timbalan Ketua Polis Daerah Taiping, Superintenden Mohd Ismon Suratman berkata, polis menemui mayat seorang wanita di ruang tamu rumah No. 27-505, Kampung Aman, Pokok Assam kira-kira jam 5.30 petang kelmarin. Katanya, ketika ditemui mayat itu dalam keadaan bogel dan kedua-dua kaki diikat dengan wayar manakala mayatnya membengkak dipercayai meninggal dunia tiga atau empat hari yang lalu. "Pintu rumah bahagian dapur tidak berkunci dan boleh dibuka manakala keadaan rumah berselerak akibat digeledah. Mangsa seorang pesara kerajaan tinggal sendirian dalam rumah berkenaan. "Bagaimanapun polis masih dalam siasatan bagi memastikan barangan yang hilang, termasuk kemungkinan berlaku samun. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya. Mohd Ismon berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Bainun Ipoh untuk bedah siasat bagi menentukan punca kematian. -SH |
Kemenangan Suu Kyi Suntik Semangat Perjuangan PR Di Malaysia Posted: 03 Apr 2012 02:14 AM PDT Kemenangan Suu Kyi inspirasi buat pejuang demokrasi' KUALA LUMPUR 2 April: Kemenangan pejuang deokrasi Myanmar, Aung San Suu Kyi memperolehi satu kerusi Parlimen dalam pilihan raya kecil di negaranya merupakan satu inspirasi buat pejuang demokrasi di rantau ini dan seluruh dunia. Perkara itu dinyatakan Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff sewaktu mengulas kemenangan Suu Kyi semalam. Mengulas lanjut, Yusmadi yang juga merupakan Setiausaha Kaukus Asean Inter-Parliamentary Myanmar berkata walau pun kemenangan itu bukan satu kemenangan keseluruhan buat Suu Kyi dan partinya, ia tetap mengesahkan mandat rakyat buat Suu Kyi selama ini. "Kemenangan ini bukan kemenangan baru, ia dipanggil pengesahan semula mandat oleh Aung San Suu Kyi bagi memimpin agenda demokrasi di Myanmar. "Walaupun bukan kemenangan keseluruhan, ia sudah cukup untuk beri nafas baru kepada pejuang-pejuang demokrasi rantau ini yang mungkin agak lesu (kerana cabaran berpanjangan)," katanya. Menurutnya lagi, selain Suu Kyi, masyarakat di Asia Tenggara juga mengenali Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai seorang pejuang demokrasi dan kebebasan. "Di rantau ini cuma ada dua tokoh demokrasi yang kita tahu iaitu Aung San Suu Kyi dan Anwar Ibrahim. "(Justeru), kemenangan ini satu inspirasi untuk pejuang demokrasi lain terutamanya di Malaysia yang akan berhadapan pilihan raya umum akan datang," katanya. Kemenangan Suu Kyi ini juga, kata Yusmadi wajar menjadi iktibar kepada yang lain agar bersabar dan terus tabah dalam perjuangan mereka. "Kita boleh ambil iktibar daripada perjuangan Aung San Suu Kyi – ia perjuangan lama dan bersungguh-sungguh dan tabah walaupun pelbagai tentangan dihadapi. "Yakinlah agenda demokrasi dan kebebasan akan temui kejayaan walaupun ia mungkin memakan masa seperti juga perjuangan Nelson Mandela," katanya. Aung San Suu Kyi dilaporkan memenangi satu kerusi Parlimen dalam pilihan raya di negaranya. Beliau mengalahkan dua pesaing lain dalam pertandingan tiga penjuru. Parti Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) yang dipimpin Suu Kyi mengumumkan yang beliau memenangi kerusi Kawhmu, berhampiran bahagian selatan pusat komersial Yangon. Suu Kyi yang diperintahkan menjalani tahanan dalam rumah selama 15 tahun sejak 1989 bertanding buat pertama kali selepas parti yang dipimpinnya membuat keputusan mengakhiri pemulauan pilihan raya yang didominasi junta tentera. -KD Parti Suu Kyi menang Besar dalam Pilihanraya |
'Skodeng’ Anak Jiran - Mat Taha Didenda Menceroboh Posted: 03 Apr 2012 01:01 AM PDT Kuala Terengganu - Seorang buruh bukan sahaja terpaksa berputih mata setelah hasratnya untuk 'skodeng' anak dara jirannya dengan menceroboh bilik air tidak kesampaian, tetapi lebih malang, dia turut dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, semalam, atas perbuatannya itu. Sebagai pembalasannya, tertuduh, Mat Taha Ismail, 39, dari Kampung Lingai, Batu Rakit, di sini, yang dipercayai turut berhajat untuk melakukan jenayah lain dikenakan denda RM2,500 selepas mengaku bersalah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana menceroboh. Mat Taha turut berhadapan hukuman empat bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda terbabit. Hukuman dijatuhkan Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi selepas tertuduh mengaku salah menceroboh masuk rumah milik Nurul Alia Embong, 20, kira-kira jam 10 pagi pada 27 Mac lalu. Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintenden Ngiam Ooi Ming dan tertuduh tidak diwakili peguam. Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian, mangsa yang baru terjaga dari tidur terkejut setelah ternampak tertuduh di hadapan pintu tandas rumahnya. Mungkin terkejut dengan teguran itu, tertuduh terus melarikan diri melalui pintu yang diumpilnya sebelum ini. Curiga dengan tindak-tanduk tertuduh, mangsa terus membuat pemeriksaan lanjut di dalam rumahnya tetapi mendapati tidak ada barang berharga yang hilang. Bimbang kejadian tidak diingini berlaku, mangsa buat laporan di Balai Polis Batu Rakit. |
[Bergambar & Video] Mata Adam Adli Lebam Kena Tumbuk Di Kampung Kerinchi - updated Posted: 03 Apr 2012 12:07 AM PDT Adam Adli ditumbuk ketika rundingan penduduk Rundingan 34 penduduk pangsapuri PKNS Kampung Kerinchi dekat Kuala Lumpur bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) yang mahu merobohkan kediaman mereka pagi ini dicemari oleh insiden aktivis pelajar, Adam Adli ditumbuk. Menurut saksi kejadian, Adam Adli Abd Halim kelihatan ditumbuk ketika menuruni pangsapuri empat tingkat itu oleh lelaki, dipercayai penduduk setempat. Adam yang hadir bersama seorang lagi aktivis pelajar Ekhsan Bukhari kelihatan mengalami kecederaan di bahagian bibir dan mata. Adam ketika dihubungi Malaysiakini mengesahkan dikasari dan mengalami kecederaan yang kini sedang membuat laporan polis di Balai Polis Jalan Pantai Baharu. Adam sebelum ini popular kerana menurunkan bendera memuatkan bendera memuatkan wajah Datuk Seri Najib Razak dalam perhimpunan mahasiswa di depan ibu pejabat Umno di Kuala Lumpur. -mk Insiden Kg Kerinchi: 3 mahasiswa dipukul |
Pakatan Bantah Laporan PSC Pilihanraya, Ongkili Hanya Pilih Isu Tertentu Posted: 02 Apr 2012 09:01 PM PDT Kuala Lumpur - Pakatan Rakyat akan memfailkan notis untuk meminda laporan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) Berhubung Penambahbaikkan Proses Pilihan Raya bagi penyata monoriti dimuatkan dalam laporan itu. Ahli PSC, Azmin Ali berkata, ia mempunyai hubung kait dengan daftar pemilih yang masih bermasalah walaupun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berjanji untuk menyelesaikannya. "Perkara yang sama dibangkitkan sebelum ini, termasuk isu 42,000 pengundi yang meragukan kerana tidak mempunyai data di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan didedahkan oleh Institut Sistem Mikroelektronik Malaysia (Mimos) termasuk 80,000 pengundi yang berkongsi alamat. "Datuk Seri Dr Maximus Ongkili menolak cadangan untuk dimasukkan ke dalam laporan PSC pada 28 Mac lalu dengan alasan ia bukan amalan dalam Parlimen," katanya. Azmin berkata, apa yang dilihat Dr Maximus hanya memilih isu tertentu untuk dimasukkan dalam laporan itu. "Mereka mendakwa untuk menjamin pilihan raya bersih dan adil tetapi jika mempunyai sikap sebegini, bagaimana ia boleh dilaksanakan. "Pembangkang akan kemukakan notis kepada Yang Dipertua Dewan Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, untuk membuat pindaan mengikut peraturan mesyuarat 30(1)," katanya. Azmin berkata, alasan yang diberikan Pengerusi PSC itu tidak boleh diterima kerana laporan itu bercanggah dalam peraturan mesyuarat. Tambah beliau lagi, jika dilihat secara menyeluruh ia membuktikan SPR gagal menjalankan tanggungjawab mereka dengan memberi pelbagai alasan. Menurutnya, pembangkang tidak dapat menerima alasan yang diberi oleh SPR, malah PSC juga gagal melihat keseluruhan cadangan yang diberi oleh pihak awam. PSC yang diumumkan penubuhannya Oktober lalu, dianggotai lima wakil kerajaan Barisan Nasional (BN) ,tiga wakil pembangkang dan seorang wakil bebas. Ia bertujuan bagi melaksanakan beberapa cadangan dan pandangan bagi melahirkan pilihan raya yang bersih di negara ini. -SH Ulasan GB Penyertaan anggota Pakatan ke dalam PSC adalah satu kesilapan! GB sudah menyatakan berkali-kali sebelum ini bahawa PSC hanyalah helah/sandiwara Najib dan UMNO/BN untuk mengabui mata rakyat. Sebelum ini GB pernah mengulas: Setakat mana kuasa J/K Khas itu pun masih kabur? Apakah hanya terhad kepada mengutarakan cadangan-cadangan perbaikan tanpa sebarang kuasa pendakwaan? Jika demikian padamkan saja hasrat penubuhannya. |
Nafsu Tak Kenal Siapa: Pemuda Lumpuh Dituduh Rogol Pelajar 15 Tahun Posted: 02 Apr 2012 08:16 PM PDT Kuala Terengganu - Seorang pemuda yang lumpuh dari pinggang ke kaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana dituduh merogol seorang pelajar berusia 15 tahun sebanyak tiga kali pada November tahun lepas. Mohd Sapawi Ismail, 27, yang terpaksa berkerosi roda ketika dihadapkan di hadapan Hakim Zainal Abidin Kamarudin, merupakan bekas tenaga pengajar aktiviti selam skuba sebelum mendapat penyakit lumpuh pada tahun 2010. Bagi pertuduhan pertama, Mohd Sapawi didakwa merogol pelajar itu di rumahnya di Kampung Beting Lintang di Kampung Raja, Besut, antara 8 malam dan 11 malam 27 Nov lepas. Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, dia dituduh mengulangi perbuatan itu pada 28 dan 29 Nov di sebuah rumah berdekatan rumahnya antara waktu yang sama. Tiada pengakuan dicatatkan. Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Zul Fazliah Mahmud manakala Mohd Sapawi tidak diwakili peguam. Zainal Abidin menetapkan 25 April ini bagi tarikh sebutan semula kes dan tiada sebarang jaminan ditawarkan kepada tertuduh. - Bernama |
You are subscribed to email updates from KELAB GREENBOC To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
No comments:
Post a Comment