SEARCH

Friday, March 2, 2012

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Transformer TNB Meletup, Rumah Najib Dan Sekitar Putrajaya, Bangi bergelap 1 Jam

Posted: 01 Mar 2012 05:03 PM PST

Putrajaya, Bangi putus bekalan elektrik

KUALA LUMPUR - Sebahagian besar kawasan di Bandar Baru Bangi dan Putrajaya dekat sini bergelap kira-kira sejam semalam apabila sebuah pencawang elektrik di Seksyen 16, Bandar Baru Bangi terbakar kira-kira pukul 9.20 malam tadi.

STESEN pencawang TNB di Bandar Baru Bangi terbakar malam tadi menyebabkan bekalan elektrik terganggu di Bangi dan Putrajaya.

Gangguan tersebut turut melibatkan kediaman rasmi Perdana Menteri, Seri Perdana di Putrajaya.

Jurucakap Tenaga Nasional Berhad (TNB) ketika dihubungi memberitahu, bekalan elektrik di dua kawasan tersebut bagaimanapun dipulihkan semula secara berperingkat-peringkat mulai pukul 10.30 malam.

"Gangguan elektrik di kedua-dua kawasan tersebut bermula kira-kira pukul 9.20 malam tetapi bekalan elektrik mula disambung semula secara berperingkat-peringkat 50 minit kemudian," katanya ketika dihubungi Kosmo! malam tadi. -kosmo

Transformer TNB meletup

KUALA LUMPUR — Sebuah transformer Tenaga Nasional Bhd (TNB) di stesen janakuasa Bandar Baru Bangi dekat sini meletup dan terbakar malam tadi mengakibatkan beberapa kawasan perumahan di sekitarnya bergelap.

Insiden letupan dan kebakaran kecil itu dilaporkan berlaku pada kira-kira 9.20 malam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Rashid Abdul Wahab berkata, pihak polis yang dimaklumkan mengenai insiden itu telah menghubungi Balai Bomba Bandar Baru Bangi.

Katanya, bekalan elektrik di kawasan terbabit kini telah pulih.

Tiada kemalangan dan kecederaan dilaporkan dalam insiden tersebut. — BERNAMA


Ulasan GB

Sudah ada tanda-tanda pemerintahan BN akan menghadapi zaman kegelapannya di Putrajaya(?)

[Video] Kisah Loo Jo Yee: Gadis Cina 17 Tahun Memeluk Islam

Posted: 01 Mar 2012 03:25 PM PST

Loo Jo Yee adalah seorang gadis berusia 18 tahun dari etnik Cina di Malaysia. Keluarga Jo Yee merupakan pengikut agama kristian yang kuat. Dan beliau bakal menjadi seorang paderi di sebuah gereja. Disebabkan itu, keluarga beliau sangat bantah hingga menganggap masuk Islam adalah sangat menghinakan bagi keluarganya.

Gambar: Loo Jo Yee ketika ditemubual di TV Al-Hijrah

Loo Jo Yee sebenarnya telah memeluk Islam ketika masih berusia 17 tahun. Disebabkan di Malaysia mempunyai undang-undang untuk memeluk agama Islam bermula umur 18 tahun sahaja, beliau terpaksa menangguhkan dulu permohonan tersebut sehingga umurnya mencecah usia 18 tahun sekarang.

Beliau tiada nama Islam kerana sekarang ini, seseorang muallaf sudah tidak perlu menukar nama kepada nama Islam, dan hanya perlu ber'binti'kan kepada Abdullah serta tak perlu tukar bangsa. Maka namanya kekal Loo Jo Yee binti Abdullah.

Loo Jo Yee mendapat hidayah melalui dua peristiwa yang menarik.

1. Jo Yee mempunyai ramai rakan-rakan yang beragama Islam. Mereka telah berdebat tentang agama masing-masing. Ketika itu, beliau bermatlamat untuk membawa rakan-rakan Islam memeluk agama Kristian. Namun, untuk berdebat dengan rakan-rakan, beliau telah mengkaji Al-Quran, membaca kisah Nabi Muhammad s.a.w dan mengkaji kemunculan Islam untuk mencari kelemahan Islam.

Semakin beliau mengkaji, semakin lama beliau mula tertarik dengan ajaran Islam.

Beliau sendiri mengaku bahawa di dalam Bible banyak perkara yang telah diolah hingga menyimpang dari perkara sebenar. Oleh itu, Jo Yee mengkaji Islam dengan lebih mendalam untuk mencari perkara yang sebenar. Dengan itu, beliau telah mendapat ketenangan jiwa ketika membaca Al-Quran. Itu adalah hidayah pertama Loo Jo Yee.

2. Jo Yee pernah disyaki menghidap penyakit thyroid di bahagian leher. Doktor mengesahkan 90% besar kemungkinan adalah penyakit tersebut. Beliau merasakan ini adalah penamat bagi kehidupan beliau walaupun masih muda. Rakan-rakan Islam Jo Yee banyak memberi galakkan kepada beliau untuk cuba memohon doa kepada Allah Taala.

Beliau cuba dengan menadah tangan, menangis dan hanya berserah kepada Allah.

Keesokan harinya, ketika beliau menjalani medical check-up, doktor mengesahkan penyakit itu bukan kanser. Disebabkan itu, beliau yakin dengan kuasa Allah taala dan beliau terus mengucap 2 kalimah syahadah serta-merta. Subhanallah.. Allahuakhbar!

Selepas bergelar muallaf, banyak dugaan yang Jo Yee terpaksa terima. Beliau dipulau rakan-rakan dan keluarga tercinta. Tapi, beliau sangat bersyukur kerana mendapat keluarga angkat di Ipoh yang mengambil berat terhadap beliau. Beliau juga merasa terharu kerana telah dipilih Allah untuk mendapat hidayah ketika berumur 17 tahun, sedangkan remaja yang seusia beliau sibuk bersuka-ria hingga jauh tersasar. Jo Yee berharap selepas ini dia berpeluang untuk berdakwah kepada remaja-rakan yang seusia dengan cara tersendiri.

* disunting dan dipetik dari laman KBSB.



[WASPADA] Hampir Diperdaya Oleh Kenalan Facebook

Posted: 01 Mar 2012 07:31 AM PST

Jerat cinta Aisha Saeed'

KUANTAN - Seorang penjawat awam hampir diperdaya seorang kenalan wanita yang dikenalinya me lalui laman sosial awal Februari lalu.

Menggunakan nama 'Aisha Saeed', wanita kacukan Sabah dan dia memperkenalkan diri sebagai Pengurus Pemasaran yang bertugas di England.

Sulaiman (bukan nama sebenar), 45, berkata, dia berkenalan wanita yang menggunakan nama 'Aisha Saeeda', mengaku anak kacukan Sabah dan memperkenalkan diri sebagai Pengurus Pemasaran yang bertugas di England, melalui laman sosial, Facebook.

Menurutnya, selepas tiga hari berbalas pesanan melalui laman sosial tersebut, Aisha memberitahunya dia berminat bercuti ke Malaysia selama dua minggu.

"Melalui pesanan itu, dia memberitahu mahu menghantar bungkusan hadiah kepada saya sebagai tanda persahabatan.

"Saya dimaklumkan bungkusan tersebut mengandungi wang tunai 100,000 pound, bunga, telefon blackberry, t-shit Manchester United, jam tangan dan komputer riba jenama Hp," katanya kepada Sinar Harian.

Sulaiman berkata, ketika itu dia sudah mula mencurigai tindakan wanita itu, namun tetap mengikut rentak untuk melihat sejauh mana penipuan dibuat.

Katanya, Aisha memaklumkan sebahagian wang tunai daripada 100,000 pound iaitu 40,000 pound digunakan sebagai deposit untuk bayaran penginapan, manakala 60,000 pound untuk perbelanjaan ketika berada di Malaysia.

"Bagaimanapun, pada minggu lalu, saya menerima panggilan daripada seorang lelaki yang mendakwa dirinya daripada syarikat penghantaran barangan.

"Dia memaklumkan kepada saya bahawa bungkusan dihantar atas nama saya sudah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)," katanya.

Namun begitu, disebabkan bungkusan melebihi berat yang ditetapkan, dia diminta membayar RM2,500 supaya bungkusan itu dapat dikeluarkan daripada Kastam Diraja Malaysia.

"Lelaki tersebut mendesak saya supaya memasukkan duit ke dalam nombor akaun yang diberikan bagi memudahkan urusan.

"Saya menjadi lebih curiga dan hairan apabila nama pemilik akaun itu adalah 'Daud Musa' dalam masa sama cuba melengah-lengahkan perkara tersebut, tetapi Aisha menghantar pesanan melalui Facebook kepada saya dan merayu supaya menjelaskan bayaran tersebut malah, berjanji akan membayar semula kepada saya sebanyak dua kali ganda.

"Dia juga cuba menelefon saya sebanyak tujuh kali pada hari yang sama, tetapi saya tidak menjawabnya kerana mula sedar tentang penipuan tersebut," katanya.

Sulaiman berkata, dia membalas pesanan dihantar dan memberitahu tidak percaya helah wanita itu.

"Selepas itu, dia tidak lagi menghubungi saya, malah akaunnya juga sudah tidak aktif lagi.

"Saya harap, mereka di luar sana lebih berwaspada apabila 'didekati' lelaki atau wanita yang mahu menawarkan sesuatu yang tidak masuk akal seperti itu," katanya. -SH

Tu Dia - Lantik Soi Lek jadi 'Presiden Umno', Mahathir dicabar

Posted: 01 Mar 2012 05:11 AM PST

Shah Alam – Penasihat DAP, Lim Kit Siang mahu bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang disifatkannya sebagai "lidah bercadang" agar menamakan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek sebagai Presiden Umno.

"Ada dicadangkan agar respons kepada cadangan Tun Dr Mahathir bahawa saya sepatutnya dijadikan Presiden Pas, adalah sama ada Mahathir akan mengesyorkan agar Datuk Seri Chua Soi Lek menjadi Presiden Umno," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Dr Mahathir ekoran Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad yang bersetuju jawatan Timbalan Presiden Pas dipegang oleh bukan Islam jika ada tuntutan dan keperluan.

"Apapun, kenyataan Dr Mahathir yang mengatakan semua 'Tun serta anak dan cucu' mereka perlu disiasat ekoran dakwaan negara kehilangan RM100 bilion sepanjang 22 tahun pemerintahannya lebih menarik perhatian saya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen veteran ini berkata, semua Tun dari zaman Dr Mahathir seharusnya bersuara sama ada mereka bersedia menyokong penyiasatan penuh kehilangan wang ini sepanjang pemerintahan Perdana Menteri ke empat.

"Biarlah (bekas Perdana Menteri) Tun Abdullah Ahmad Badawi, Tun Musa Hitam, Tun Daim Zainuddin, Tun Ling Liong Sik dan Tun Lim Keng Yaik bersuara sama ada menyokong atau tidak (penyiasatan ini)," katanya.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur turut mempersoalkan kenyataan Dr Mahathir sama ada ia melibatkan semua bekas Perdana Menteri termasuk anak mereka yang memegang jawatan dalam kerajaan sekarang.

"Biarlah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bercakap dan menjelaskan perkara ini, mereka berdua anak Perdana Menteri kedua dan ketiga," katanya.

Jelas Kit Siang lagi, dengan kenyataan Dr Mahathir itu, adakah beliau benar-benar sudah bersedia disiasat bersama-sama dengan semua berpangkat Tun serta anak dan cucu mereka.

"Tun serta anak dan cucu yang lain tidak akan sesekali bersetuju dengan sebarang penyiasatan penuh yang dicadangkan ini. Jadi adakah Dr Mahathir terlalu yakin bahawa beliau akan memperoleh kekebalan dan sewenang-wenangnya bebas dari dakwaan kehilangan RM100 bilion ini?" katanya.

Ir Amiruddin Tidak Perlu Layan Surat Phahrolrazi Untuk Tamatkan Isu Kedah

Posted: 01 Mar 2012 03:46 AM PST

Saya tunggu surat Phahrolrazi, jawab Amiruddin

ALOR SETAR - "Saya mahu tunggu dan lihat surat yang dihantar terlebih dahulu sebelum membuat apa-apa komen."

Demikian kata Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kerja Raya, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga serta Industri dan Pelaburan, Datuk Ir Amiruddin Hamzah.

Beliau mahu melihat surat yang dihantar oleh Pas Kawasan Kuala Kedah untuk melihat kandungan serta memahami kehendaknya agar tidak tersalah tindakan.

"Saya belum dengar apa-apa mengenai kata dua itu. Mungkin baru lagi kot.

"Tak apalah, saya kena tunggu surat yang dikatakan akan dihantar kepada saya. Selepas melihat surat itu, saya akan jawab," katanya kepada Sinar Harian semalam ketika ditemui selepas menghadiri mesyuarat Exco yang pertama selepas mengangat sumpah terima jawatan kelmarin.

Ir Amiruddin yang juga Timbalan Yang Dipertua Pas Kawasan Kuala Kedah diminta mengulas kata dua Pas Kawasan Kuala Kedah kepadanya semalam kerana didakwa melanggari keputusan mesyuarat jawatankuasa yang diadakan pada 17 Februari lalu.

Yang Dipertuanya, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi berkata, sebaik Amiruddin mengangkat sumpah jawatan Exco kelmarin, tindakannya itu menyalahi keputusan dan Amiruddin diberi dua pilihan dalam tempoh 14 hari.

Amiruddin menganggap perkara itu tidak berbangkit lagi setelah memberi penjelasan kepada jawatakuasa Pas Kuala Kedah mengenai pendiriannya untuk menerima pelantikan semula sebagai Exco.

"Saya sudah beri penjelasan dan ingat semuanya setuju dan menerimanya. Teteapi belrakus ebaliknya.

"Tak Apa lah. Saya kena tunggu surat itu terlebih dahulu. Nanti saya akan maklumkan perkembangannya," katanya.-SH

Ulasan GB

Pada hemat GB, Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kerja Raya, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga serta Industri dan Pelaburan, Datuk Ir Amiruddin Hamzah tidak perlu layan surat yang dihantar oleh Pas Kawasan Kuala Kedah.

Ini kerana seperti yang GB telah nyatakan sebelum ini Mesyuarat Jawatankuasa PAS Kawasan untuk menghalang Datuk Ir Amiruddin Hamzah yang juga Timbalan Yang Dipertua Pas kawasan tersebut daripada menerima perlantikan exco bagi negeri Kedah adalah satu keputusan yang ultra vires, kerana tiada di dalam peruntukan mana-mana fasal di dalam Perlembagaan PAS bahawa Jawatankuasa PAS Kawasan boleh bertindak menghalang seseorang dari dilantik apa-apa jawatan di dalam Kerajaan negeri. Keputusan Jawatankuasa Kawasan itu perlu dianggap null and void.

Rujuklah mana-mana peguam paling handal dalam negara, insyaAllah hujjah GB di atas adalah benar.

Apatah lagi keputusan PAS Kawasan kedah itu merupakaan penghinaan kepada missi PAS Pusat yang telah mengamanahkan Naib Presiden, Tn Hj Salehuddin Ayub untuk menyelesaikan kemelut perlantikan exco PAS Kedah yang kini telah pun siap dengan formula untuk dibentang kepada PAS Pusat.

Setelah mereka menjaja keburukan Pesuruhjaya PAS Kedah yang juga Menteri Besar Kedah, kini mereka mengambil langkah yang paling kotor untuk menghalang Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan untuk dilantik menjadi exco.

Seperti yang GB utarakan juga sebelum ini, sepatutnya pihak PAS Kuala Kedah khususnya Yang dipertuanya, Phahrolrazi, bersikap redha dan akur dengan perlantikan MB Kedah yang telah melantik Datuk Ir Amiruddin kerana ia adalah hak prerogatif seorang Menteri Besar.

Tetapi malangnya untuk meneruskan agenda pertama mereka yang tidak kesampaian, mereka beralih untuk memberikan tekanan kepada pihak lain supaya tujuan mereka "mengguling" MB Kedah yang sedia ada untuk menobatkan Phahrolrazi itu tercapai. Hanya seorang yang mengikutinya, Dr.Ismail Salleh, sementara yang lain tidak.

Untuk menamatkan kemelut Kedah ini, langkah wajar bagi Ir Amiruddin yang lebih dikenali oleh ahli-ahli PAS satu negara daripada seorang lagi Ir itu, adalah lebih utama, suratnya itu tidak dilayan FULLSTOP


p/s ada blogger cuba menyindir kononnya blogger PR tak matang. Macamlah depa tu matang sangat. Kalau kail panjang sejengkal, janganlah lautan dalam hendak diduga... maaflah bukan takbur tapi kenyataannya ialah kebenaran dan keadilan itu perlu diletakkan ditempatnya yang hakiki. Kalau setakat mengejar ranking, BLOG GB sudah dikenali sebelum wujud isu kedah lagi!

Bila mereka dah tak boleh jawab hujjah-hujjah GB untuk mereka burukkan MB Kedah, dikatanya isu ini isu kecil, diumpamakan mereka hendak menyapu sampah-sampah yang mereka sendiri lakukan ke bawah karpet adanya.

Samalah macam dulu sewaktu GB menentang UG dan Hassan Ali. Ramai yang tuduh GB macam-macam, tetapi kesudahannya, Alhamdulillah, Allah membuktikan GB di pihak yang benar.

Justeru itu, biar Si Luncai itu terjun dengan labu-labunya.
GB tetap menulis untuk kebenaran dan keadilan.


Laporan sebelum ini
klik untuk baca




Kes Mulut Bayi Ditampal Pelekat: Kerana Bayi Itu Buat Bising...

Posted: 01 Mar 2012 01:40 AM PST

Disiplin bayi...'

PASIR GUDANG: Dua bekas pengasuh yang didakwa bertindak kejam dengan melekatkan mulut seorang bayi dengan pita pelekat selain melilit ketat beberapa bayi lain menggunakan kain bedung memberitahu melakukan perbuatan itu konon bagi mendisiplinkan mereka kerana membuat bising.

Perkara itu didedahkan pengusaha pusat asuhan kanak-kanak, Taska Permata 2, Shaherah Abd Malik, 40, yang mendakwa perbuatan dua bekas kakitangannya itu bukan saja tidak masuk akal, malah menjejaskan nama baiknya hingga menimbulkan kemarahan ramai.

Menurutnya, dia dan keluarga bagaimanapun bersyukur kerana semua mangsa tidak trauma mahupun berdepan masalah kesihatan berikutan perbuatan keterlaluan dua bekas pekerja itu.

"Selepas klip video itu tersebar luas di Internet, saya pernah menghubungi mereka biarpun sudah diberhentikan kerja pada Januari lalu akibat masalah disiplin.

"Apabila ditanya, mereka selamba menjawab konon melakukan (rakaman) itu bagi mendisiplinkan bayi berkenaan supaya tidak bising menyebabkan kami yang mendengar jawapan itu begitu kecewa," katanya ketika ditemui, semalam.

Menurutnya, sejak klip video itu tersebar, dia menerima pelbagai panggilan telefon daripada pihak tidak dikenali yang memarahinya kerana menyangkakan tindakan itu dibenarkan pengurusan taska.

Bagaimanapun, katanya, selepas diberi penerangan, baru pemanggil berkenaan faham keadaan sebenar dan meminta maaf kerana memarahinya tanpa usul periksa.

"Sebaik berita kejadian ini dilaporkan Harian Metro semalam, ramai rakan-rakan menghubungi saya dan memberikan semangat bagi menghadapi dugaan ini.

"Alhamdulillah, segelintir pembaca faham kejadian sebenar dan tidak menyerang kami kerana kami sendiri menjadi mangsa perbuatan orang lain," katanya.

Semalam, Harian Metro mendedahkan penyebaran klip video menunjukkan lebih lima bayi tidur dalam sebuah bilik dililit kuat selain mulut seorang bayi ditutup menggunakan pita pelekat. -hm

Laporan Bervideo sebelum ini
klik untuk baca




TERKINI: MP Sabak Bernam Dipenjara 6 Tahun & Denda RM50,000

Posted: 29 Feb 2012 11:25 PM PST

Shah Alam, 1 Mac: Ahli Parlimen Sabak Bernam, Datuk Abdul Rahman Bakri dan pembantunya dijatuhi hukuman enam tahun penjara dan denda RM50,000 atau 1 tahun penjara bagi setiap pertuduhan.

Hakim Mahkamah Sesyen Shah Alam, Azhaniz Teh Azman Teh memutuskan hukuman dijalankan serentak.

Semalam MP Sabak Bernam itu telah didapati bersalah terhadap lapan pertuduhan tuntutan palsu yang berjumlah RM80,000, tiga tahun lalu.

Abdul Rahman, 46, didakwa melakukan kesalahan itu semasa beliau menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Air Tawar mewakili Barisan Nasional (BN).

Hakim Mahkamah Sesyen Azhaniz Teh Azman Teh membuat keputusan tersebut selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya mengemukakan bukti tanpa keraguan munasabah.

Selain itu, mahkamah turut mendapati pembantu Abdul Rahman, Rosli Busro, 43, bersalah terhadap pertuduhan bersubahat dalam melakukan semua lapan kesalahan yang didakwa.

Ini berikutan permintaan peguam bela mewakili kedua-dua tertuduh Affifuddin Hafifi dan Lim Kon Keen yang mahukan sedikit masa untuk menyediakan mitigasi serta rayuan terhadap hukuman yang bakal dikenakan.

Selaku ejen kerajaan Malaysia, Abdul Rahman didakwa dengan niat untuk memperdaya prinsipalnya dengan menggunakan surat Adun yang mengandungi butiran palsu membuat tuntutan ke atas program atau aktiviti yang sebenarnya tidak dilaksanakan.

Antaranya pembelian hadiah dan cenderamata serta penganjuran jamuan Program Motivasi Pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) di kawasannya.

Beliau juga didakwa membuat tuntutan menggunakan butiran palsu mengenai Program Mesra Rakyat dan Hari Keluarga KRT di Dun Sungai Air Tawar, Program Forum Perdana Peringkat Mukim Bagan Nakhoda Omar, program Mesra Rakyat dan Hari Keluarga Guru-guru Kemas serta Program Mesra Rakyat serta sambutan Maulud Nabi.

Semua tuntutan palsu itu membabitkan jumlah RM10,000 setiap satu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh antara 21 Januari hingga 12 Februari 2008 di Pejabat Daerah Sabak Bernam.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 11(c) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 Akta sama.

Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali nilai suapan, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Ketua Unit Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Abdul Razak Musa. Kes sebelum ini dibicarakan di Mahkamah Khas Jenayah Rasuah Shah Alam.

Katadua Kepada Ir Amiruddin, Tindakan Phahrolrazi Dukacitakan Semua Pihak [updated]

Posted: 29 Feb 2012 09:37 PM PST

Isu Exco: Phahrolrazi beri Amirudin kata dua

ALOR SETAR - Pas kawasan Kuala Kedah memberi kata dua kepada Exco Kerajaan Negeri, Datuk Ir Amiruddin Hamzah yang juga Timbalan Yang Dipertua Pas kawasan itu kerana didakwa melanggari keputusan mesyuarat jawatankuasa yang diadakan pada 17 Februari lalu.

Yang Dipertuanya, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi berkata, sebaik Amiruddin mengangkat sumpah jawatan Exco kelmarin, tindakannya itu menyalahi keputusan dan Amiruddin diberi dua pilihan dalam tempoh 14 hari.

"Kita beri kata dua kepada beliau, jika ingin bersama Pas Kuala Kedah, kena letak jawatan Exco dan kita anggap isu ini selesai. Jika Amiruddin ingin bersama Menteri Besar, beliau bukan lagi sebahagian daripada Pas Kuala Kedah," katanya.

Menurutnya, ini bermakna Amiruddin tidak dibenarkan terlibat dalam gerak kerja parti atau pengurusan Pas kawasan itu, dan beliau perlu bergerak secara sendirian sebagai Adun Anak Bukit.

Bagaimanapun, Phahrolrazi berkata,tindakan yang akan diambil terhadap Amiruddin bergantung kepadanya dan beliau diberi tempoh 14 hari untuk menghantar surat jawapan.

"Apabila Amiruddin menerima tawaran sebagai Exco Kerajaan Negeri dan mengangkat sumpah jawatan, ini bermakna beliau ingkar arahan. Setiausaha Pas Kuala Kedah, Aris Awang akan menghantar surat rasmi kepada Amiruddin hari ini (semalam), tindakan selanjutnya akan diputuskan dalam mesyuarat akan datang," katanya.

Menurutnya, antara keputusan yang dicapai dalam mesyuarat itu adalah Pas Kuala Kedah sebulat suara menyokong pendirian Phahrolrazi untuk tidak menerima jawatan Exco bagi penggal seterusnya.

Arahan turut dikeluarkan kepada semua Adun dalam kawasan Kuala Kedah iaitu Phahrolrazi (Pengkalan Kundor), Amiruddin (Anak Bukit) dan Mohd Nasir Mustafa (Kubang Rotan) supaya tidak menerima tawaran untuk dilantik sebagai Exco.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Phahrolrazi itu bagaimanapun tidak dihadiri Amiruddin yang ketika itu mempunyai urusan di luar kawasan manakala Mohd Nasir selaku Naib Yang Dipertua Pas Kuala Kedah hadir.

"Berkisar kepada keputusan mesyuarat inilah, tindakan diambil. Keputusan ini juga sudah dimaklum pada Amiruddin dan beliau memaklumkan tidak dapat terima arahan ini dan mengangkat sumpah jawatan Exco Selasa lalu," katanya.

Phahrolrazi berkata, walaupun Amiruddin sudah menjelaskan alasannya berbuat demikian, namun Pas Kuala Kedah menolak penjelasan itu.

Ditanya sama ada Amiruddin berdepan tindakan disiplin atau digantung keahliannya, Phahrolrazi berkata, hanya Pas Pusat yang layak memutuskan perkara itu. -SH

Ulasan GB

SEKIRANYA BERITA DI ATAS BENAR, ia adalah episod malang di dalam sejarah PAS khususnya PAS Kedah.

Setelah gagal "menghasut" exco-exco lain untuk memboikot penerimaan jawatan exco, Phahrolrazi kini menggunakan Mesyuarat Jawatankuasa PAS Kawasan untuk menghalang Datuk Ir Amiruddin Hamzah yang juga Timbalan Yang Dipertua Pas kawasan tersebut daripada menerima perlantikan exco bagi negeri Kedah.

Keputusan tersebut adalah ultra vires, kerana tiada di dalam peruntukan mana-mana fasal di dalam Perlembagaan PAS bahawa Jawatankuasa PAS Kawasan boleh bertindak menghalang seseorang dari dilantik apa-apa jawatan di dalam Kerajaan negeri. Keputusan Jawatankuasa Kawasan itu perlu dianggap null and void.

Ternyata walaupun seorang jurutera, Phahrolrazi adalah seorang yang buta undang-undang demi meneruskan agenda busuk untuk terus mengeruhkan lagi keadaan yang melanda PAS Kedah.

Sekaligus ia merupakaan penghinaan kepada missi PAS Pusat yang telah mengamanahkan Naib Presiden, Tn Hj Salehuddin Ayub untuk menyelesaikan kemelut perlantikan exco PAS Kedah yang kini telah pun siap dengan formula untuk dibentang kepada PAS Pusat.

Sepatutnya pihak PAS Kuala Kedah khususnya Phahrolrazi bersikap redha dan akur dengan perlantikan MB Kedah yang telah melantik Datuk Ir Amiruddin kerana ia adalah hak prerogatif seorang Menteri Besar.

Tetapi malangnya untuk meneruskan agenda pertama mereka yang tidak kesampaian, mereka beralih untuk memberikan tekanan kepada pihak lain supaya tujuan mereka "mengguling" MB Kedah yang sedia ada untuk menobatkan Phahrolrazi itu tercapai. Hanya seorang yang mengikutinya, Dr.Ismail Salleh, sementara yang lain tidak.

Tindakan Phahrolrazi dan Jawatankuasa PAS Kuala Kedah itu telah menambahkan peluru kepada pihak musuh yang terdiri dari media massa arus perdana untuk mengkucar-kacirkan PAS Kedah seperti di bawah:

MB Kedah terus tertekan

ALOR SETAR: Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak terus menerima tekanan dalaman apabila PAS Kawasan Kuala Kedah mendesak Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Datuk Amiruddin Hamzah yang baru dilantik semula kelmarin supaya melepaskan jawatan EXCO. -petikan Berita Harian


Nampaknya apa yang GB katakan sebelum ini adalah BENAR bahawa Phahrolrazi mahu menjadi Mahu Jadi Hassan Ali Klon.

GB sudah menasihatkan sebelum ini supaya Phahrolrazi bersikap tawadhu dan merendah diri tetapi ia tidak dihiraukan.

Kamu sepatutnya menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan "ikhlas kerana Allah" sekalipun 100% pendapat kamu ditolak. Berhenti atau keluar dari organisasi yang kamu sudah diberikan peranan itu bererti kamu mengkhianati amanah dan mengkhianati kepimpinan. Apatah lagi cuba "mempengaruhi" exco-exco lain untuk memburukkan MB. Mujurlah ianya tidak direstui Allah, exco-exco lain lebih mengutamakan jemaah, hanya kamu berdua yang tidak!

GB telah suarakan sebelum ini: BERTAUBATLAH! Kembali ke dalam saf dengan merendahkan diri bersama-sama dengan mereka yang merendah diri, bukan dengan "syarat" bahawa pendapat kamu mesti diterima. Itu bukan tawadhu namanya. Di depan Allah, lucutkan dahulu PhD kamu seperti Nabi Musa disuruh menanggalkan kasutnya semasa berada di lembah thuwa!


Kita perlu mengutamakan kemaslahatan parti dari individu. Namun ianya tidak difahami dan dilakukan oleh Phahrolrazi.

bak kata seorang pengkomen di dalam komentar yang diberikan di dalam satu posting yang lalu:

Anonymous said

....phahrolrazi and the gang perlu bertanggungjawab dan dipersalahkan jika PAS tumbang di Kedah kerana tidak berhati-hati dan tidak bersabar.


Berdoalah kita sama-sama:

1) Allahumma arinal haqqan haqqa, warzuqnattiba'ah,
wa arinal bathilan bathila, warzuqnajtinabah


Ya Allah, tunjukkanlah kami yang haq itu sebagai haq, dan kurniakanlah kami kekuatan utk mengikutinya, dan tunjukkanlah yang batil itu sebagai batil dan kurniakanlah kami kekuatan untuk menjauhinya.

2) Rabbi adkhilni mudkhala sidqin wa akhrijni mukhraja sidqin waj'alli min ladunka sulthanan nashiran wa qul ja alhaqqu wa zawaqal bathilu innal bathila kana zahuqan

Ya Allah, masukkanlah kami secara masuk yang benar dan keluarkanlah(pula) kami secara keluar yang benar dan berikanlah kepada kami dari sisi-Mu kekuasaan yang menolong. Dan katakanlah yang benar telah datang dan yang batil telah lenyap. Sesungguhnya yang batil itu adalah sesuatu yang pasti lenyap.

Kebenaran tetap akan menang mengalahkan kebatilan sepertimana janjiNya:

Firman Allah bermaksud ,

Katakanlah : Telah datang yang haq (kebenaran) dan telah lenyap yang batil atau yang palsu. Sesungguhnya yang batil itu pasti lenyap. (Al Israa' 81)


Laporan sebelum ini
klik untuk baca




No comments: