SEARCH

Thursday, March 15, 2012

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Ibu Dirang Teringat Ugutan Pencuri Kabel Terhadap Ibunya [updated]

Posted: 14 Mar 2012 05:16 PM PDT

Ingat aku takut nak berperang'

JOHOR BAHRU – Pembunuhan kejam Nurul Nadirah Abdullah yang mayatnya dibakar selepas dibunuh di sebuah rumah terbengkalai di Nusa Damai, Masai di sini Isnin lalu seolah-olah menjadi 'kunci' untuk ibunya mengingati beberapa kejadian yang menjadi penyebab kematian kanak-kanak itu.

BAPA kandung Nurul Nadirah (gambar kecil) menyiram air di atas pusara anaknya sambil diperhatikan Roselyn (dua dari kiri) dan Alan (kanan) di Masai, Johor Bahru semalam.

Roselyn Alan, 25, memberitahu, dia baru teringat salah seorang daripada tiga suspek yang pernah bertengkar dengan ibunya, Milnah Jul, 52, mengeluarkan ugutan selepas ditegur mengenai kegiatannya mencuri kabel elektrik.

Katanya, suspek giat mencuri kabel sejak mendiami rumah kosong yang terletak berhadapan dengan rumahnya di tingkat empat Flat Seri Delima, Bandar Seri Alam, Pasir Gudang.

"Saya pernah dengar suspek mengugut ibu berbunyi: 'Siaplah engkau, ingat aku takut nak berperang'.

"Tak sangka pula mereka benar-benar maksudkannya dengan menculik dan membunuh Dirang (panggilan manja Nurul Nadirah)," rintih Roselyn yang masih bersedih.

Tambahnya, hatinya bertambah terkilan apabila Nurul Nadirah, 5, muncul dalam mimpinya malam semalam dan memberitahunya yang dia sudah okay sebelum memeluk dan menciumnya. Ketika itu Dirang muncul memakai seluar biru tanpa berbaju.

"Dalam mimpi itu, dia tanya emak cari saya? Saya kata ya... kenapa kau tidak balik dan dia kata dia sudah okay sebelum berlalu pergi," cerita Roselyn. -kosmo

Bapa siram dengan tangan bergari

SERI ALAM: Jenazah kanak-kanak berusia lima tahun yang dibunuh sebelum dibakar, Nurul Nadirah Abdullah atau Dirang, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pertanian Masai di sini, dalam keadaan hujan renyai dan cuaca mendung pada jam 1.20 tengah hari, semalam.

Suasana hiba menyelubungi tanah perkuburan itu selepas bapa kandung Dirang, juga antara empat individu direman bagi membantu siasatan kes terbabit, menyiram air ke pusara anaknya dalam keadaan tangan bergari serta diawasi beberapa anggota polis.

Lelaki berusia 30-an itu hanya berkemeja-T putih, berkain pelikat serta berselipar, terus dibawa pergi polis sejurus pengebumian Dirang selesai.

Ibu Dirang, Roselyn Alan, 25, neneknya Milnah Jul, 52, datuknya, Alan Alip, 49, bapa tirinya, Lima Medang, 25, keluarga serta lebih 150 yang hadir.

Roselyn menitiskan air mata ketika talkin dibacakan imam kampung berkenaan, Abdul Rahman Ismail, manakala Alan yang sebak terduduk sejurus jenazah cucunya itu dimasukkan ke liang lahad.

Terdahulu, keluarga Dirang menuntut jenazahnya di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru kira-kira pada jam 11.45 pagi selepas dimandi dan dikafankan pegawai Majlis Agama Islam Johor (Maij).

Turut hadir di HSA untuk menatap kali terakhir wajah Dirang ialah bapa kandungnya yang tiba dengan memakai baju lokap dan tangan bergari sambil dikawal tiga anggota polis.

Lelaki berkenaan dilihat tiba lebih awal, namun menunggu di dalam kenderaan polis sementara menanti giliran untuk menziarah jenazah anaknya itu.

Roselyn dan Milnah pula meluangkan masa kira-kira 20 minit di Unit Forensik HSA sebelum bapa kandung Dirang dibenar menatap buat kali terakhir jenazah anaknya itu.

Suasana pilu mula terasa apabila Milnah memeluk bekas menantunya itu ketika dia sampai di pintu masuk bangunan berkenaan, manakala Roselyn yang tidak dapat menahan kesedihan terpaksa ditenangkan saudaranya. Bapa kandung Dirang itu terus dibawa masuk ke dalam bangunan berkenaan sebelum keluar kira-kira 10 minit kemudian dalam keadaan sugul dan beredar bersama anggota polis yang mengiringinya.

Jenazah Dirang dibawa ke Masjid Nurhidayah, Jalan Tasek, Bandar Seri Alam, untuk disembahyangkan sebelum dihantar ke tanah perkuburan dengan van jenazah.

Pada 1 Mac lalu, Dirang dilaporkan hilang ketika ke kedai runcit di flat kediamannya untuk membeli mi segera dan telur.

Seminggu kemudian, satu rangka seorang dewasa ditemui dalam keadaan rentung di ladang kelapa sawit di Nusa Damai dan ujian deoxyribonucleic asid (DNA) dijalankan terhadapnya mendapati ia sepadan dengan DNA Roselyn. -hm



'Mak, kau cari aku ke?'

PASIR GUDANG: "Malam tadi (kelmarin) Dirang muncul dalam mimpi, dia memeluk dan mencium saya sambil berkata: 'Mak, kau cari aku ke?'

"Saya mengiakannya sebelum bertanya mengapa dia tidak balik dan Dirang menjawab: Jangan sedih lagi, aku di sini sudah ok," kata Roselyn Alan, 25, ibu kanak-kanak berusia lima tahun yang dibunuh sebelum dibakar, Nurul Nadirah Abdullah atau lebih mesra dengan panggilan Dirang.

Roselyn yang ditemui di rumahnya di Flat Seri Delima, Bandar Seri Alam, di sini semalam pada mulanya enggan ditemui kerana masih bersedih dengan kehilangan Dirang, namun akhirnya sudi berkongsi perasaannya selepas dipujuk.

Sebelum itu, dia bersama 150 orang menghadiri pengebumian jenazah Dirang di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pertanian Masai, jam 1.20 tengah hari.

Menurut Roselyn, walaupun sedih dia tetap tabah menerima takdir kehilangan anak dalam keadaan cukup tragik.


"Saya memang sedih, namun sebagai orang Islam, saya reda pemergian Dirang. Saya berterima kasih kepada semua pihak termasuk polis dan jiran yang banyak membantu kami selama ini.

"Mungkin takdir Dirang begitu, walaupun dia pergi buat selama-lamanya, sekurang-kurangnya saya dapat melihat jenazahnya buat kali terakhir," katanya.

Pada masa sama, Roselyn memaklumkan mereka sekeluarga mempertimbangkan berpindah ke tempat lain. "Saya sering teringat serta terbayang wajah dan keletah Dirang apatah lagi apabila menonton siri animasi kegemarannya, Upin dan Ipin di televisyen.

"Kami bercadang berpindah bagi melupakan semua kenangan di sini. Bagaimanapun ia masih dalam perbincangan memandangkan suami belum mendapat tawaran kerja," katanya.

Roselyn yang mengulangi harapan agar pembunuh Dirang menerima hukuman setimpal secepat mungkin berkeyakinan bekas suaminya tidak terbabit dengan kematian anak mereka.

"Saya harap pembunuh akan ke tali gantung. Selain itu, saya percaya bekas suami tiada kena mengena dalam pembunuhan Dirang kerana dia terlalu sayangkan anaknya apatah lagi kami berpisah cara baik," katanya.

Menurut Roselyn, keluarganya juga mengadakan majlis tahlil dan bacaan Yasin tiga hari berturut-turut bermula semalam.

Pada 1 Mac lalu, Dirang dilaporkan hilang ketika membeli mi segera dan telur di kedai runcit di flat berkenaan.

Hasil siasatan dan makulmat awam, polis kemudian menemui rangka manusia di dalam lubang di ladang kelapa sawit Nusa Damai, Masai pada 8 Mac lalu dan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dijalankan terhadap rangka berkenaan mendapati ia sepadan DNA Roselyn.

Empat suspek membabitkan sepasang kekasih, rakan mereka serta bapa kandung Dirang masih ditahan reman oleh polis hingga esok bagi membantu siasatan.
-hm




Sambutan Hari Jadi Super Mewah, Najib Permainkan "Wasatiyyah" Lagi

Posted: 14 Mar 2012 02:19 PM PDT

Kenapa Pejabat PM tempah hari jadi Najib RM79,053?

KUALA LUMPUR, 14 Mac: Belum reda dengan pendedahan kos pertunangan anak Perdana Menteri, PKR hari ini pula mempersoalkan kenapa tempahan majlis sambutan hari jadi Datuk Seri Najib Razak yang bernilai RM79,053 dibuat atas nama Pejabat Perdana Menteri.

Pengarah Strateginya, Rafizi Ramli berkata, ianya berdasarkan Banquet Event Order oleh Hotel Shangri-La yang secara jelas menunjukkan ianya ditempah atas nama akaun Pejabat Perdana Menteri.

Majlis sambutan hari jadi itu dakwanya berlangsung di Sri Perdana pada hari Ahad, 24 Julai tahun lalu.

"Tempahan turut dibuat oleh Pejabat Perdana Menteri, walaupun ia jelas adalah majlis peribadi Perdana Menteri.

"Berbeza dengan majlis pertunangan anak beliau, majlis ini secara jelas menyatakan ianya majlis peribadi. Ini menimbulkan persoalan kenapa majlis pertunangan itu tidak dinyatakan secara jelas sebagai majlis peribadi, sebaliknya 'majlis Pejabat Perdana Menteri,"
katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Majlis itu, menurut Rafizi, turut menyajikan 47 juadah antarabangsa termasuklah daging panggang yang diimport dari New Zealand, makanan Jepun, makanan Barat dan lain-lain.

Kos RM79,053 itu antara lain merangkumi Buffet untuk 100 tetamu dengan kadar RM207 satu kepala (RM20,700), Band Syed Sobri (RM7,738), Band Batak (RM5,300), minuman 5 gallons (RM795), gubahan bunga (RM31,800) dan caj pengendalian (RM12,720).

"Wajarkan perdana menteri berbelanja besar sebegini untuk majlis hari lahir beliau sedangkan beliau menyeru rakyat Malaysia mengamalkan sikap sederhana (wasatiyah) dan mengawal perbelanjaan dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ini?

"Kos hampir RM800 setiap tetamu ini lebih mahal dari sumbangan BR1M sebanyak RM500 yang diberikan kepada rakyat,"
katanya.

Berikut adalah soalan-soalan Rafizi yang menuntut jawapan ikhlas daripada Najib berhubung kos majlis pertunangan anak (RM409,767) dan kos sambutan hari jadi beliau (RM79,053).

Saya ingin mengajukan soalan-soalan berikut kepada Perdana Menteri jika beliau benar-benar telus dan ikhlas untuk menjadi teladan kepada seluruh rakyat Malaysia

1- Bilakah beliau (Datuk Seri Najib Razak) akan mengemukakan lapan bukti yang disyorkan KEADILAN agar nama beliau dapat dibersihkan?

2- Dalam masa lebih kurang satu bulan, Perdana Menteri membelanjakan setengan juta ringgit untuk dua majlis mewah di Sri Perdana. Jika beliau bertegas ini dibayar oleh beliau sendiri, bagaimanakah beliau mampu berbelanja sedemikian rupa sedangkan pendapatan Perdana Menteri tidaklah seberapa?

3- Jika perbelanjaan mewah ini ditanggung oleh rakan taulan yang memberi tajaan, siapakah mereka ini dan apakah bukti Perdana Menteri bahawa sumbangan kepada majlis peribadi tidak mempengaruhi apa-apa keputusan beliau selama ini?

4- Wajarkan perdana menteri berbelanja besar sebegini untuk majlis hari lahir beliau sedangkan beliau menyeru rakyat Malaysia mengamalkan sikap sederhana (wasatiyah) dan mengawal perbelanjaan dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ini? Kos hampir RM800 setiap tetamu ini lebih mahal dari sumbangan BR1M sebanyak RM500 yang diberikan kepada rakyat.


Perdana Menteri boleh sahaja tidak mengendahkan soalan-soalan ini, tetapi dengan bertanyakan soalan sebeginilah rakyat dapat membongkar pelbagai penyelewengan yang berlaku dalam pengurusan dana awam NFC sehingga BN terpaksa tunduk kepada tekanan rakyat.

Perdana Menteri membuat keputusan tidak menyambung tempoh perkhidmatan Datuk Seri Shahrizat Jalil apabila persoalan moral bersabit integriti sebegini diajukan kepada Datuk Seri Shahrizat Jalil.

Apabila soalan-soalan yang sama diajukan kepada beliau sekarang, wajarkah beliau juga membuat 'pengorbanan' seperti yang dilakukan oleh Datuk Seri Shahrizat Jalil dengan menjawab satu persatu secara ikhlas dan telus, demi menjaga integriti kerajaan. -HD




LAPORAN SPRM TERHADAP NAJIB

Jingga 13 akan membuat satu laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah terhadap Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak berhubung pendedahan oleh Sdr Rafizi Ramli di Parlimen hari ini, iaitu perbelanjaan peribadi Najib Razak menganjurkan majlis hari lahir di Shangri-La Hotel Kuala Lumpur menggunakan perbelanjaan dari akaun dipercayai akaun Pejabat Perdana Menteri.

Laporan SPRM itu akan dibuat di Ibu Pejabat SPRM Selangor , Shah Alam pada 15 Mac 2012 jam 11.00 pagi. Jingga 13 juga akan menambah laporan terhadap Najib Razak berhubung penafian Shangri-La Hotel bahawa perbelanjaan majlis pertunangan anak perempuan beliau itu dibayar oleh Pejabat Perdana Menteri. Jingga 13 ingin menimbulkan persoalan, bagaimana Najib Razak mempunyai kemampuan untuk menganjurkan sebuah majlis pertunangan yang begitu mahal.

Semua rakan-rakan media dijemput untuk hadir bagi pendedahan ini dan kerjasama semua didahului dengan ucapan terima kasih.

Muafakat. Prihatin. Berani

SAIFUDDIN SHAFI MUHAMMAD
Timbalan Ketua Koordinator
JINGGA 13





Ulasan GB

47 juadah antarabangsa termasuklah daging panggang yang diimport dari New Zealand, makanan Jepun, makanan Barat dan lain-lain.

Kos RM79,053 itu antara lain merangkumi Buffet untuk 100 tetamu dengan kadar RM207 satu kepala (RM20,700), Band Syed Sobri (RM7,738), Band Batak (RM5,300), minuman 5 gallons (RM795), gubahan bunga (RM31,800) dan caj pengendalian (RM12,720).


"Kos hampir RM800 setiap tetamu ini lebih mahal dari sumbangan BR1M sebanyak RM500 yang diberikan kepada rakyat."

Sungguh hebat! Sungguh dasyat!

Benar-benar beliau mempermainkan konsep WASATIYYAH (Kesederhanaan) yang diwarwarkan sebelum ini sedangkan konsep WASATIYYAH itu adalah sebenarnya anjuran dari Al-Quran dan Rasulullah sendiri. Menunjukkan Najib tidak takut lansung untuk mempermainkan malah seperti mengejek seruan Allah s.w.t. dan RasulNya.


وَكَذَلِكَ جَعَلْنَاكُمْ أُمَّةً وَسَطاً

Dan demikianlah Kami jadikan kamu satu umat wasatan Al-Baqarah :143


Hadith Rasulullah s.a.w.

"Sebaik-baik perkara adalah pertengahannya". Hadith Riwayat AlBaihaqi

GB mengingatkan kepada diri GB dan kepada semua, bahawa Namrud mati hanya angkara dari seekor nyamuk yang masuk ke telinganya kerana mempermainkan kata-kata Tuhan dan telinganya itu pula enggan mendengar perintah Tuhan.

GB sekadar mengingatkan Najib jika terlupa, dengan satu istilah: Chicken pox!
(Bukankah saat itu wang berjuta yang dimiliki tidak mempunyai apa-apa makna lagi?)


Laporan sebelum ini
klik untuk baca




[WASPADA] Emas Susut Selepas Diserah Untuk Dicuci

Posted: 14 Mar 2012 08:27 AM PDT

Emas susut, tukar warna kelabu

PENDANG – Seorang suri rumah terpaksa mengalami rugi besar apabila semua barang kemas miliknya rosak dan beratnya makin berkurangan setelah mencuba khidmat mencuci barangan berharga itu yang ditawarkan tiga individu, baru-baru ini.

Dalam kejadian jam 11 pagi itu, seorang lelaki dan dua perempuan menaiki sebuah kereta berwarna putih mendakwa datang dari Jitra, pergi ke rumah jirannya dengan menawarkan perkhidmatan mencuci emas dan turut menjual emas Korea.

Mangsa, Aishah Jaafar, 58, berkata, ketiga-tiga suspek datang ke rumah jirannya kerana ketika itu ramai penduduk kampung sedang mengadakan gotong-royong untuk majlis kenduri sempena jirannya yang ingin mengerjakan umrah.

"Mereka datang sambil menawarkan khidmat cuci emas dan menjual emas Korea pada kira-kira 20 penduduk wanita pada masa itu. Ketiga-tiga mereka meminta barang kemas dipakai beberapa penduduk untuk dicuci dengan bayaran hanya RM2 untuk satu barang," katanya kepada Sinar Harian.

Aishah berkata, pada masa itu, salah seorang daripada suspek menarik tangannya dan meminta rantai tangan yang dipakainya untuk dicuci. Menurutnya, namun dia enggan memberikan barangan terbabit kerana bimbang ditipu.

"Selepas enggan memberi rantai tangan untuk dicuci, saya bertanya sama ada mereka boleh membaiki rantai tangan jenis batu yang putus. Mereka mengakui boleh melakukannya dan terus meminta saya mengambil rantai tangan itu di rumah
.

"Disebabkan yakin mereka ingin membaiki rantai tangan itu, saya mempelawa mereka ke rumah saya dekat situ, sehinggakan saya cepat-cepat berlari balik ke rumah," katanya.

Aishah berkata, tiba di rumahnya, dia segera mengeluarkan rantai tangan terputus itu dan memberikan kepada mereka, namun suspek memaklumkan ia tidak boleh dibaiki.

Katanya, dia seolah dipukau tiga individu terbabit apabila terus membenarkan mereka membuka semua barang kemas dipakainya, iaitu seutas rantai tangan dan rantai leher serta mengambil satu gelang lagi yang disimpan di dalam bilik untuk dicuci.

"Mereka memujuk saya agar semua barang kemas itu dicuci dengan bayaran hanya RM2 dan tiga barang milik saya dikenakan RM6. Mereka mencuci barang kemas dengan cara membakar semua barang kemas itu dan memasukkan semuanya dalam botol serta terus menggoncang kuat botol itu sehingga cecair di dalamnya menjadi warna kuning keemasan," katanya.

Menurutnya, selepas proses itu dia tidak menyedari gelangnya rosak dan berat barang kemasnya makin susut hingga tiga individu itu beredar.

Aishah berkata, selepas kumpulan licik itu pulang, dia baru tersedar semua barang kemasnya menjadi ringan daripada berat asal.

"Gelang saya makin nipis dan rosak, rantai leher menjadi kecil dan bertukar warna hampir kelabu. Saya terkejut kerana semua barang kemas itu telah dibeli lebih enam tahun lalu dengan harga RM4,000 ketika itu, namun semuanya menjadi ringan. Saya cuba menimbang dan mendapati semua berat barang kemas itu hanya 10 gram," katanya.

Menurutnya, dia pasti tiga individu terbabit mencuri emas melalui cecair yang digunakan.

Aishah difahamkan, tiga individu itu sudah tiga kali ke kampungnya menawarkan khidmat mencuci barang kemas dengan kenderaan berlainan kemungkinan mengelakkan penipuan mereka dikesan.

Anaknya yang enggan dikenali berkata, dia maklum isu ramai penduduk di bandar tertipu dengan servis mencuci emas dari rumah ke rumah, namun tidak menyangka ia turut ditawarkan di kampung. -SH

Bakar Rumah : Bekas Pemilik Restoran Meninggal Dunia Akibat Melecur

Posted: 14 Mar 2012 06:10 AM PDT

Johor Bahru: Seorang bekas pemilik restoran meninggal dunia akibat melecur selepas dipercayai membakar rumahnya manakala isteri dan dua anak perempuannya cedera dalam kejadian di Kampung Melayu Kangkar Pulai di sini, Selasa.

Gambar: KEADAAN ruang tamu rumah didiami empat beranak yang hangus selepas dibakar pemiliknya sendiri di Kampung Malayu, Kangkar Pulai, Nusajaya, hari ini. Isteri kepada pemilik rumah itu, Wan Rokiah Wan Yussuf, 43, melecur teruk dalam kejadian itu dan kini sedang dirawat di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru. - Foto Bakri Mohd Dahalan

Ketua Polis Daerah Nusajaya Supt Noor Hashim Mohamad berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 9.30 pagi dan sebelum itu difahamkan berlaku perselisihan faham antara bekas pemilik restoran itu Syed Hussin Syed Hussin, 63, dan isterinya Wan Rokiah Wan Yussuf, 43.

"Polis sedang menyiasat kejadian yang berlaku di rumah separuh papan dan batu itu dengan terperinci. Berdasarkan maklumat, rumah itu dibakar sendiri oleh si mati," katanya kepada Bernama ketika dihubungi.

Noor Hashim yang enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu berkata Wan Hussin meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital manakala Wan Rokiah dan dua anak perempuan mereka, Sharifah Aishah, 22, dan Sharifah Zulaikha, 21, kini dirawat di Hospital Sultanah Aminah di sini.

Katanya seorang lagi anak pasangan itu, Sharifah Zulaikha hanya dirawat sebagai pesakit luar.

Beliau berkata kes itu disiasat sebagai mati mengejut dan mayat Syed Hussin dibedah siasat di hospital yang sama.

Sementara itu, seorang lagi anak pasangan itu yang tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kebakaran itu, Sharifah Athirah Alya, 16, berkata dia sedang tidur di sebuah bilik di rumah itu ketika kejadian terbabit berlaku.

"Apabila saya terjaga dari tidur kira-kira pukul 10 pagi, saya lihat emak sedang merangkak ke luar rumah dari pintu dapur dengan api masih berada di badan," katanya ketika ditemui di rumah mayat hospital itu.

Dia bagaimanapun enggan mengulas ketika ditanya lebih lanjut mengenai kejadian kebakaran itu. -BERNAMA

"Kalau Tak Nak Hang Bunuh Saja Bapak Hang Ni, Bagi Aku Tanam"

Posted: 14 Mar 2012 04:30 AM PDT

Dia ni bapak hang', anak pura-pura tak kenal

KULIM - "Kalau hang tak mahu pada orang tua ni, hang bunuh dia. Bagi aku tanam. Dia ni bapak hang," antara ungkapan kecewa diluahkan penjaga seorang lelaki warga emas berusia 68 tahun yang merupakan anak saudara kepada mangsa ketika berlaku pertengkaran di hadapan rumah anak perempuan mangsa di sini kira-kira jam 5.30 petang kelmarin.

Kejadian berlaku apabila mangsa menyatakan hasrat untuk tinggal di rumah anak perempuan tunggalnya kerana setelah sekian lama dijaga adik-beradiknya.

Waris yang juga anak saudara mangsa buntu dan membawa mangsa ke Balai Polis Kulim apabila mangsa tidak mahu lagi tinggal di rumah mereka.

Seorang waris berkata, mangsa berada bersama keluarganya lebih 30 tahun lalu tetapi berhasrat untuk tinggal bersama anaknya di sebuah taman perumahan di sini dan untuk memenuhi hasratnya, mereka menghantar mangsa ke rumah anak kandungnya.

Menurutnya, sebelum menyerahkan mangsa kepada keluarganya, mereka meminta nasihat polis untuk mengiringi kerana khuatir berlaku sebarang kejadian tidak diingini.

"Apabila tiba di rumah anak mangsa, polis terpaksa menunggu kira-kira 15 minit sebelum pintu rumah dibuka. Malang bagi mangsa apabila anaknya itu berpura-pura tidak mengenalinya.

"Perkara ini menimbulkan tidak puas hati dan kemarahan anak saudara mangsa dan berlaku pertengkaran mulut. Anak mangsa terus mendesak supaya bapanya itu tidak ditinggalkan di rumahnya kerana dia tidak mahu menjaganya," katanya.

Waris mangsa berkata, sejak dulu lagi anak mangsa tidak pernah menjaga kebajikan bapanya itu sebaliknya segala tanggungjawab itu diberikan kepada keluarganya.

Katanya, memandangkan kasi­han­ dengan nasib menimpa mangsa, mereka setuju untuk menjaganya sejak 30 tahun lalu.

"Tok sudah tidak mahu tinggal bersama kami dan meminta kami menghantarnya ke rumah anak perempuannya. Kami semua sudah berkahwin tetapi masih boleh menjaganya. Seingat saya, sekarang saya sudah berusia 28 tahun. Sebelum itu pun tok sudah tinggal bersama kami. Sejak akhir-akhir ini, tok memberontak mungkin kerana dia nyanyuk.

"Dia sering mencederakan dirinya sendiri. Bagaimanapun kami terus menjaganya walaupun bersikap keanak-anakan. Memandangkan dia mahu tinggal bersama anak perempuannya maka kami setuju untuk menghantarnya ke sana. Malangnya anak tok enggan menerimanya," katanya.

Sebelum itu, jiran yang tinggal berdekatan dengan rumah anak mangsa memaklumkan kepada waris berkenaan bahawa bapanya telah meninggal dunia. Waris yang mendengar pengakuan dibuat jiran terpinga-pinga dan memperkenalkan kepada mereka bahawa warga emas itu merupakan bapanya.

Polis yang mengiringi waris mangsa kemudiannya memapah mangsa keluar dari kereta dan menunjukkan kepada anaknya, namun anaknya itu masih tidak membuka pintu pagar dan membenarkan bapanya masuk ke dalam rumah.

Atas sikap prihatin, polis meminta anak mangsa untuk memberikan kerusi kepada bapanya kerana mangsa tidak tahan berdiri lama kerana sudah tua.

Pertengkaran antara keluarga itu berterusan di mana anak mangsa tetap tidak membenarkan bapanya masuk ke rumah. Polis kemudiannya menasihatkan supaya permasalahan yang berlaku dapat diselesaikan secara aman kerana ini merupakan permasalahan keluarga.

Polis memaklumkan, anak mangsa datang ke Balai Polis Sungai Kob kira-kira jam 9 malam untuk mencari rumah sepupunya bertujuan menghantar mangsa kepada mereka.

Sinar Harian kemudiannya menghubungi pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan dia mengarahkan supaya anak mangsa menyerahkan mangsa ke JKM sebelum dibawa ke mahkamah untuk arahan penempatan tinggal di rumah orang tua. -SH

Ibu 'Bayi Alas Kaki' Dipenjara Sehari Dan Didenda RM2,000

Posted: 14 Mar 2012 02:59 AM PDT

Kuala Terengganui - Seorang wanita yang masih dalam pantang dijatuhkan hukuman penjara satu hari dan denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini terhadap tuduhan membuat laporan palsu.

Wan Syafira Wan Nazri, 23, didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah bernombor 1234 Kampung Beladau Kepong, Manir di sini ketika disoal siasat pada 12.30 malam, 25 Februari lepas.

Dia mengaku bersalah melakukan perbuatan tersebut semasa pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim.

Tertuduh yang bekerja sebagai pembantu kedai itu didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan palsu.

Pendakwaan dijalankan oleh pegawai pendakwa Insp Miky Dustan Musa manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mengikut fakta kes pada 25 Februari lalu, tertuduh dengan sengaja telah memberi maklumat palsu dengan niat menyebabkan penjawat awam (polis) menggunakan kuasanya yang sah di sisi undang-undang yang mendatangkan bencana kepada seseorang yang lain.

Bernama sebelum ini melaporkan seorang pembantu kedai sanggup mengadakan cerita kononnya bayi itu ditinggalkan di rumahnya oleh seorang warga emas.

Namun tindakan wanita itu berjaya dibongkar polis berdasarkan laporan yang bercanggah yang dikemukakannya dan dia disyaki tidak bercakap benar dan bayi tersebut adalah miliknya sendiri. - Bernama

Laporan sebelum ini
klik untuk baca





Jenazah Dirang Selamat Dikebumikan

Posted: 14 Mar 2012 01:21 AM PDT

Pasir Gudang -- Jenazah kanak-kanak mangsa bunuh dan bakar Nurul Nadhirah Abdullah, 5, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pertanian Masai kira-kira 1.30 tengah hari ini.

Jenazah kanak-kanak malang yang juga dikenali sebagai Dirang itu dituntut oleh keluarganya di Hospital Sultanah Aminah kira-kira pukul 11.45 pagi selepas selesai urusan memandi dan mengkafan dilakukan oleh Majlis Agama Islam.

Jenazah kemudian disembahyangkan di Masjid Al Muhajirin Masai sebelum dibawa menaiki van jenazah menuju ke tanah perkuburan berkenaan dengan diiringi oleh ibunya, Roselyn Alan, 25, dan datuknya Alan Alip, 49, serta beberapa orang jiran. -SH

Bapa kandung Dirang dibawa ke rumah mayat HSA

JOHOR BAHRU - Seorang lelaki berusia lingkungan 30-an, dipercayai bapa kandung kanak-kanak yang mati dibunuh sebelum mayatnya dibakar, Nurul Nadirah Abdullah, 5, dibawa ke rumah mayat Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, pagi tadi.

Suspek, yang berpakaian baju lokap dan bergari, tiba di pekarangan rumah mayat HSA dengan diiringi tiga anggota polis kira-kira jam 10 pagi.

Jenazah Nurul Nadirah atau panggilan manja Dirang, disembahyangkan di rumah mayat itu dan dibawa menaiki van jenazah untuk dikebumikan di tanah perkuburan Islam Masai, kira-kira jam 11.45 pagi.

Jenazah diiringi ibunya Roselyn Alan, datuk, bapa tiri dan abang Dirang.
-SH


Seperti separuh nyawa disedut

"SAYA dapat tahu Dirang disahkan mati melalui jiran yang mendengar berita itu di TV. Saya tiba-tiba jadi geram. Perasaan marah membelenggu fikiran bila menerima khabar tentang nasib yang menimpa Dirang.

Betapa tergamak si pembunuh bertindak kejam. Memanglah hati si pembunuh sudah hitam! Sampai sanggup membakar anak sekecil itu.

Hari ini (semalam) apabila baca akhbar untuk mendapatkan cerita yang lebih jelas, air mata saya menitis. Entahlah... saya seperti sudah tidak tahu untuk berkata apa-apa.

Saya sudah kering perkataan untuk menzahirkan rasa simpati kepada ibu bapa yang senasib de­ngan saya. Itu sebenarnya.

Cuma apa yang mampu saya luahkan hanyalah selaut kasihan. Pasangan Roselyn Alan dan Lima Medeng memang menerima tamparan hebat lantaran anak disayangi­ diperlakukan sebegitu rupa oleh manusia yang tidak berhati perut.

Kasihan... saya harap mereka tabah menerima dugaan ini. Ingatlah, Dirang seorang kanak-kanak yang tidak berdosa. Yakinlah dengan janji ALLAH, tempat Dirang adalah di syurga.

Dulu anak saya, Awie (Asmawi) hilang ketika pulang dari sebuah kafe siber.

Bermula saat itu kehidupan kami seisi keluarga diselubungi mendung. Sedih. Sehingga kini awan keperitan masih belum berarak pergi dari hati.

9 Mac lalu genap empat tahun Awie lenyap tiada khabar. Perbagai persoalan bermain di fikiran bila mengenang di mana dan apakah nasib Awie.

Pencarian dan penantian keluarga Dirang berakhir juga walau takdirnya begini. Tapi nasib Awie tidak diketahui sehingga kini. Entah hidup, entahkan mati.

Kalau Awie masih hidup tentu sudah besar. Dia hilang waktu berusia 11 tahun. Kini sudah 15.

Kehilangan anak sememangnya seperti separuh nyawa disedut. Apatah lagi dengan kejadian seperti menimpa Dirang itu.

Kepada ibu bapa Dirang... bersabarlah. Jaga kesihatan. Jaga diri, fizikal dan mental. Ingat kepada ALLAH. Berdo­alah semoga pembunuh itu mendapat pembalasan."
-SH


Khairy Dikecam Persoal Wartawan Buat Liputan Keluarga Dirang

Posted: 13 Mar 2012 11:51 PM PDT

Kelab Media kecam kenyataan Khairy

SENAI – Kelab Media Johor mengecam kenyataan Ketua Pemuda Umno Malaysia, Khairy Jamaluddin dalam laman twitternya, yang seolah-olah tidak memahami tugas dan tanggungjawab pengamal media dalam melaporkan kisah kanak-kanak malang, Nurul Nadirah Abdullah atau Dirang, 5, yang ditemui, semalam.

Presidennya, Mohamad Fauzi Ishak berkata, sudah menjadi tanggungjawab pengamal media untuk melaporkan pelbagai jenis berita yang mempunyai nilai yang tersendiri sekali gus membimbing khalayak ramai dijadikan pengajaran pada masa hadapan.

Menurutnya, tujuan pengamal media melaporkan berita bukanlah sekadar untuk mengaibkan individu tertentu sebaliknya menyampaikan maklumat berguna demi kepentingan semua pihak seterusnya menyampaikan saluran maklumat yang berguna.

"Kenapa sekarang nak timbul isu bahawa kami (pengamal media) sibuk melaporkan berita Dirang telah ditemui? Bahkan sebelum ini, banyak lagi kes lain yang pernah kami turut laporkan. Kesemuanya dilaksanakan demi tuntutan kerja kami atas tunjang menggalas amanah yang diberikan.

"Banyak lagi kisah menyayat hati turut kami laporkan sebelumnya. Kesemuanya mempunyai nilai berita yang dikeluarkan dengan penulisan dan laporan yang beretika dan sebenarnya bertujuan menyampaikan maklumat kepada orang ramai.

"Secara tidak langsung, kami (pengamal media) menjadi medium membantu menyelesaikan siasatan polis. Kami turut menyebar maklumat kepada orang awam agar mereka lebih peka kepada isu dan perkembangan semasa. Bagaimanapun cuba fikir perkara ini dari sudut positif pula," katanya kepada Sinar Harian.

Khairy dalam laman twitternya mengeluarkan kenyataan "tak faham kenapa perlu ada media dan jurugambar yang merakam reaksi keluarga Nurul Nadirah bila diberitahu mayatnya dijumpa. Baru keluar berita" yang seolah-olah menidakkan tugas sebenar pengamal media.

Mohamad Fauzi turut meluahkan perasaan sedihnya ke atas nasib kanak-kanak malang yang tidak berdosa itu apabila dijumpai dalam keadaan yang menyayat hati setelah usaha mencarinya dilakukan 11 hari.

"Saya selaku wakil media Johor merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada keluarga Dirang. Harap keluarnya dapat banyak-banyak bersabar dan saya percaya apa yang berlaku itu pasti ada hikmah yang tersendiri.

"Saya turut mengingatkan ibu bapa yang lain agar lebih memberi perhatian kepada anak-anak masing," katanya yang memberitahu bahawa Kelab Media turut bakal menyalurkan bantuan berupa wang tunai kepada keluarga Dirang dalam masa terdekat ini sebagai meringankan beban mereka. -SH


Apa Kejadah Kos Majlis Pertunangan Hampir Setengah Juta, Wasatiyyah?

Posted: 14 Mar 2012 07:35 AM PDT

Kos bertunang: Inikah makna wasatiyyah Najib? - Mohd Azmi Abdul Hamid

Teras Pengupayaan Melayu (Teras) amat terkejut dengan pendedahan isu PM , Datuk Seri Najib berbelanja mewah untuk majlis pertunangan anaknya baru-baru.

Kini terdapat dua persoalan dalam isu pembiayaan majlis pertunangan anak PM baru-baru ini.

Pertama, adakah benar PM telah mengguna wang rakyat untuk membiayai majlis pertunangan anaknya. Pihak Hotel mengatakan bil bernilai RM409,767 itu memang dicatat atas nama PMO (Prime Ministers Office).

Walaupun telah dijelaskan bahawa keluarga PM yang membayar bil itu, pertanyaannya kenapa pula bil itu tidak ditulis atas nama peribadi beliau atau keluarga beliau dan dihantar kepada rumah rasmi PM, jika ini urusan peribadi?

Kedua, inikah teladan seorang pemimpin yang beria-ia mengujudkan sebuah institusi bernama institut wasatiyyah untuk menyampaikan kempen kesederhanaan kepada seluruh dunia dalam semua aspek kehidupan, tetapi berbelanja super mewah mencecah RM409,767 hanya bagi sebuah majlis pertunangan seorang anaknya.

Teras amat terkejut dengan pendedahan mengenai perbelanjaan yang begitu tinggi dikeluarkan oleh PM untuk majlis tersebut.


Apakah mesej yang dapat dibaca oleh rakyat yang umumnya maseh bergelut mencari wang untuk menyekolahkan anak, membanting tulang menampung kos hidup yang semakin meningkat, nelayan yang menyabung nyawa mencari rezeki di tengah laut, pemandu teksi yang mengagah diri mengekang mata untuk mencari pendapatan sehingga lewat malam?.

Apa erti semuanya ini kepada rakyat bagi PM yang dengan begitu mudah sanggup berbelanja dan mampu berbelanja sedemikian mewah? Inikah yang PM mahu tunjuk kepada rakyat maksud beliau dengan retorik bahwa "rakyat diutamakan"?

Cukupkah dengan memancing rakyat dengan BR1M berjumlah RM500 dan rakyat tidak boleh mempersoalkan bagaimana PM boleh berbelanja mewah untuk majlis pertunangan anaknya?


Sebagai pemimpin yang tahu benar keadaan kehidupan rakyat kini bukan dalam keadaan yang selesa, kenapa pula PM sanggup menunjukkan kemewahan dalam majlis sebegini, sungguhpun majlis itu dikatakan dibiayai secara peribadi oleh wang keluarganya?

Soalnya inikah contoh pemimpin Islam yang hendak ditunjukkan kepada rakyat?


Teras sema sekali tidak boleh menerima malah membantah pemimpin-pemimpin yang ghairah berbelanja mewah dalam kehidupan peribadi mereka. Bukan sahaja ini akan menimbulkan persoalan dikalangan rakyat, malah Islam sema sekali melarang berbelanja secara membazir dalam majlis-majlis peribadi mereka.

Isunya bukan soal melibatkan wang peribadi semata-mata. Malah isu lebih besar kenapakah PM boleh berbelanja besar dari wang yang mahu tidak mahu akhirnya berpunca dari wang rakyat juga, yang membayar upah kepada beliau kerana bekerja sebagai PM.

Di tingkat jawatan nombor 1 dalam negara, sudah pasti seorang PM tidak boleh hanya beralasan bahawa ini wang peribadinya, dan oleh itu beliau boleh hidup mewah dan menonjol-nonjolkan kemewahan keluarganya.

Teras ingin mengingatkan, inilah antara punca kebangkitan rakyat di Asia Barat yang telah menjatuhkan pemimpin-pemimpin mereka akibat tidak lagi dapat menerima gaya hidup keluarga pemimpin yang serba mewah, sedangkan rakyat berkais-kais pagi, petang dan malam untuk hidup.


Tidakkah terlintas dibenak PM dan konco-konco beliau yang mempertahankan hak beliau untuk mengeluarkan wang peribadinya berbelanja sedemikian mewah walhal rakyat akan memendam rasa yang sedikit demi sedikit akan akhirnya bakal meledak kerana ini jelas suatu kepincangan hidup antara pemimpin dan rakyat?

Teras juga menarik perhatian bahawa, ketika mana PM berbelanja sakan hanya buat sebuah majlis pertunangan, jurang antara kelompok kaya miskin di negara ini direkodkan dengan gini indeks yang tinggi iaitu 0.4-0.5.

Bermakna PM berbelanja mewah di tengah-tengah rakyat jelata berpendapat sederhana dan rendah berjuang untuk hidup sekedar memenuhi keperluan yang minima untuk hidup.

Kami sangat kecewa dan kesal dengan kemewahan hidup pemimpin negara yang seolah-olah tidak sensitif dengan perasaan rakyat.


Berbelanja mewah oleh PM itu tidak akan diterima sama sekali sebagai suatu kebanggan rakyat. Malah ia amat melukakan hati rakyat marhaen.

Di tengah-tengah gejolak isu kepincangan projek penuh persoalan seperti isu NFC bernilai RM250 juta, isu penyenaraian aset Felda dalam pasaran saham yang penuh ketidaktentuan, isu kepincangan PKFZ yang melibatkan lebih RM4 bilion, tiba-tiba rakyat berputih mata menyaksikan PM bermewah-mewahan dalam majlis pertunangan anaknya. Bukankah ini suatu yang janggal dan memedihkan hati rakyat?

Kemarahan rakyat Asia Barat telah menyaksikan satu demi satu kemewahan hidup ahli-ahli keluarga pemimpin didedahkan. Mungkin di peringkat awal tidak ada siapapun yang berani bangkit mempersoalkan kemewahan hidup pemimpin, akan tetapi bila kesabaran rakyat sudah sampai kemuncaknya, ledakan amarah rakyat telah menyaksikan satu demi satu pemimpin tumbang.

Teras mengingatkan supaya pemimpin negara jangan terperangkap dengan keghairahan berbelanja mewah kerana tanda-tanda rakyat resah dan semakin marah sudahpun jelas.

Rakyat faham betul kepincangan yang berlaku adalah gara-gara pemimpin-pemimpin yang tidak menghiraukan perasan rakyat yang cuba diperbodohkan dengan berita-berita serba muluk, padahal sakit dan tertekannya rakyat akan akhirnya dilampiaskan dalam bentuk kemarahan yang akan diterjemah persis gelombang kebangkitan yang tidak boleh dikekang lagi.

Penulis ialah Presiden Teras.

Majlis tunang anak: PM tetap salahguna kuasa, kata PKR

Pengarah strategi PKR Rafizi Ramli tetap berpandangan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyalahgunakan kuasa dalam isu tempahan jamuan bankuet pertunangan anak perempuannya.

Katanya, beliau tetap berpandangan demikian walaupun kenyataan daripada hotel penyedia katering bahawa jamuan berkenaan dibayar oleh perdana menteri.

"Ini jelas sekali satu penyalahgunaan kuasa kerana anda menggunakan kemudahan pejabat untuk majlis peribadi.

"Fakta bahawa tempahan itu dibuat melalui pejabat perdana menteri untuk majlis peribadinya, itu sudah merupakan satu penyalahgunaan kuasa," katanya.

Beliau mengambil contoh dakwaan penyalahgunaan kuasa yang dihadapi bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.

"Malah dalam kes Anwar sendiri yang didapati bersalah atas tuduhan menyalahguna kuasa, hanya dengan fakta bahawa beliau telah mengarahkan polis untuk menemubual," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di bangunan parlimen hari ini.

Tambahnya, perdana menteri kini perlu menjelaskan mengapa tempahan itu dibuat melalui akaun pejabat perdana menteri dan bukannya melalui akaun peribadi Najib.

Beliau berkata demikian susulan kenyataan Hotel Shangri-La Kuala Lumpur hari ini bahawa majlis berkenaan berkenaan dibiaya Najib dan bukannya kerajaan persekutuan.

Menjawab pertanyaan Malaysiakini, pengurusan hotel itu bagaimanapun mengesahkan bahawa borang Pesanan Majlis Bankuet atau 'Banquet Event Order' yang didedahkan oleh PKR adalah salinan yang sah.

Menurut dokumen itu, PMO dikenakan bayaran RM409,767 oleh Hotel Shangri-La untuk perkhidmatan katering, yang membekalkan udang karang dan daging lembu Wagyu, untuk kira-kira 900 tetamu.

Menurut hotel itu, pesanan untuk acara katering di Seri Perdana, Putrajaya, diterima pada 2 Jun 2011.
-mk


Laporan sebelum ini
klik untuk baca




Benarkah Dirang Dibunuh Pada Hari Hilang? Ada Hal Yang Meragukan!

Posted: 13 Mar 2012 09:01 PM PDT

Dirang dibunuh pada hari hilang

JOHOR BAHRU – Nyawa Nurul Nadirah Abdullah yang lebih mesra dipanggil Dirang, diragut secara kejam apabila mangsa dipercayai dicekik sampai mati sebelum mayat kanak-kanak malang itu dimasukkan ke dalam lubang dan dibakar di kawasan perumahan terbengkalai di Nusa Damai, Masai di sini.

Milnah (baju putih) bersama ahli keluarga sedih melihat lubang tempat mayat Dirang (gambar kecil) dibakar di Nusa Damai, Masai, Johor Bahru semalam.

Satu sumber berkata, seorang daripada empat suspek yang ditahan mengaku membunuh Dirang, 5, dengan cara mencekik mangsa sebaik sahaja kanak-kanak itu diculik ketika keluar dari rumah seorang diri di Flat Seri Delima, Bandar Seri Alam, Pasir Gudang di sini. Ketika itu mangsa hendak pergi ke kedai.

Selepas mangsa sudah tidak bernyawa, mayat Dirang dibawa ke kawasan rumah terbengkalai kira-kira lima kilometer dari rumah mangsa dan dibakar.

Sumber itu memberitahu, suspek yang tinggal tidak jauh dari rumah mangsa mendakwa dia bertindak demikian kerana dendam selepas pernah dihina dan dipandang rendah oleh nenek mangsa.

"Dirang terus dibunuh dan dibakar pada hari dia hilang pada 1 Mac," kata sumber itu.

Nik Aziz: 'Pihak bunuh Dirang lebih kejam dari binatang'

KOTA BHARU - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan individu yang melakukan pembunuhan terhadap Nurul Nadirah Abdullah,5, atau yang dikenali sebagai Dirang, lebih kejam daripada binatang.

"Lembu pun tak bunuh semasa sendiri, tetapi manusia sanggup melakukan, mungkin budak itu hendak bagi tahu kejahatan yang dilakukan, sebab itu dia dibunuh," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan orang kurang upaya (OKU) Peringkat Kebangsaan, di Hotel Raudah di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pembunuhan adik Dirang selepas polis mengesahkan serpihan rangka manusia ditemui di Ladang Kelapa Sawit Nusa Damai, sama dengan sampel ibunya, Roselyn Alan, 25.

Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, jenayah yang berlaku dalam negara sejak kebelakangan ini termasuk kes bunuh dan zina berpunca dari sikap sesetengah masyarakat yang tidak pentingkan agama dalam kehidupan.

Malah lebih memburukkan keadaan, katanya, Kerajaan Pusat tidak memberikan keutamaan Islam sebagai asas pentadbiran sekali gus menyebabkan gejala sosial terus berleluasa.

"Punca kejadian adalah kerana tidak ada takwa kepada ALLAH SWT, ia adalah jentera untuk menyekat keganasan nafsu, benda begini bukan sekarang sahaja berlaku malah zaman Jahiliah lagi, tetapi jika ingat kita ingat azab kubur, ia tidak berlaku," katanya.

Ditanya sama ada undang-undang yang ada kini tidak berjaya menghalang jenayah, Nik Abdul Aziz berkata, undang-undang saja tidak cukup untuk menghalang perkara negatif, sebaliknya penekanan agama perlu diterapkan dalam kehidupan.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan golongan OKU tidak merendah diri kerana ganjaran yang besar menanti di sisi ALLAH SWT jika kekurangan yang ada dihadapi dengan reda dan tabah.
-SH


Ulasan GB

Ada beberapa persoalan yang timbul.

Jika Dirang dikatakan dicekik dan dibakar pada hari beliau hilang, bagaimana pula wujud SMS yang datang dari Kota Bahru mengugut ibu Dirang menuntut sebanyak RM30,000?

Dirang dilaporkan hilang pada 1 Mac 2012, Khamis. Jika tarikh itu dikatakan Dirang dicekik dan dibakar, kenapa pula SMS itu menuntut bayaran supaya wang dihantar pada hari Ahad (4 Mac 2012)?

Tak mungkin, SMS itu bermaksud Ahad sebelumnya (26 Februari 2012) kerana pada tarikh berkenaan Dirang belum hilang!

Kebenaran itu masih tersembunyi.

Marilah kita berdoa lagi serupa dengan doa-doa dahulu, semuga Allah mendedahkan kebenaranNya:

1) Allahumma arinal haqqa, haqqa, warzuqnattiba'ah,
wa arinal bathila bathila, warzuqnajtinabah


Ya Allah, tunjukkanlah yang haq itu sebagai haq, dan kurniakanlah kami kekuatan utk mengikutinya, dan tunjukkanlah yg batil itu sebagai batil dan kurniakanlah kami kekuatan untuk menjauhinya.

2) Rabbi adkhilni mudkhala sidqin wa akhrijni mukhraja sidqin waj'alli min ladunka sulthanan nashiran wa qul ja alhaqqu wa zawaqal bathilu innal bathila kana zahuqan

Ya Allah, masukkanlah aku secara masuk yang benar dan keluarkanlah(pula) aku secara keluar yang benar dan berikanlah kepadaku dari sisi-Mu kekuasaan yang menolong. Dan katakanlah yang benar telah datang dan yang batil telah lenyap. Sesungguhnya yang batil itu adalah sesuatu yang pasti lenyap.

Berdoa sedemikian lebih utama daripada mengikut persangkaan kita semata-mata. Muga Allah beri petunjuk yang sebenarnya kepada kita semua dan dihukum pembunuh kejam berkenaan tak kira apa motif dan siapa pelakunya.

Terdahulu, Roselyn ketika ditemui tengah hari, berkata dia menerima panggilan telefon dan khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada seorang wanita yang tidak dikenali mengugut akan membunuh Dirang jika tidak dibayar wang tebusan sehingga RM30,000.

"Antara SMS yang saya terima: "Kalau kau mahu anak kau, aku mahu wang RM10,000 di Taman Tengku Anis masa jam 12 tengah hari, kalau tidak anak kau mati", "Kalau kau tak datang pada hari Ahad anak kau akan dijual di Thailand," katanya.

Roselyn berkata, ugutan itu diterima pada malam Rabu lalu daripada seorang wanita yang mendakwa menyimpan anaknya itu dan meminta wang tebusan RM30,000 dihantar ke Taman Tengku Anis, Kota Bharu, Kelantan.

Katanya, selepas wanita itu mematikan telefon, beliau cuba menghubunginya tetapi tidak berjawab sehinggalah beliau menghantar SMS supaya wanita itu menghantar gambar anaknya sebagai bukti dan mendengar suara Dirang.

"Wanita itu membalas SMS dengan meminta menjelaskan wang terlebih dulu sebelum menunaikan permintaan saya. Keesokannya, saya sekali lagi menerima SMS daripada nombor sama meminta saya menyediakan wang RM10,000 di tempat yang sama pada jam 12 tengah hari atau anak saya akan mati.

"Saya cuba menghubunginya sekali lagi tetapi tiada jawapan sehinggalah Jumaat lalu, saya mendapat satu lagi SMS meminta membawa wang tunai RM10,000 dan menghantarnya pada Ahad ke taman sama. Wanita itu juga mengugut akan menjual Dirang kepada sindiket kanak-kanak di Thailand"


Laporan sebelum ini
klik untuk baca



[Bergambar & Video] Papan Iklan Mydin USJ Terbakar

Posted: 13 Mar 2012 07:02 PM PDT

Petaling jaya — Kebakaran papan iklan di bahagian atas pasar raya besar Mydin USJ Subang Jaya dekat sini, awal malam ini menyebabkan kira-kira 3,000 pelanggan dan 600 kakitangan bergegas menyelamatkan diri dari premis tiga tingkat itu.

Dalam kejadian kira-kira 7 malam itu juga menyebabkan operasi pasar raya itu ditamatkan empat jam awal untuk memastikan tiada ancaman bahaya kepada orang ramai.

Seorang juruwang pasar raya berkenaan yang hanya ingin dikenali sebagai Mazlan berkata, semasa kebakaran beliau sedang melayan pelanggan sebelum terdengar orang ramai berteriak dan berlari keluar.

"Saya dengar ramai pelanggan menjerit "api, api" sebelum mereka semua berlari keluar dan berkumpul di tempat letak kereta," katanya kepada Bernama ketika ditemui di tempat kejadian.

Beliau berkata kira-kira sejam kemudian, selepas api dipadamkan pihak Bomba dan Penyelamat, semua kakitangan dibenarkan masuk untuk menyelesaikan kerja masing-masing sebelum dibenarkan pulang.

Sementara itu, Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd, Datuk Ameer Ali Mydin berkata, kebakaran itu hanya melibatkan tingkat atas premis berkenaan namun turut menyebabkan kerosakan pada tingkat dua dan tiga.

"Tingkat dua dan tiga merupakan ruang pejabat dan kerugian dianggarkan bernilai RM5 juta termasuk kerosakan perabot dan permaidani yang basah dengan air," katanya ketika dihubungi malam ini.

Jurucakap Balai Bomba Subang Jaya ketika dihubungi pula berkata, panggilan mengenai kebakaran itu diterima 7.12 malam sebelum ia dikawal pada 7.40 malam.

Dua jentera dan 10 anggota bomba dari Balai Bomba Subang Jaya digegaskan ke tempat kejadian. — BERNAMA


Pasar Raya Mydin Di Subang Jaya Ditutup Selepas Terbakar

SUBANG JAYA: Perniagaan di pasar raya Mydin Hypermarket di sini terpaksa dihentikan selepas papan tandanya tiba-tiba terbakar pada petang Selasa.

Ketua Balai Bomba Subang Jaya, Mohd Khairi Daud berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 7.12 malam.

"Kami tiba ditempat kejadian 10 minit kemudian, papan tanda tersebut telah hangus terbakar dan api telah marak hingga ke arah bumbung bangunan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian.

Mohd Khairi berkata, dua kereta bomba serta 10 ahli bomba mengambil masa kira-kira 10 minit untuk memadamkan api dan mengawal kebakaran sepenuhnya pada pukul 8.20 malam.

"Kami telah menasihatkan pihak pengurusan supaya menutup bangunan ini sehingga kami dapat menentukan struktur bangunan berada dalam keadaan yang baik," katanya sambil menambah bahawa satu unit forensik telah dirahkan untuk menyiasat punca kebakaran.

Sementara itu, Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd, Datuk Ameer Ali Mydin berkata semua kakitangan dan pelanggan telah diarahkan untuk segera meninggalkan bangunan tersebut ketika kebarakan itu berlaku.

"Hujan yang turun bukan sahaja membantu memadamkan api malah ia membantu daripada mengelakkan orang awam daripada terkorban kerana papan tanda tersebut betul-betul berada di atas sebuah restoran.

"Kebiasaannya, pada waktu malam, orang ramai akan duduk di luar dan mungkin ada yang akan mengalami kecederaan sekiranya papan tanda itu jatuh," katanya.

Beliau turut mengesahkan pasar raya tersebut akan ditutup sementara waktu sehingga jabatan bomba selesai menjalankan siasatan.
-mstar









Sumber foto: Rencam. Terima kasih kepada semua pemilik asal foto-to berkenaan.

No comments: