Kelab Greenboc |
- [Bergambar] 2 Lelaki Disimbah Asid Dari Tingkap Ketika Sedang Tidur
- Isu Hudud Sudah Tidak Laku Bagi Kaum Cina
- Debat Soi Lek - Guan Eng Selesai Sudah, Debat Najib - Anwar Bila Lagi?
- Daftar Pemilih Meragukan: Mat Sabu Alu-alukan BERSIH 3.0
- 3 Maut Dalam Kemalangan Ngeri Di Dungun
- Ladang Fidlot Manjung Timbulkan Tandatanya - Apakah Ada Kaitan Dengan Shahrizat?
- Siapa Yang Mula-mula Buat Kenyataan Najib Gadai Akidah?
- Dr.Asri Tegur Hassan Ali: Henti Guna Agama Untuk Kepentingan Peribadi
- Festival Layang-layang Sedunia Di Pasir Gudang Dihentam Ribut
[Bergambar] 2 Lelaki Disimbah Asid Dari Tingkap Ketika Sedang Tidur Posted: 19 Feb 2012 05:21 PM PST Cecair maut dari tingkap MARANG: "Saya terjaga daripada tidur sebaik mendengar rakan menjerit kepanasan dan meminta tolong. Tanpa sedari saya sendiri turut menjadi mangsa apabila rakan lain memberitahu muka saya kemerahan dan mula menggelupas," kata Shahrul Zaman Salim, 38, seorang daripada dua mangsa simbah cecair dipercayai asid dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Padang, Merchang, di sini, semalam. Pada mulanya, dia menyangka hanya rakannya, Mohd Fazil Hanapi Idrus, 18, saja yang terkena simbahan cecair itu. "Bagaimanapun, sebaik rakan membuka lampu, barulah saya terasa pedih di muka dan lengan. Lebih mengejutkan, tilam kami berdua tidur turut rosak disebabkan terkena cecair itu," katanya. Dalam kejadian jam 5.10 pagi itu, kedua-dua mangsa yang sedang tidur di rumah berkenaan disimbah dari arah tingkap yang tidak ditutup berhampiran tempat mereka tidur. Shahrul Zaman yang juga nelayan berkata, dia terkejut sebaik mendengar teriakan Mohd Fazil yang menggelupur sambil memegang muka dan badan yang kemerahan. -hm SHAHRUL...tak sedar diri turut kena MOHD FAZIL...parah terkena simbahan asid
|
Isu Hudud Sudah Tidak Laku Bagi Kaum Cina Posted: 19 Feb 2012 02:49 PM PST Kuala Lumpur, 19 Feb: Isu hukum hudud diakui sebagai isu yang sudah tidak laku lagi bagi masyarakat Cina jika digunakan oleh Umno, MCA dan BN dalam kempen mereka bagi menghadapi sebarang pilihan raya di negara ini. Sebaliknya, semakin meluas isu itu dimainkan, semakin meningkat pula sokongan masyarakat Cina kepada PAS dan Pakatan Rakyat sehingga menyebabkan BN akan mengalami kekalahan teruk. Pensyarah di sebuah pusat pengajian tinggi tanah air, Ong Kian Ming berkata, realiti itu terbukti pada Pilihan Raya Umum Ke-12 tahun 2008 lalu, apabila Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek memainkan isu tersebut dalam kempennya di kawasan Parlimen Bukit Gantang dan Dun Pasir Panjang, Perak yang ditandingi Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin bagi pihak PAS. Menurutnya, disebabkan isu tersebut, pengundi-pengundi Cina di kawasan itu bukannya memberikan undi kepada BN, tetapi semakin menyokong PAS sehingga menyebabkan Nizar mencapai kemenangan besar. Katanya, perkara itu perlu dijadikan pengajaran oleh MCA dan BN agar tidak terperangkap dengan kesilapan mereka sendiri dalam memilih isu dalam kempen mereka dalam pilihanraya termasuk untuk menghadapi PRU Ke-13 yang akan diadakan tidak lama lagi. "Isu hudud sudah tak patut ditimbulkan lagi oleh Datuk Seri Dr Chua Soi Lek. Isu hudud sebenarnya dah tak laku bagi orang Cina sekarang," katanya ketika menjadi ahli panel bagi mengulas debat antara Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang disiarkan secara langsung di Astro Awani semalam. Pada program debat selama dua jam yang bermula jam 4.30 petang itu, seorang peserta turut membangkitlkan mengenai isu hukum hudud untuk dijawab oleh Lim, dengan mengkritik keras DAP kerana menjalinkan kerjasama dengan PAS yang ingin melaksanakan hukum itu jika Pakatan Rakyat memerintah Malaysia pada PRU Ke-13 akan datang. Bagaimanapun, persoalan itu tidak dijawab dengan panjang lebar oleh Lim disebabkan kesuntukan masa, sehingga Soi Lek juga turut menyuarakan kekesalannya terhadap Lim kerana tidak memberikan respon yang baik terhadap soalan itu ketika tiba giliran beliau berhujah sejurus selepas itu. Ketika program ulasan mengenai debat itu berlangsung yang diadakan sejurus selepas tamatnya debat yang julung-julung kali diadakan itu, Kian Ming berkata, sikap Soi Lek yang turut membangkitkan isu hudud pada program tersebut ternyata usaha yang sia-sia. "Apabila Soi Lek bangkitkan isu hudud, ia tak menguntungkan MCA atau BN lagi. Malah tak guna. Rakyat perlukan isu-isu penting, bukannnya isu yang sudah tak laku lagi seperti itu," katanya. Beliau dan dua orang lagi panel bagi mengulas debat tersebut, Markus Lim dan Wan Firdaus, yang juga disiarkan secara langsung menerusi saluran tersebut turut menyarankan agar program debat seperti itu diadakan lagi pada masa akan datang kerana ia memberikan kesan cukup baik kepada rakyat. Menurut Markus Lim, pemimpin-pemimpin kerajaan tidak seharusnya takut untuk berdepan dengan pemimpin-pemimpin pembangkang menerusi debat jika masing-masing jujur untuk berbakti kepada rakyat. Manakala Wan Firdaus pula menyarankan agar program debat seperti itu diadakan dengan melibatkan audien dari kaum yang berbeza dengan pemimpin terbabit jika mahu program tersebut menjadi lebih menarik dan memberikan kesan yang lebih baik kepada rakyat. "Kalau pemimpin yang terbabit itu sama ada dari pembangkang dan kerajaan adalah dari kaum Cina, audiennya mestilah dari kaum Melayu. Kalau pemimpin Melayu, audiennya dari kaum Cina. Jika pemimpin itu dari kaum Indian, audiennya mestilah dari kaum Melayu," katanya. Sementara itu, Naib Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Pusat bagi kaum Cina, Vincent Lee dalam satu temubual dengan Harakahdaily baru-baru ini turut mengakui isu hukum hudud sudah semakin difahami oleh masyarakat Cina di negara ini. Malah, katanya, sokongan kaum Cina terhadap PAS atas kesedaran mereka sendiri dengan posisi PAS dalam politik tanah air selaku satu-satunya parti yang berasaskan agama di negara ini. "Semua agama menekankan kepada sikap bertanggungjawab, keadilan dan ketelusan. Selaku parti yang berasaskan agama, PAS juga pasti menekankan kepada ketelusan dan keadilan kepada semua kaum. "Kaum Cina di negara ini yakin PAS pasti akan memberikan ketelusan dan keadilan kepada semua kaum termasuk kepada kaum Cina jika diberikan peluang memerintah negara ini bersama Pakatan Rakyat pada PRU Ke-13 ini, malah diyakini jauh lebih baik berbanding Umno atau BN," ujar beliau. -HD |
Debat Soi Lek - Guan Eng Selesai Sudah, Debat Najib - Anwar Bila Lagi? Posted: 19 Feb 2012 07:07 AM PST Susulan debat DAP-MCA, giliran Najib-Anwar susul? KUALA LUMPUR - Rakyat muncul pemenang sebenar dalam debat antara parti MCA dan DAP kerana ia membolehkan mereka menilai sendiri pendirian serta polisi Barisan Nasional (BN), kata Datuk Seri Dr Chua Soi Lek. "Pemenangnya ialah rakyat, dan bukan Lim Guan Eng (Setiausaha Agung DAP) atau Chua Soi Lek," kata presiden MCA itu pada sidang akhbar bersama sejurus menamatkan perdebatan yang menarik minat ramai rakyat, terutama masyarakat Cina, serta disiarkan secara langsung menerusi saluran Astro AEC dan Awani. "Penglibatan seperti ini akan membolehkan rakyat melihat pendirian BN dan Pakatan," katanya selepas debat sejam bertajuk 'Kaum Cina di Persimpangan: Apakah sistem dua parti akan menjadi sistem dua bangsa?' anjuran Institut Kajian Kepimpinan dan Strategi Asia (Asli) serta kumpulan pemikir MCA Institut Analisis Strategik dan Penyelidikan Dasar (Insap) di sini. Sejak awal lagi, Soi Lek dan Ketua Menteri Pulau Pinang itu bersetuju berdebat secara profesional serta tidak menggunakannya sebagai platform bagi menentukan siapa menang atau kalah. Debat itu dikendalikan dalam bahasa Mandarin dan dipengerusikan Ketua Pegawai Eksekutif Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor, Tan Ah Chai. Mengulas isu sama ada mereka menjawab soalan yang dibangkitkan dalam debat itu, Soi Lek berkata, beliau yakin mampu memberikan penjelasan lebih baik jika diberikan lebih masa dan peluang untuk berbuat demikian. Guan Eng pula berkata, debat itu boleh menjadi satu permulaan yang baik ke arah mewujudkan masyarakat demokrasi lebih matang, dan ia patut dianjurkan lebih kerap. "Saya rasa ini sesuatu yang baik serta berharap ia bukan yang pertama dan terakhir. Saya rasa ia akan membuka minda rakyat kita kerana isu perlu dibahas secara rasional dan waras," katanya sambil menambah, beliau bersetuju untuk berdebat sekali lagi dengan Soi Lek dalam Bahasa Malaysia atau Inggeris, dan butiran lain seperti topik, masa serta venue akan diputuskan kemudian. Beliau juga berkata, debat yang paling dinanti-nantikan rakyat Malaysia ialah antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim. Terdahulu, ketika perdebatan, yang dihadiri lebih 600 khalayak, Soi Lek berkata, DAP hanya tahu menyerang kerajaan BN dan menyalahkan parti komponen itu dalam setiap perkara bagi menyembunyikan kelemahan mereka. Beliau berkata, DAP juga menyemai politik kebencian di kalangan rakyat terhadap BN selain mahir melaga-lagakan orang Cina sesama sendiri. Katanya, sejak DAP berkuasa di Pulau Pinang, ia tidak mampu menyelesai dan meningkatkan taraf sosioekonomi penduduk negeri itu, malah gagal meluluskan tanah untuk membina sekolah Cina. Soi Lek juga menegur DAP kerana mendesak sistem dua parti sedangkan pada realitinya, ia hanya satu slogan bagi meraih undi, selain bercanggah dengan sasaran pilihan raya mereka baru-baru ini untuk 'tidak mempunyai pembangkang' di Pulau Pinang pada pilihan raya umum akan datang. Pada segmen di mana pendebat diberi peluang menyoal lawannya, Soi Lek meminta Guan Eng menjelaskan model ekonomi Pakatan Rakyat dan bagaimana ia boleh memacu Malaysia menjadi negara maju. Bagaimanapun, Guan Eng seolah-olah tidak dapat berbuat demikian sebaliknya memilih untuk menjawab secara umum tanpa memberikan butiran berkaitan pembangunan ekonomi dan pelaburan di Pulau Pinang. - Bernama Ulasan GB Kalau ke Majlis Thaipusam boleh hadir dengan alasan untuk menyampaikan dasar-dasar kerajaan di sana takkanlah program debat tak berani, sedangkan dalam program debatlah dasar-dasar kerajaan itu boleh diulas dan dipertahankan. |
Daftar Pemilih Meragukan: Mat Sabu Alu-alukan BERSIH 3.0 Posted: 19 Feb 2012 05:35 AM PST Cheras: Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu mengalu-alukan Jawatankuasa Bersih menganjurkan Bersih 3 bagi membantah kenaikan daftar pemilih yang didakwa 'pelik' di sembilan kawasan Parlimen di Selangor. "Daftar pemilih di Selangor berlaku satu perkara yang pelik di sembilan kawasan Parlimen. Parlimen Subang kenaikan daftar pemilih sebanyak 35 peratus. Kawasan Kota Raja naik lebih kurang 28 peratus. Puchong lebih kurang 20 peratus. Serdang dan sebagainya. Sembilan kawasan Parlimen kenaikan pengundi lebih daripada 20 peratus. "Oleh itu hadirin sekalian, Bersih 3 mesti diadakan,"katanya ketika berucap pada siri jelajah Asalkan Bukan UMNO (ABU), di Madrasah Ehsaniah Taman Bukit Anggerik, di sini malam tadi. Mohamad yang lebih dikenali dengan panggilan Mat Sabu berkata, mesyuarat Pakatan Rakyat baru-baru memandang serius perkara itu. Oleh itu katanya, Pakatan Rakyat akan menyokong sekiranya satu lagi perhimpunan bersar-besaran diadakan bagi membantah daftar pemilih yang meragukan itu agar pilihan raya dapat dijalankan dengan adil dan bersih. " Cara nak buat, kita serah kepada badan induk itu. Serah kepada Datuk A. Samad Said bagaimana untuk kita lancarkan Bersih 3.Pas, Keadilan dan DAP akan menyokong sebarang tindakan yang dicadangkan oleh NGO Bersih 3," ujarnya lagi. Beliau memberi contoh bagaimana kenaikan daftar pemilih di Subang yang begitu tinggi dilihat begitu berbeza dengan kawasan berhampirannya itu Petaling Jaya Utara. " Sedangkan Parlimen yang bersebelahan Petaling Jaya Utara kawasan Tony Pua, kenaikan daftar pemilih hanya 7 peratus. Kenapa berlaku begitu tidak seimbang? Ini yang menjadi bahan renungan kita. Sepatutnya kalau Subang nak 35 peratus, sekurang-kurangnya Petaling Jaya Utara 25 peratus,"katanya. Tambahnya lagi, senario pertambahan jumlah daftar pemilih ini lah yang menyebabkan kerajaan Pas di Terengganu tumbang pada 2004. Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melaksanakan penyiasatan terperinci terhadap 42,000 senarai nama yang meragukan di dalam senarai daftar pemilih yang tidak mendaftar dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). "Sekiranya perkara itu tidak di atasi segera, Pakatan Rakyat mendesak SPR supaya tidak melaksanakan pilihan raya sehinggalah siasatan selesai," katanya pada sidang media Ibu Pejabat PKR baru-baru ini. -antarapos |
3 Maut Dalam Kemalangan Ngeri Di Dungun Posted: 19 Feb 2012 03:22 AM PST Dungun – Hajat enam sekeluarga untuk menghadiri kenduri perkahwinan saudara tidak kesampaian apabila tiga daripada mereka maut selepas kereta dinaiki bertembung dengan sebuah lori di Kilometer 21.5, Jalan Dungun-Bukit Besi, Kampung Paya Kemudi di sini semalam. Gambar: ORANG RAMAI melihat keadaan kereta mangsa kemalangan yang mengorbankan tiga sekeluarga di Kampung Paya Kemudi, Dungun semalam. Dalam kejadian pukul 11.40 pagi itu, pemandu kereta Proton Wira, Tengku Shafuddin Tengku A. Rahman, 46, dan isterinya, Salwiah Abdul Rahman, 42, maut di tempat kejadian sementara anak mereka, Tengku Muhammad Aqil Tengku Shafudin, 9, disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital. Ibu kepada Tengku Shafuddin, Tengku Nik Asiah Tengku Embong, 70, berada dalam kritikal manakala dua lagi anak pasangan itu, Tengku Amir Haziz, 10, patah paha kanan dan Tengku Nor Azira 18, cedera ringan. Kesemua mereka menerima rawatan di Hospital Dungun. Kejadian berlaku ketika mereka dalam perjalanan dari arah Kampung Syukur, Pasir Raja untuk menghadiri kenduri perkahwinan di Kampung Gong Pasir. -kosmo Tiga Beranak Maut Kereta Dinaiki Bertembung Lori Barang |
Ladang Fidlot Manjung Timbulkan Tandatanya - Apakah Ada Kaitan Dengan Shahrizat? Posted: 19 Feb 2012 12:56 AM PST Adakah Shahrizat terlibat Ladang Fidlot Manjung? PARIT, 19 Feb: PAS Perak mahu kerajaan negeri bertanggungjawab dan menjawab kegagalan projek Ladang Satelit Fidlot Nasional di Gelung Pepuyu, Manjung yang masih belum beroperasi sehingga sekarang. Timbalan Pesuruhjayanya, Ustaz Misbahul Munir Masduki berkata, dalam tinjauan ke tempat tersebut baru-baru ini mendapati tanah seluas 100 ekar di atas padang ragut telah terbiar walaupun seratus peratus siap dibina. Katanya, menurut sumber, projek tersebut dimulakan sejak 4 tahun yang lalu di mana status tanah telah bertukar kepada taman kekal pengeluaran makanan. Difahamkan Jabatan Pertanian telah membelanjakan RM6.7 juta untuk membangun infrastruktur seperti membina 2 kandang untuk muatan 600 ekor lembu pada sesuatu ketika, bekalan elektrik, pagar dan bekalan air. Menurutnya, konon pesertanya dari kalangan orang-orang yang berkemampuan dari segi kewangan untuk membela lembu yang dibekalkan oleh Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC). Tambahnya, bagaimanapun diberitakan pihak NFC sehingga sekarang tidak mampu untuk membekal lembu-lembu yang dijanjikan, maka tinggallah ladang dan kandang tersebut kosong manakala pengurus projek itu juga telah diberhentikan kerja. "PAS Perak menyifatkan projek yang menelan belanja berjuta ringgit duit rakyat ini dibazirkan begitu sahaja. Kami mahu kerajaan negeri menjawab isu ini," katanya. Katanya, timbul juga persoalan kemungkinan projek itu ada kaitan dengan isu NFC yang melibatkan suami kepada Ketua Pergerakan Wanita Umno yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil. "Inilah contoh kerakusan dan salah urus tadbir pihak tertentu dengan melibatkan tanah kerajaan dan duit rakyat. "PAS Perak mahu kerajaan negeri yang meluluskan tanah tersebut menjawab isu ini kepada rakyat, sekiranya berlaku penyelewengan atau amalan rasuah, tindakan sewajarnya hendaklah diambil," ujarnya. -HD |
Siapa Yang Mula-mula Buat Kenyataan Najib Gadai Akidah? Posted: 18 Feb 2012 11:40 PM PST Lawatan Najib ke Thaipusam tidak gadai akidah KUALA LUMPUR –Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom menempelak pihak yang menuduh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menggadaikan akidah kerana melawat Kuil Sri Subramaniam, Batu Caves semasa perayaan Thaipusam lalu. Beliau berkata, perkara itu sengaja dibangkitkan bagi menimbulkan kebencian terhadap Najib sebagai pemimpin Islam dan beliau kecewa kerana ia dilakukan oleh umat Islam sendiri. Menurutnya, perkara ini tidak timbul kerana Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) dan Majlis Fatwa Kebangsaan telah memberi garis panduan mengenai hukum ketika beliau berada di kawasan berkenaan. "Najib tidak terlibat dalam upacara keagamaan dan acara yang dianjurkan, justeru, tidak timbul soal akidahnya. Beliau (Najib) telah mengikut garis panduan yang ditetapkan. Beliau tahu mana yang boleh dan mana yang tidak. "Ini yang merosakkan agama (Islam) apabila umatnya sendiri sanggup menuduh dan membuat pelbagai dakwaan berniat jahat semata-mata tidak sehaluan dengan pemimpin negara," katanya semasa memberi ucapan dalam Himpunan Ulama, Cendekiawan Islam dan Penulis Maya Kebangsaan 2012, semalam. Menurut Jamil Khir, Najib telah mengikut nasihat pakar dan ulama melalui susun atur perjalanan majlis dengan berada di dalam dewan untuk menerangkan program kerajaan kepada masyarakat India beragama Hindu. Menjawab mengenai pakaian 'purta' yang dipakai Najib, beliau berkata, ia adalah kostum kebudayaan orang India dan bukan 'pakaian agama Hindu'. "Kalau lelaki India pakai baju Melayu dalam majlis, itu tidak bererti mereka telah masuk Islam dan menjadi orang Melayu. Sama juga yang berlaku pada Najib, beliau tetap orang Islam," katanya. Sekiranya yang dilakukan Najib boleh dianggap menggadaikan akidah, kata Jamil Khir, perkara yang sama perlu diajukan kepada Mursyidul Am Pas, Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat apabila bertemu dengan penganut agama lain di kuil dan pada masa yang sama menghulurkan sumbangan wang. "Tidak pula kita kata pemimpin itu (Nik Aziz) gadai akidah kerana berada di kuil. Pokok utamanya, perkara ini menjelaskan mengenai kelemahan umat Islam apabila bercakap mengenai perpaduan. Saya sedih apabila ada pemimpin Islam diberi ugutan kerana cuba membawa konsep perpaduan dan lebih suka melihat sesama kita terus berpecah-belah. "Begitu juga apabila umat Islam mementingkan agenda politik untuk menawan Putrajaya daripada menyelesaikan masalah akidah, perpaduan, Islam dan apa yang berlaku di Palestin," katanya. Menurut Jamil Khir, umat Islam lemah perlu mengetepikan pendapat, sebaliknya merujuk kepada pakar dan ulama serta tidak menjadikan laman sesawang sebagai hukum-hakam untuk kehidupan seharian. -SH Ulasan GB Siapa yang sebenarnya memulakan "serangan" ke atas Najib dengan perkataan "gadai akidah" sebelum ini jika bukan mufti dari Perak? Menurutnya, apa yang dilakukan oleh Najib itu adalah syirik, dan beliau sendiri telah mengakui bahawa beliau telah "menasihatkan" PM setiap tahun tetapi tidak diindahkan. Malah beliau meminta menteri hal ehwal agama Islam atau penasihat agama sepatutnya menasihatkan Najib agar tidak hadir dalam perayaan itu. Tegas Harussani, walaupun sudah ditegur setiap tahun namun perdana menteri itu seolah-olah tidak memandang berat akan kepentingan agama Islam dan akidah. Hanya selepas beberapa hari selepas kenyataan itu dibuat, mufti berkenaan membuat pusingan U dengan menyatakan menghadirkan diri di majlis Thaipusam itu tidak salah. Sekarang masing-masing boleh jawab; siapa yang membuat tuduhan dan kenyataan tanpa usul periksa? klik untuk baca |
Dr.Asri Tegur Hassan Ali: Henti Guna Agama Untuk Kepentingan Peribadi Posted: 18 Feb 2012 09:25 PM PST Pemimpin politik harus henti guna agama demi kepentingan peribadi, kata Dr Asri KUALA LUMPUR, 17 Feb — Bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Zainul Abidin menegaskan pemimpin parti politik perlu "memisahkan" agama dari politik agar kesucian sesuatu agama itu terjamin dan dihormati. Dalam satu kenyataan kepada The Malaysian Insider, Asri berkata pemimpin politik sering mempergunakan agama untuk kepentingan sendiri semata-mata mahu menyelamatkan diri dan menghalang kebenaran. "Saya tidak menyokong pemisahan agama dari politik tetapi saya menyokong memisahkan agama dari penyalahgunaan golongan politik. "Lebih elok politik yang berpisah dari agama dibandingkan politik yang mempergunakan agama," katanya. Jelas beliau, sesuatu agama akan dipandang serong sekiranya ia dipergunakan pihak tertentu. "Sebab itu amatlah merbahaya apabila agama itu telah menjadi senjata mereka yang pandai berbicara untuk kepentingan kuasa dan diri. Hakikat Tuhan akan disalahertikan oleh manusia. "Ajaran kebenaran akan dipandang serong. Manusia akan kecewa dengan ajaran Tuhan yang dianggap tidak memenuhi panduan keadilan dan rahmat. Sebab itu agama Islam ini tertegak atas fakta dan hujah. Bukan khayalan dan mimpi," katanya. Tambah Asri, pemimpin politik seharusnya sedar dan tidak lagi menjadikan agama sebagai "mangsa" dan "alat" untuk tujuan peribadi. "Maka tidak hairan jika melihat nama Tuhan sering dipergunakan oleh ahli politik, ahli perniagaan, bomoh, ustaz, penjenayah, perasuah dan segala jenis manusia yang berkepentingan. "Dalil-dalil diputar dan dipusing agar dapat menjelma dalam rupa reka kehendak yang berbicara. Ia bukan hanya berlaku dalam kalangan umat Islam sebaliknya semua agama," katanya. Dalam kenyataan itu, beliau turut menyentuh mengenai seorang pemimpin yang baru dipecat keanggotaan dari sebuah parti — merujuk kepada Datuk Dr Hasan Ali, yang bangkit memperjuangkan agama Islam, hak orang Melayu dan raja-raja Melayu. "Saya juga lucu apabila ada seseorang berceramah tentang perjuangan murninya setelah dipecat ialah membela Islam, Melayu dan raja-raja Melayu sedangkan Melayu tidak semestinya selari dengan Islam demikian juga raja. "Jika Islam diyakini syumul, membela Islam bererti terbela segala bangsa, raja dan rakyat. Namun apabila Islam dipergunakan, Islam dinodai untuk tujuan tersendiri. Bagaimana dengan rakyat bawahan seperti kita?" katanya. Hasan, bekas Pesuruhjaya PAS Selangor yang dipecat awal Januari lalu, akan menubuhkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dinamakan "Jati" untuk meneruskan agendanya memperjuangkan agama Islam, hak orang Melayu dan raja-raja Melayu. -TMI |
Festival Layang-layang Sedunia Di Pasir Gudang Dihentam Ribut Posted: 18 Feb 2012 07:21 PM PST Pasir Gudang: Kemeriahan Festival Layang-Layang Sedunia Pasir Gudang (FLLSPG) ke-17 di sini semalam, terganggu seketika apabila lebih 10 daripada 15 khemah peserta antarabangsa acara itu rosak teruk akibat diterbangkan angin kencang. Gambar: Peserta, petugas Festival Layang-Layang Sedunia Pasir Gudang menyelamatkan diri dan barangan selepas kawasan festival dilanda ribut di Bukit Layang-Layang, Johor, semalam. - Foto Roslan Khamis Kejadian jam 4.20 petang itu ketika peserta festival terbabit sedang menerbangkan layang-layang mereka, sebelum angin bertiup kencang sehingga menerbangkan deretan khemah berkenaan. Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), On Jabbar, berkata tiada kecederaan dilaporkan dan pihaknya sedang berusaha memasang kembali khemah yang rosak akibat diterbangkan angin kencang itu. "Kejadian ini berlaku dengan pantas dan kita tidak menjangka khemah terbabit boleh diterbangkan angin kerana seperti kebiasaan semua khemah yang ada di sini dipasang dengan aspek keselamatan sudah diperiksa terlebih dulu. "Nasib baik tiada insiden buruk menimpa peserta atau pengunjung yang hadir di festival ini. Namun, saya percaya kejadian ini tidak menjejaskan kelancaran program yang berlangsung sejak Rabu lalu dan dirasmikan esok (hari ini) dan berakhir Ahad," katanya ketika dihubungi Berita Harian. On berkata, kejadian itu menyebabkan semua aktiviti membabitkan layang-layang terpaksa dihentikan seketika petang semalam, namun aktiviti seperti pertandingan memasak dan mewarna tetap diteruskan seperti biasa. "Semua peserta sedang berlindung dalam Muzium Layang-Layang akibat hujan lebat selepas kejadian angin kencang itu. Aktiviti menerbangkan layang-layang akan disambung esok (hari ini) sebelum majlis perasmian festival ini berlangsung sebelah petang. "Orang ramai tidak perlu bimbang untuk melihat festival kerana aspek keselamatan ketika acara berlangsung dijaga pasukan keselamatan terdiri daripada polis dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) berada dalam keadaan siap siaga," katanya. Sementara itu, Jabatan Meteorologi semalam melalui laman web melaporkan amaran angin kencang dengan kelajuan 50 hingga 60 kilometer sejam dan laut bergelora yang berlaku di kawasan perairan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor Timur dan Sarawak. Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan serta perkhidmatan feri. -BH |
You are subscribed to email updates from KELAB GREENBOC To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
No comments:
Post a Comment