SEARCH

Friday, March 16, 2012

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Amir Ditawarkan Kerja, Rumah & Kereta

Posted: 15 Mar 2012 05:04 PM PDT

Balas jasa ibu'

KUALA SELANGOR: "Saya akan mulakan hidup baru dengan emak di sini dan berharap dengan kerja baru ini, saya dapat membalas jasanya," kata kata Amir Mohd Omar, 27, pemuda yang terpaksa meninggalkan ibunya, Faridah Maulud, 66, di sebuah hotel bajet, di Jalan Raja Muda di sini, minggu lalu.

Amir berkata demikian selepas menerima pekerjaan ditawarkan seorang usahawan besi keluli, Datuk Jamhuri Abdul Rahman, 43, di Kuala Selangor, semalam selain turut disediakan kereta dan sebuah rumah yang sudah dibayar sewa setahun untuk dia tinggal bersama ibunya.

Menurut Amir, dia amat menghargai kesudian Jamhuri untuk mengambilnya bekerja serta menyediakan tempat tinggal bersama ibunya dan kemudahan itu sama sekali tidak pernah terlintas di fikirannya.

"Semuanya bagaikan mimpi. Saya tidak tahu hendak kata apa. Yang pasti, tumpuan saya sekarang hanyalah untuk membawa mak tinggal bersama.

"Selain itu, saya juga akan bekerja dengan sebaik mungkin bagi membalas kepercayaan majikan yang memberi peluang kepada saya," katanya ketika mengadakan pertemuan bersama Jamhuri di sini yang diatur Harian Metro, semalam.

Kisah Amir mendapat perhatian ramai selepas Harian Metro dalam laporannya 9 Mac lalu mendedahkan kisah ibunya yang lumpuh kebingungan apabila ditinggalkan bersendirian oleh Amir di sebuah hotel bajet selama empat hari hingga terpaksa dijaga kakitangan hotel berkenaan.

Berikutan laporan berita itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKMWPKL) membawa Faridah keluar dari hotel berkenaan dan menempatkannya di Pusat Sehenti JKM Sungai Buloh bagi membolehkan dia diberi penjagaan sewajarnya.

Persoalan mengenai tindakan Amir itu terjawab apabila Harian Metro berjaya menjejaknya dan dalam pertemuan dengan wartawan akhbar ini, Amir berkata dia bertindak sedemikian selepas hilang pertimbangan dan buntu berikutan masalah kesihatan dialaminya, selain tertekan dengan masalah kewangan berikutan pendapatannya sebagai pegawai pemasaran yang tidak seberapa.

Sehari kemudian, Harian Metro berjaya mempertemukan dua beranak itu di Pusat Sehenti JKM Sungai Buloh hasil kerjasama pengarah JKMWPKL, Noormah Abdul Rauf.

Sementara itu, Jamhuri berkata, dia terpanggil untuk mengambil Amir bekerja di kilangnya kerana mahu pemuda itu mengubah kehidupannya kepada yang lebih baik dan tidak mengabaikan ibunya.

Menurutnya, selepas membaca laporan Harian Metro minggu lalu dia menghubungi JKM untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai Amir dan ibunya sebelum dihubungi wartawan bagi mengaturkan pertemuan.

"Saya berharap dengan peluang yang ada ini, Amir akan dapat mengubah tahap hidupnya selain menjaga ibu seperti dihajatinya," katanya. -hm

HIDUP BARU...Jamhuri (dua dari kanan) memberi penerangan kepada Amir (kanan) yang bakal bekerja di syarikatnya.


Ulasan GB

Seperti yang GB pernah ulas sebelum ini:

Usah sesekali lakukan (tinggalkan) ibu sedemikian. Apatah lagi membiarkan ibu di dalam kesedihan dan tangisan.

Kepada Amir, segeralah temui ibumu dan mohon maaf terus kepadanya, kerana tentu dirimu tidak sanggup menanggung kemurkaan Allah dan RasulNya yang memerintahkan kita untuk menghormati ibu.

...

Semua Amir diampunkan Allah, RasulNya dan ibumu.


Dan yang terakhir, kita dengar Amir telah pun ke JKM untuk mengambil dan membawa ibunya pulang.

Kini dengan "kejantanan" Amir, beliau telah dikurniakan Allah sesuatu yang dia sendiri tidak terfikirkan.

Sungguh benar firman Allah swt:


إِنَّ اللّهَ لاَ يُضِيعُ أَجْرَ الْمُحْسِنِينَ

Sesungguhnya Allah tidak menghilangkan pahala orang yang berusaha memperbaiki amalannya.
At-Taubah:120



Semuga hidup Amir diberkati Allah selepas ini, begitu juga dengan Datuk Jamhuri Abdul Rahman yang sudi mengambil Amir bekerja dan menyediakan kemudahan serta tempat tinggal untuk mereka. Dan tak lupa para wartawan yang membuat pendedahan ini sehingga dapat menyelamatkan Amir dari menjadi derhaka dan nasib kedua beranak (amir dan ibunya) kini terbela.


Laporan sebelum ini
klik untuk baca





[Video] Sakmongkol Harap Najib Akan Jadi Ketua Pembangkang Selepas PRU

Posted: 15 Mar 2012 04:05 PM PDT

Harap Najib jadi Ketua Pembangkang - Bekas Adun BN

PEKAN, 15 Mac: Program ceramah umum Pakatan Rakyat di Kampung Batu 9, Sungai Miang dekat sini malam tadi tercemar dengan gelagat penyokong UMNO yang sengaja membuat provokasi di kawasan terbabit.

Tidak cukup dengan mengadakan program "Penerangan & Ramah Mesra Bersama Masyarakat" dijarak begitu hampir (sekitar 100 meter) daripada lokasi ceramah berkenaan, mereka juga turut mengganggu dan mengejek Mohammad Sabu ketika Timbalan Presiden PAS itu menyampaikan ceramahnya semalam.

Ceramah dimulakan oleh Ustaz Abu Kassim Manaf, Yang DiPertua PAS Kawasan Pekan kemudian diikuti oleh Aspan Alias, bekas Blogger UMNO Negeri Sembilan yang kini menyertai DAP.

Selepas itu barulah mantan Ketua Penerangan UMNO Pekan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Manis iaitu Datuk Ariff Sabri Abd Aziz (gambar) menyampaikan ceramahnya.

Beliau yang juga dikenali sebagai Blogger Sakmongkol itu banyak menyingkap sejarah lama ketika bersama UMNO sehinggalah beliau membuat keputusan untuk bersama Pakatan Rakyat dengan menyertai DAP.

Dalam kenyataannya, Ariff banyak mengulas tentang perangai dan sikap pemimpin UMNO yang tidak mahu berubah dan gemar mengejar duniawi menjadi punca dia meninggalkan parti itu.

Beliau turut menyelar sikap puak-puak UMNO yang sudah tidak mempunyai idea hingga tergamak menganjurkan program mereka pada malam itu semata-mata untuk menganggu ceramah umum Pakatan Rakyat sebenarnya.

"Inilah kerja mereka sejak dari dulu lagi. Sepuluh tahun lalu UMNO tuduh ceramah PAS mencaci dan menghina .. tapi sekarang tuan-tuan lihat, amalan itu sudah terlekat pula pada diri mereka," kata Ariff Sabri.

Beliau turut menegaskan kenapa orang Melayu terpinggir sedangkan sudah lebih 50 tahun UMNO menjadi pemerintah di negara ini.

Kuasa ada pada orang Melayu, namun kehidupan dan ekonomi bangsa sendiri terus merundum katanya.

Mereka yang kaya raya dan menikmati hasilnya ialah puak-puak pencacai yang proksi serta kroni mereka sendiri.

Inilah yang berlaku sejak sekian lama dan amalan ini sukar untuk dibendung lagi dalam UMNO, lantaran itulah beliau akhirnya kini terpaksa meninggalkan parti tersebut.

Sementara itu, Ariff Sabri juga banyak mendedahkan beberapa penyelewengan yang dilakukan oleh UMNO selama mereka memerintah termasuk juga dalam isu Felda yang sedang hangat diperkatakan.

Beliau turut mendedahkan bahawa beberapa orang bekas pemimpin UMNO yang bertaraf menteri pun mengakui bahawa jangka hayat parti itu kemungkinan akan berakhir pada PRU-13 ini.

Pakatan rakyat katanya akan menang dan bakal menakluki Putrajaya.

"Saya dimaklumkan, BN akan kehilangan hampir 16 kerusi parlimen di Sarawak dan minima 12 kerusi di Sabah.

"Jika dicampur dengan kelemahan mereka di Semenanjung yang hanya bergantung kepada undi masyarakat Felda dan orang kampung maka harapan untuk melihat BN kecundang pasti akan tercapai.

"Apapun, saya harap Datuk Najib menang di Parlimen Pekan kerana kita nak dia jadi Ketua Pembangkang di parlimen selepas ini," katanya.

Sementara itu Haji Mohamad Sabu, Timbalan Presiden PAS dalam kenyataan awalnya menegaskan apa yang berlaku malam tadi adalah kelemahan tindakan pihak polis.

"Kenapa polis tak halang UMNO buat program dekat tempat kita, sedangkan depa tahu Pakatan Rakyat terlebih awal mahu adakan program ceramah di sini. Polis sengaja biarkan suasana jadi huru hara dan kekecohan tercetus.

"Kenapa polis boleh bersikap begini, sedangkan mereka ditugaskan menjaga keselamatan rakyat. Polis hanya mahu jaga UMNO tapi bukan rakyat!. Mereka berpakat dengan UMNO buat program dekat dengan lokasi kita. Depa nak kita jadi marah ... ," kata Mat Sabu.

Dalam pada itu, mengulas lanjut berkenaan kutukan dan cacian yang dibuat oleh penceramah UMNO terhadap beliau, Mat Sabu secara sinis berkata penceramah terbabit tidak akan dibenarkan ceramah jika Pakatan Rakyat memerintah.

"Dok caci saya isu khalwat, isu tu dah selesai di mahkamah. Kenapa dok bising. Ini kerja puak-puak UMNO. Depa dah tak ada isu," kata Mat Sabu lagi.

Beliau turut mengingatkan rakyat, supaya bersiap sedia untuk menghadapi Pilihanraya Umum Ke-13 bila-bila masa dari sekarang.

Katanya, Pakatan Rakyat kini berpeluang cerah untuk menakluki Putrajaya. -PahangDaily.







Alasan SPR Pindahkan Kawasan Mengundi MB Selangor Paling Tak Masuk Akal

Posted: 15 Mar 2012 09:16 AM PDT

SPR: Zon mengundi sama, sempadan p'raya diperbetul

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menjelaskan bahawa Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kini merupakan pengundi di Lembah Pantai, walaupun sebelum ini mengundi di kerusi parlimen bersebelahan, ekoran langkah pembetulan sempadan kawasan pilihan raya.

Menurut Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar, langkah tersebut dibuat pada awal tahun 2010 selaras dengan keputusan SPR untuk menyelaraskan peta pilihan raya dengan peta rasmi negara.

Beliau berkata menteri besar Selangor telah didaftarkan sebagai pengundi di Jalan 16/2 di Seksyen 16, Petaling Jaya, yang telah tersilap dimasukkan sebagai sebahagian daripada kawasan Petaling Jaya Selatan sebelum pembetulan sempadan itu dibuat.

Apabila peta pilihan raya dan peta rasmi itu diselaraskan dengan menggunakan sistem geografi, didapati Jalan 16/2 sebenarnya berada di bawah zon mengundi Rumah Kakitangan Universiti, di bawah kawasan Lembah Pantai.

"Beliau tidak dipindahkan. Beliau masih didaftarkan di alamat yang sama, tetapi sempadan telah diperbetulkan selaras dengan Akta Pilihan Raya 1958," kata Wan Ahmad ketika dihubungi.

Kes yang sama di Hulu Selangor

Menurut Wan Omar, pembetulan sempadan itu juga menjadi sebab 228 pengundi yang mengundi di Hulu Selangor sebelumnya, mendapati mereka menjadi pengundi di kawasan Selayang sewaktu pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor.

"Terdapat banyak kekeliruan dan parti-parti politik telah mengeksploitasi kekeliruan ini. Jadi kami membuat keputusan pada tahun 2011 untuk membekukan pembetulan sempadan itu," katanya.

Wan Ahmad berkata pembetulan sempadan akan dilakukan serentak dengan persempadanan semula kawasan pilihan raya yang dijadualkan selepas pilihan raya umum ke-13.

"Pada ketika itu, kita akan mempamerkan semua perubahan yang dibuat dan pengundi terlibat boleh membuat bantahan.

"Kita perlu membuat perubahan itu, atau jika tidak pengundi akan terus mengundi di kawasan pilihan raya yang salah," katanya

Wan Ahmad berkata, selain Selangor, beberapa negeri lain telah melakukan pembetulan sempadan sebelum ia dibekukan, termasuk Kelantan dan Perak.

Malaysiakini melaporkan awal hari ini bahawa Khalid hairan tentang perubahan kawasan mengundinya sedangkan beliau tidak memohon untuk pertukaran alamat dan alamat pada kad pengenalan beliau kekal di Pasir Tuntung di Kuala Selangor, yang merupakan bandar kelahirannya. -mk

Khalid hairan ditukar kawasan mengundi




Kawasan mengundi bagi Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim nampaknya telah ditukar tanpa pengetahuannya, seperti yang terbukti menerusi carian di lamanweb Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Semakan di lamanweb tersebut mendapati Khalid (kanan) kini
merupakan pengundi di kawasan pilihan raya Lembah Pantai yang diwakili Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar.

Lokaliti mengundi beliau disenaraikan sebagai Rumah Kakitangan Universiti di bawah daerah mengundi Universiti.

Bagaimanapun, difahamkan Khalid sebelum ini mengundi di kawasan Parlimen Petaling Jaya Selatan. Tidak jelas sudah berapa lama beliau menjadi pengundi di sana.

Ketika dihubungi, seorang pegawai pejabat menteri besar yang enggan namanya disiarkan, mengesahkan Khalid tidak membuat sebarang perubahan pada kawasan mengundinya atau dalam kad pengenalannya.

"Setakat yang beliau tahu, beliau masih pengundi di Petaling Jaya (Selatan) dan alamat pada kad pengenalan beliau adalah di Pasir Tuntung, Kuala Selangor - bandar kelahirannya," kata sumber yang rapat dengan menteri besar itu.

Sumber itu menambah bahawa menteri besar yang telah dimaklumkan mengenainya "memandang berat" perkara itu dan akan menyemak dengan SPR dan Jabatan Pendaftaran.

Tindakan mensabotaj MB?

Malaysiakini membuat semakan tersebut selepas Ketua Pemuda Umno Seputeh, Mohd Razlan Muhammad Rafii, menyiarkan di blognya bahawa Khalid telah menjadi "pengundi hantu" di Lembah Pantai.

Mohd Razlan juga mendakwa peralihan kawasan mengundi itu, yang hanya boleh berlaku jika menteri besar itu menukar alamat pada kad pengenalannya, adalah kerja dalam untuk mensabotaj Khalid.

Khalid tidak boleh bertanding sebagai ADUN di Selangor jika kad pengenalannya menunjukkan dia pemastautin di Kuala Lumpur.

Menurut peraturan SPR, calon yang bertanding kerusi DUN mesti menjadi penduduk negeri berkenaan.

Ini bermakna beliau tidak boleh lagi menjadi menteri besar untuk penggal kedua.
-mk


Ulasan GB

Lepas satu, satu, penipuan yang dilakukan SPR.

Ini kerja amat tidak beretika.

Mengubah sempadan kawasan pilihan raya tanpa sebarang makluman kepada rakyat.
Ia hanya satu alasan SPR untuk menutup salahlaku dan kerja penipuan mereka.

Amat jelas SPR bertindak secara tidak telus dan berusaha melakukan apa saja cara untuk mempastikan UMNO BN mendapat faedah daripada tindakannya itu.

Dan yang terlibat di dalam perubahan ialah di negeri-negeri yang UMNO BN tewas pada pilihanraya 2008 iaitu Kelantan, Perak dan Selangor. Mengapa tidak di seluruh negara?

GB sudah kata dahulu, Suruhanjaya Diraja perlu dibentuk untuk menyiasat perbuatan salahlaku yang begitu ketara dilakukan oleh SPR. Pengerusi dan Timbalan pengerusi SPR perlu didakwa.

Rupa-rupanya Jawatan Khas Pilihanraya yang ditubuhkan ditubuhkan oleh Kerajaan dahulu hanya helah supaya SPR dapat terus berperanan menlakukan penipuan.

Anggota PR yang mengangotainya memang bangang, hanya memikirkan elaun, tetapi gagal untuk memainkan peranan mereka, apatah lagi kini seorang MB dari negeri PR tiba-tiba dipindahkan kawasan mengundinya. Satu tamparan hebat ke muka anggota-anggota EC dari Pakatan Rakyat. Hanya diperlembukan SPR.

BERSIH pula sudah lembik. Atau kita tertanya-tanya masih wujudkah lagikah BERSIH itu? Atau ia sudah mati?

Percayalah, jika pilihanraya diadakan tanpa integriti SPR dicabar dengan disiasat sepenuhnya salahlaku mereka dan daftar pemilih tidak dibersihkan, Pakatan Rakyat akan menggigit jari selepas PRU13. Jangan sampai sudah terhantuk baru nak tengadah!

Kepada YB-YB PR, jika masih lena, PRU12 itulah sekali kamu menjadi YB, selepas ini jangan mimpi!

Buku NDI Tidak Bahaya, KDN Tak Perlu Pantau - Merdeka Center

Posted: 15 Mar 2012 06:58 AM PDT

Merdeka Center: Buku NDI 'bukan bahaya'

SHAH ALAM - Buku panduan terbitan National Democratic Institute for International Affair (NDI), yang didakwa digunakan oleh PKR bagi menerapkan kempen kebencian untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN) melalui cara yang tidak demokratik bukan sesuatu yang 'membahayakan keselamatan" sehingga perlu dirisaukan oleh pihak-pihak tertentu.

Pengarah Eksekutif Merdeka Center, Ibrahiam Suffian berkata, buku panduan itu digunakan di kebanyakan negara dan beberapa parti komponen BN juga menggunakannya untuk menghadapi pilihan raya.

"Saya pernah tengok kandungan buku panduan ini. Tidak ada apa-apa yang membahayakan keselamatan, malah ketika memberi ceramah kepada sebuah parti politik BN, saya juga ada melihat buku panduan ini digunakan,"
kata beliau ketika dihubungi Sinar Harian Online.

Katanya, buku panduan itu pada asalnya diterbitkan dalam bahasa Rusia oleh NDI dan kemudian diterjemahkan dalam pelbagai bahasa termasuk Bahasa Melayu.

Dalam kenyataan kepada Sinar Harian semalam, PKR menafikan dakwaan Umno bahawa pihaknya menggunakan buku panduan pilihan raya, agensi asing yang menerapkan 'kempen kebencian' untuk menjatuhkan kerajaan melalui cara tidak demokratik.

Sebaliknya, Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad menegaskan buku panduan yang digunakan oleh parti itu hanya menerangkan cara-cara sebuah jentera parti dan calon yang bertanding menghadapi pilihan raya.

Menurutnya, buku panduan itu tidak mempunyai unsur-unsur negatif seperti didakwa Umno.

Setiausaha Umno Selangor, Datuk Seri Mohd Zin Mohamed mendedahkan penggunaan buku itu bertujuan untuk menerapkan 'kempen kebencian' terhadap pemimpin negara dengan membangkitkan isu tidak relevan.

Antara kandungan buku itu, termasuk menyebarkan dakyah bahawa kononnya tiada kebebasan media dan beragama di Malaysia.

Nik Nazmi berkata, Umno tidak seharusnya memandang rendah keupayaan rakyat menilai baik dan buruk tindakan yang dilakukan oleh sesebuah parti.

Semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pihaknya memandang serius dan memantau penggunaan buku panduan pilihan raya NDI itu.

Katanya, pemantauan yang dilakukan lebih kepada keselamatan rakyat dan negara.

Ibrahim berkata, kandungan buku panduan NDI yang dimaksudkan boleh dimuat turun dari laman web pertubuhan bukan kerajaan itu.

"Malah kita pun boleh mendapat pelbagai jenis buku panduan pilihan raya dari portal buku atas talian Amazon.com.

"Kandungan buku panduan NDI lebih berstruktur, jadi ia akan diubah mengikut keadaan sesebuah negara, ada perkara yang sesuai untuk sesebuah negara seperti Amerika Syarikat, tidak sesuai di Malaysia, sebab sistem politik berbeza," katanya lagi.

"Bagi saya ia tidak ada apa-apa keistimewaan pun," katanya.

Ketika ditanya sama ada beliau ada melihat buku panduan yang digunakan oleh PKR, Ibrahim berkata, "tidak."

"Saya tidak pasti," katanya apabila ditanya sama ada kemungkinan PKR telah mengubah suai kandungannya berbanding kandungan asal.

"Bagi saya buku panduan ini sesuatu yang biasa. Tidak perlu KDN pantau kerana ia hanya akan membuang masa dan tenaga, tidak ada yang perlu dirisaukan," kata beliau. -SH

Masalah Parkir Semakin Kronik Di Putrajaya

Posted: 15 Mar 2012 05:29 AM PDT

Putrajaya, 15 MAC : Berlanjutan agak lama, sehingga kini masalah kekurangan parkir kereta di pangsapuri Presint 9 dan 11 di sini semakin kronik dan seakan tidak ada jalan penyelesaian.

Kawasan ini merupakan penempatan terpadat yang didiami kakitangan awam di pusat pentadbiran negara yang serba canggih itu.

Pembangunan pesat dan pembinaan pangsapuri yang semakin bertambah menyebabkan penambahan kenderaan yang menyumbang kepada kekurangan kawasan parkir.

Kawasan perumahan yang mempunyai ruang parkir kereta yang terhad menyebabkan pemilik kenderaan meletakkan kereta di bahu jalan, walaupun sedar tindakan itu salah dan boleh menyebabkan masalah trafik.

Menurut Ketua Cabang PKR Putrajaya, Onn Abu Bakar, masalah yang semakin kritikal ini terpaksa dihadapi penghuni yang rata-rata setiap isi rumahnya mempunyai lebih daripada sebuah kereta.

"Penduduk di kawasan ini tidak mempunyai pilihan lain selain meletakkan kenderaan di bahu-bahu jalan kerana itu sahaja alternatif yang ada setakat ini. Saya benar-benar berharap supaya pihak pengurusan pangsapuri dapat mencari jalan untuk mengatasi masalah tempat letak kereta bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku," katanya.

Onn berkata, walaupun saman dikeluarkan setiap hari, namun keadaan sama tetap berlaku.

Jelasnya, penduduk akan tetap meletakkan kenderaan di bahu jalan memandangkan tidak mempunyai pilihan lain.

Sementara itu, Siti Munirah, 26, yang menetap di kawasan itu berkata, beliau benar-benar berharap supaya pihak pemaju boleh menyediakan kemudahan tempat letak kereta bagi mengelakkan mereka dari terus disaman.

"Pihak pemaju mungkin boleh membina tempat letak kereta bertingkat bagi memastikan kenderaan dapat diletakkan di tempat yang selamat. Ini bagi mengelakkan penduduk daripada terus-terusan terpaksa membayar saman daripada Perbandaran Putrajaya," jelasnya. -selangorku

[PANAS] Kerajaan Benarkan Syarikat Telco Kenakan Caj 6% Untuk Prabayar Julai Ini!

Posted: 15 Mar 2012 04:18 AM PDT

Kuala Lumpur: Kerajaan akhirnya dikatakan membenarkan syarikat telekomunikasi (telco) melepaskan cukai perkhidmatan enam peratus kepada pelanggan prabayar, kata HLIB Research.

"Difahamkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) mengeluarkan memo kepada semua penggiat industri yang mengarahkan telco bersedia dari segi teknikal untuk melancarkannya pada 1 Julai," kata firma penyelidikan itu.

"Selain insentif cukai jalur lebar yang dilaksanakan tahun lepas, ini akan meningkatkan lagi pendapatan telco dalam jangka panjang," katanya yang mengekalkan penarafan neutral pada sektor telekomunikasi.

Bahagian penyelidikan Hong Leong Investment Bank (HLIB) berkata ia menjangkakan DiGi akan memperoleh manfaat terbesar jika cakap-cakap ini menjadi kenyataan dengan mengambil kira kedudukan tertinggi (86.6 peratus) pengguna prabayar daripada keseluruhan pelanggan, berbanding Maxis (74 peratus) dan Celcom (77.2 peratus).

Berdasarkan anggaran itu, DiGi, Maxis dan Celcom akan memperoleh kenaikan pendapatan, masing-masing sebanyak enam peratus, empat peratus dan dua peratus, dengan syarat status qou saingan dan penggunaan, kekal. - BERNAMA

Bayi Mati Tersembam Di Bawah Bapa Yang Sedang Tidur

Posted: 15 Mar 2012 01:47 AM PDT

London – Seorang bayi berusia tiga bulan ditemui tidak sedarkan diri dengan mukanya tersembam di sofa di bawah badan bapanya, Dale Owen yang sedang tidur. Gambar fail

Perkara berkenaan didedahkan dalam inkues yang diadakan bagi menyiasat punca kematian Alfie Smith selepas dia ditemui tidak sedarkan diri di Basforf, tiga tahun lalu.

Biarpun Alfie dibawa ke hospital namun dia meninggal dunia lima bulan kemudian.

Inkues dimaklumkan bayi lelaki itu diletakkan di bawah jagaan neneknya, Patricia Owen ketika kejadian itu berlaku.

Ketika memberikan keterangan, Owen berkata, dia telah naik ke tingkat atas untuk mencari Alfie namun menemui mukanya tersembam di sofa bersama Dale.

Jelasnya, ketika kejadian, Dale tidur di sebelah Alfie, namun dia tidak menyedari bahawa dia telah menggerakkan badan dan menghempap ke atas cucunya itu sehingga Alfie tidak sedarkan diri.

Mahkamah dimaklumkan, ambulan telah dipanggil manakala Dale telah membuat pernafasan mulut ke mulut.

Sementara pemeriksaan yang dijalankan ke atas Dale tidak mendapati kesan alkohol atau kannabis.

Ibu Alfie yang berusia 19 tahun kini berada di penjara kerana membunuh jirannya.

Selepas kejadian berkenaan, Alfie telah ditempatkan di sebuah rumah anak yatim namun meninggal dunia beberapa bulan kemudian akibat kecederaan yang dialaminya itu.

[Bergambar & Video] 28 Maut, 24 Cedera Bas Langgar Terowong

Posted: 14 Mar 2012 11:22 PM PDT

Geneva: Sebuah bas membawa pulang pelajar Belgium dari pusat percutian ski terbabas dan melanggar dinding terowong di lebuh raya Switzerland, mengakibatkan 22 pelajar berusia 12 tahun dan 6 orang dewasa terbunuh, kata polis, semalam.

Seramai 24 lagi pelajar dikejarkan ke hospital kerana kecederaan, kata jurucakap polis negeri Valais, Jean-Marie Bornet memberitahu agensi berita.

Bas yang membawa 52 orang termasuk pelajar berusia 12 tahun dari dua sekolah berbeza terbabit dalam pelanggaran jam 9 malam waktu tempatan kelmarin di terowong di Sierre, Switzerland, berdekatan kawasan ski popular di Banjaran Alps.

Polis berkata, bas itu terbabas dan melanggar selekoh sebelum menghentam dinding konkrit terowong.

Bahagian depan bas rosak teruk dan menyukarkan penumpang keluar dari kenderaan itu. Punca kemalangan belum diketahui.

Ketua Polis Valais, Christian Varone, memberitahu anggota penyelamat yang tiba menyifatkan tempat kejadian seperti keadaan perang.

"Kemalangan di Valais memang ada yang teruk sebelum ini tetapi tidaklah sehingga membabitkan begitu ramai mangsa kanak-kanak," katanya.

Lebuh raya ditutup di kedua-dua arah bagi operasi menyelamat. Sebanyak lapan helikopter dan puluhan ambulans dikejarkan untuk membantu menghantar mangsa ke hospital.

Selain itu, berpuluh-puluh anggota bomba, polis, 15 doktor dan tiga pakar psikologi turut berada di tempat kejadian.

Jurucakap kerajaan berkata, pusat krisis ditubuhkan dan nombor kecemasan disediakan untuk keluarga.

Polis berkata, semua mangsa dipercayai warga Belgium yang tinggal di Flanders. Media Belgium melaporkan tiga kanak-kanak itu dari dua pekan iaitu Lommel, timur Antwerp dan Heverlee, berdekatan Leuven.

Duta Belgium, Jan Luykx turut bergegas ke tempat kejadian. Menteri Luar Belgium, Didier Reynders, berkata pihak berkuasa masih mengenal pasti mangsa.

"Ada tiga bas dan hanya satu yang terbabit dalam kemalangan ngeri itu.

"Ia melanggar dinding di terowong," katanya yang dipetik dalam laman web, La Capitale.

Tiada kenderaan lain terbabit dalam kemalangan bas berkenaan di terowong menetapkan had kelajuan 100 kilometer sejam.

"Kami akan teliti apa yang berlaku," kata pendakwa raya Valais, Olivier Elsig. – AP










Bayi 15 Bulan Mati Terapung Setelah Bertatih Sendiri Ke Sungai

Posted: 14 Mar 2012 10:06 PM PDT

Tatih sampai lemas

KOTA BHARU: Seorang bayi berusia 15 bulan yang baru belajar berjalan, mati lemas di Sungai Kuala Besar, berhampiran rumah keluarganya Kampung Pantai Mek Mas, di sini, selepas keluar dari rumah seorang diri tanpa disedari ibunya yang sibuk membasuh pakaian, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 1 tengah hari itu, Nik Mohamad Iqbal Hazim Nik Roslan yang baru boleh berjalan sejak dua bulan lalu, dikatakan keluar melalui pintu depan rumah sebelum mayatnya ditemui terapung di sungai yang terletak kira-kira lima meter dari rumah.

Ibunya, Lini Abdullah, 27, berkata ketika kejadian, dia membasuh pakaian di bilik air, anak kedua, Nik Mohamad Ikram Amir, 9, turut berada di dalam rumah manakala anak sulung, Nik Nadia Izzati, 10, bermain di luar.

"Apabila selesai membasuh, baru saya sedar kehilangan Iqbal dan segera mencarinya di sekitar kawasan rumah hingga ke rumah sepupu, tetapi gagal menemuinya.

"Selepas 15 minit mencari, saya ke sungai dan terkejut apabila mendapati mayat bayi terapung di permukaan air. Saya terus meluru dan mengangkat mayat itu. Luluhnya hati saya apabila mendapati ia memang jasad anak saya," katanya. -hm

AJAL...Nik Mohamad Iqbal ditemui terapung, kelmarin.


Temui anak tidak bernyawa

KOTA BHARU- Cukup sayu apabila pencarian seorang ibu, Lini Abdullah, 27, selama setengah jam akhirnya terjawab setelah menemui sekujur tubuh bayinya di dalam kuala sungai kira-kira 10 meter belakang rumah.

Paling memilukan, bayi berkenaan, Nik Muhd Iqbal Azim Nik Roslan, satu tahun dua bulan itu, didapati terapung di sungai berdekatan rumah setelah dipercayai terjatuh di permukaan kuala Pantai Mek Mas, Pantai Cahaya Bulan (PCB), di sini, kira-kira jam 1.30 petang, kelmarin.

Dengan longlai, Lini yang penat mencari anak bongsu lelakinya di merata-rata kawasan rumah bersama seorang sepupu dikenali sebagai Imah, 30-an, mengangkat anak ketiganya itu di dalam air separas 0.5 meter.

"Setengah jam sebelum menemuinya di dalam sungai, saya sempat melihatnya bermain-main keseorangan di ruang tamu rumah, manakala saya pula membasuh pakaian di dapur.

"Dia pernah turun dari rumah, tetapi tidak pernah turun ke kuala sungai berdekatan, namun kali ini saya hanya temui tubuhnya terapung dan sudah kaku," katanya ketika ditemui di rumah mertuanya di Pantai Mek Mas, PCB, di sini.

Menurutnya, anaknya yang dipanggil Azim itu baru pandai berjalan (bertatih) dan sentiasa mengawasi pergerakannya, namun semuanya cepat berlaku.

Lini berkata, semasa kejadian, dia langsung tidak mendengar sebarang jeritan dan pada mulanya tidak mengesyaki anaknya turun ke sungai terbabit.

Sejurus melihat sekujur tubuh kanak-kanak itu, kata Lini, dia bergegas ke muka kuala, menarik tubuh berkenaan dalam keadaan pilu dan tidak sanggup melihat wajah anak kecil itu, lalu segera menyerahkannya kepada Imah.

"Tidak ada perkataan untuk saya gambarkan perasaan ketika menemuinya. Saya masih ingat keletahnya yang sudah pandai menyebut 'Ma' (panggilan untuk dirinya)," katanya.

Setelah ditemui, anak berkenaan disahkan meninggal dunia apabila dibawa ke Klinik Kesihatan Badang, PCB, di sini, petang kelmarin.

Sementara itu, bapa kanak-kanak malang itu, Nik Roslan Nik Mat, 32, yang bekerja sebagai nelayan tiada di rumah kerana mengambil upah membuat bubu di kawasan berdekatan.

"Saya menerima panggilan telefon daripada adik saya mengatakan anak bongsu saya lemas.

"Saya reda dengan pemergian Azim, sekurang-kurangnya kami menemuinya biarpun dalam keadaan menyedihkan," katanya bapa kepada dua lagi anak, Nik Nadia Izati, 10 dan Nik Muhd Iqbal, 9, yang belajar di Sekolah Kebangsaan Che Latif, di sini.

Bagi nenek mangsa, Azizah Mamat, 47, dia diberitahu kehilangan cucu tersebut kira-kira jam 7 pagi semalam.

"Ketika kejadian, talian telefon bermasalah dan kali terakhir saya menemui Azim pada Ahad lalu ketika melawatnya di rumah," katanya.

Jenazah Nik Muhd Iqbal Azim selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Che Latiff, di sini.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman mengesahkan menerima laporan kejadian lemas bayi berkenaan.
-SH


Pencabul Mabuk Dibelasah Sehingga Cedera Teruk

Posted: 14 Mar 2012 07:47 PM PDT

Pencabul dibelasah

SUNGAI PETANI - Sebuah kafe di Taman Tunku Haminah di sini kecoh semalam apabila seorang lelaki yang dipercayai mabuk bertindak memegang dan meraba punggung seorang wanita yang sedang mengambil makanan di kafe itu.

Gambar: KEADAAN lelaki yang cedera dibelasah selepas didakwa mencabul seorang wanita di sebuah kafe di Taman Tunku Haminah, Sungai Petani semalam.

Semasa kejadian pada pukul 1 pagi, seorang wanita Cina berusia 30-an pergi ke kafe itu bersama teman lelakinya untuk makan tengah malam.

Namun, semasa leka memilih makanan, mangsa terkejut dan berasa amat malu apabila punggungnya didakwa dipegang dan diraba oleh seorang lelaki bertubuh besar.

Sebelum mencabul mangsa, lelaki itu didakwa asyik memerhatikan wanita itu yang berdiri ketika memilih makanan.

Wanita berkenaan yang terkejut dengan kejadian itu membatalkan hajatnya mengambil makanan dan pergi ke meja sebelum mengadu kepada kekasihnya mengenai insiden tersebut.

Kekasih mangsa yang geram dengan tindakan lelaki Cina itu terus membelasahnya sebelum pelanggan lain di restoran tersebut turut memukul lelaki yang didakwa mencabul itu.

Ada antara pelanggan membelasah lelaki itu menggunakan topi keledar.

Selepas kira-kira lima minit menjadi mangsa belasahan, lelaki yang berusia 30-an itu cedera teruk di kepala, muka bengkak dan berdarah beberapa anggota badan. Dia diselamatkan oleh beberapa orang awam lain yang melihat kejadian itu.

Dia yang dipercayai berada dalam keadaan mabuk kemudian dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim di sini dengan ambulans.

Difahamkan, wanita itu mengenali lelaki berkenaan. Semasa kejadian wanita itu dan lelaki tersebut yang dipercayai tinggal di kawasan sama datang secara berasingan. -kosmo

No comments: