Kelab Greenboc |
- Pejabat Apek (Penjaga Gol Kelantan) Disimbah Cat Hitam Kali Ketiga
- Syirik - Dosa Yang Tidak Diampunkan Allah
- Satu Hari Ahmad Maslan Akan "Dibakulsampahkan"!
- Skandal NFC: Dakwa Mereka, Bukan Sekadar Pulangkan RM250 Juta
- Lagi Kebakaran Misteri Berlaku
- [Bergambar & Video] Bantah JKKK Rampas Tanah SRIDB, ADUN Lari Sembunyi Di Resort
- "Bayar Balik RM250 Juta Kepada Kerajaan" - Kata Nazri Kepada Shahrizat
- Sekalipun Kelantan Dizalimi Kerajaan Pusat, Kelantan Tetap Bina Lebuhraya
Pejabat Apek (Penjaga Gol Kelantan) Disimbah Cat Hitam Kali Ketiga Posted: 13 Feb 2012 05:14 PM PST Kta Bahru - Setelah berdepan tohmahan yang menjadi punca putusnya pertunangan seorang gadis, penjaga gawang nombor satu negara, Khairul Fahmi Che Mat (gambar kecil), 23, atau Apek dilanda dugaan lagi apabila pejabatnya, Khairul Fahmi Resources (KFR) Sdn. Bhd., di Jalan Seri Cemerlang di sini disimbah cat hitam. Gambar: SEIYED AHMAD menunjukkan laporan polis yang dibuat ekoran kejadian simbahan cat berwarna hitam di pejabat KFR di Kota Bharu semalam. Perbuatan khianat yang dipercayai dilakukan individu tidak bertanggungjawab itu merupakan yang ketiga sejak 5 Februari lalu sehingga mendorong Apek dan pihak pengurusannya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu di sini kelmarin. Tindakan itu terpaksa diambil kerana mereka bimbangkan keselamatan diri masing-masing setelah keadaan sama berulang dua hari berturut-turut. Menurut pengurus syarikat itu, Seiyed Ahmad Mohamad Yusoff, dalam kejadian pertama 5 Februari lalu, pintu depan pejabat itu disimbah cat hitam dan diikuti kejadian kedua pada Sabtu lalu yang menjadikan papan tanda dan pagar tempat simbahan cat tersebut, manakala dalam kejadian ketiga kelmarin bahagian lantai dan dinding luar pejabat sehingga ke bumbung pula menjadi 'mangsa'. "Ketika kejadian pertama berlaku, Apek dan kami cuba berfikiran positif dengan menjangkakan ia cuma perbuatan nakal budak-budak tetapi apabila berlaku kejadian kedua dan ketiga, kami mula mengesyaki sesuatu yang tidak baik," katanya ketika ditemui di pejabat KFR di sini semalam. -kosmo erulang kali disimbah cat |
Syirik - Dosa Yang Tidak Diampunkan Allah Posted: 13 Feb 2012 03:34 PM PST PUM: Islam larang sertai upacara bertentangan aqidah Semua pihak khususnya umat Islam diminta lebih prihatin dan mengambil perhatian berat dalam isu-isu pembabitan orang Islam dalam sambutan atau upacara keagamaan masyarkat bukan Islam kerana ia mempunyai hubungkait dengan aqidah, kata Persatuan Ulama Malaysia (PUM). Menurut setiausaha agungnya, Dr Mohd Roslan Mohd Nor, persatuan itu berpandangan isu berkaitan pembabitan orang Islam dalam sambutan perayaan agama bukan Islam sepatutnya selesai jika semua pihak merujuk dan mengikut Garis Panduan Orang Islam Turut Merayakan Hari Kebesaran Agama Orang Bukan Islam yang telah diperakukan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-68 yang telah bersidang pada 12 April 2005. "Antara kriteria yang ditetapkan ialah majlis tersebut mestilah tidak disertakan dengan upacara-upacara yang bertentangan dengan aqidah Islam. "Adalah amat jelas jika upacara sambutan perayaan bukan Islam mempunyai acara ritual keagamaan bukan Islam, umat Islam tidak boleh menyertai acara tersebut kerana boleh menjejaskan aqidah Islam," katanya dalam kenyataan medianya hari ini. Menurut Mohd Roslan panduan yang boleh diakses melalui laman web rasmi e-fatwa Jakim jelas menyatakan bahawa beberapa kriteria utama perlulah dijadikan garis panduan supaya ia tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Walaupun tidak menyebut secara lansung, kenyataan PUM itu dipercayai ada kaitan dengan tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak yang menghadiri majlis sambutan perayaan Thaipusam di Batu Caves pada 7 Februari lalu. Akur pandangan mufti Beliau yang lengkap berpakaian kurta berwarna kuning muda sambil ditemani isterinya Datin Seri Rosmah Mansor terus mengundang pelbagai bidasan, termasuk dari Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria yang melahirkan rasa terkilan dengan sikap perdana menteri yang didakwa "menggadai akidah". Pada acara Thaipusam tahun ini, gambar perdana menteri juga didirikan setinggi patung berhala di Batu Caves dan pasangan itu dipakaikan kalungan bunga yang amat besar. Menurut PUM, semua pihak yang berautoriti dan mempunyai bidang kuasa agama termasuklah eksekutif, institusi mufti, penasihat agama, agensi agama persekutuan dan negeri, perlulah menyalurkan nasihat dan pandangan yang betul kepada semua pemimpin di negara ini. "Pada masa yang sama, seluruh pemimpin yang beragama Islam dinasihatkan supaya akur dengan pandangan ahli agama tersebut," kata Mohd Roslan. Beliau juga menggesa para pemimpin dan masyakarat bukan Islam supaya turut sama memahami serta menghormati prinsip teras Islam ini yang menjadi pegangan umat Islam. "Pendirian teras ini adalah sebahagian daripada kehendak ajaran agama Islam," katanya sambil menambah semua pihak termasuk para pemimpin serta masyarakat awam supaya lebih sensitif dengan apa jua isu agama khususnya melibatkan aqidah serta syariat Islam. Sebelum ini, perdana menteri terdahulu, termasuk Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Tun Dr Mahathir Mohamad masing-masing menghantar wakil ke sambutan Thaipusam. -mk Ulasan GB Inilah masalah yang berlaku di dalam negara kita apabila mempunyai pemimpin yang jahil terhadap agamanya, kemudian malas untuk membaca panduan dari Ilahi iaitu Al-Quran ditambah pula dengan melimpahnya ulamak us-suuq (ulamak jahat) yang gilakan pangkat, harta dan kuasa, enggan untuk menegur dan menasiahti pemimpin berkenaan. Sedangkan gejala yang berlaku bukan perkara kecil. Ia adalah termasuk di dalam lingkungan boleh "menggadai akidah" iaitu SYIRIK. Allah s.w.t telah berfirman bahawa Dia mengampun dosa-dosa yang lain tetapi tidak dosa syirik. إِنَّ اللّهَ لاَ يَغْفِرُ أَن يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَلِكَ لِمَن يَشَاءُ وَمَن يُشْرِكْ بِاللّهِ فَقَدِ افْتَرَى إِثْماً عَظِيماً "Bahawa sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa seseorang yang syirik kepadanya dan Allah akan mengampunkan kepada sesiapa yang Dia kehendaki iaitu selain dari dosa syirik. Barang siapa yang mempersekutukan Allah, maka sungguh ia telah berbuat dosa yang besar." – (Surah an-Nisa', ayat 48) Dalam surah yang sama, ayat 116, Allah mengulangi kembali dosa besar syirik melalui firman-Nya yang bermaksud: "Bahawa sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa seseorang yang syirik kepadanya dan Allah akan mengampunkan kepada sesiapa yang Dia kehendaki iaitu selain dari dosa syirik. Barang siapa yang mempersekutukan Allah, maka sesungguhnya ia telah tersesat sejauh-jauhnya." Dalam surah Luqman, Allah berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya syirik itu adalah satu kezaliman yang amat besar." – (Surah Luqman, ayat 13) |
Satu Hari Ahmad Maslan Akan "Dibakulsampahkan"! Posted: 13 Feb 2012 07:05 AM PST Ahmad Maslan 'bakul sampahkan' Buku Jingga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan hari ini mencampak Buku Jingga ke dalam tong sampah tanda tidak puas hati terhadap dasar bersama Pakatan Rakyat dalam isu Felda yang dipertikaikannya. Menurutnya, beliau bertindak demikian dalam majlis perjumpaan bersama kepimpinan tanah rancangan itu di Kuala Lumpur hari ini kerana beberapa perkara yang diketengahkan pembangkang didakwa tidak berdasarkan maklumat tepat. Tindakan simbolik itu dibuat di pentas ketika sesi penerangan lebih dua jam kepada pemimpin Felda daripada keseluruhan 317 tanah rancangannya berlangsung hari ini. Malaysiakini dan portal berita Merdeka Review bagaimanapun tidak dibenarkan membuat liputan pada acara itu dan hanya dibenarkan menghadiri sidang media selepas majlis berkenaan. Buku Jingga yang memuatkan tawaran 100 hari sekiranya berjaya menawan Putrajaya antaranya berjanji akan membatalkan Felda Plantations bagi tujuan membuka ladang yang diuruskannya kepada generasi kedua dan ketika Felda. Bercakap dalam sidang media selepas itu, Ahmad yang juga ketua penerangan Umno berkata tindakannya memasukkan Buku Jingga ke dalam tong sampah memang dimaksudkan kerana hujah pembangkang didakwa "amat salah". Bantu keluarga miskin "Pertama, mereka sebut tanah itu milik Felda Plantations. Felda Plantations tak ada tanah. Itu pun dah salah, belum lagi ulasan yang saya sebut (dalam sesi penerangan)," katanya. "Itu sebabnya saya masukkan dalam tong sampah di depan peneroka, sebab mereka tak sudah-sudah pergi bagi borang tanah. Macam mereka ini DO (pegawai daerah). Nak faraid tanah, kononnya tanah Felda Plantations." Sebaliknya, jelas Ahmad, Felda Plantations hanya mengurus dan pemilik sebenar tanah adalah "the big Felda" selepas kerajaan tidak lagi memberikan tanah kepada peneroka pada 1990 supaya ia dapat berdikari dan mendapat keuntungan. "Dan itu sepatutnya bantu keluarga miskin lain. Jadi tanah itu tidak boleh nak serahkan pada anak peneroka. Dan kalau kita beri tanah pada anak peneroka, orang kampung yang ayah dia tak dapat tanah, Cina tak dapat tanah, India tak dapat tanah... "Tiba-tiba nak lagi pada orang yang ada tanah tanah. Adil ke tu? Sebab itu saya campak buku tadi dalam tong sampah," soalnya lagi dengan sinis. Ahmad juga berkata keuntungan Felda juga, antaranya melalui tindakan terbaru untuk menyenaraikannya di Bursa Malaysia pada Mei akan diserahkan kembali kepada rakyat. "Itu jauh lebih baik daripada Buku Jingga dan 'Negara Berkebajikan' PAS yang juga sebut pasal Felda ini," katanya lagi. Ulasan GB Hari ini hari kau Ahmad Maslan. Kau boleh membakul-sampahkan "Buku Jingga" milik Pakatan Rakyat. Perbuatan membakulsampahkan adalah satu tindakan melampaui batas. "Bakul sampah" dan "penyapu" adalah dua lambang kepada sesuatu yang tidak elok, dan setiap perlakuan yang mempermainkan kedua-dua peralatan tersebut, insyaAllah, bakal menerima "suweh"nya. Dahulu GB pernah mengulas mengenai Khir Toyo yang menghadiahkan penyapu kepada PBT. Dan akhirnya, apa yang GB katakan itu menjadi kenyataan, Khir Toyo terkena suweh penyapu tak kunjung sudah. Begitu juga kelompok UG yang mengagungkan Hassan Ali, akhirnya apa berlaku? Hassan Ali dihumban keluar dari parti. Petikan ulasan GB yang terdahulu: Kumpulan UMNO yang dahulunya ber"kepala lembu" kini "bertopeng dan berpenyapu". Tidakkah apa yang GB utarakan di atas TELAH menjadi realiti? Kepada Ahmad Maslan, kita peringatkan jangan angkuh, jangan sombong dan jangan takbur. Kamu sedang menunggu gilirannya! Jangan main-main dengan Hukum kebenaran & Keadilan. |
Skandal NFC: Dakwa Mereka, Bukan Sekadar Pulangkan RM250 Juta Posted: 13 Feb 2012 05:40 AM PST Pulangkan Wang Dana RM250 Juta Tak Semestinya Terlepas Dari Kesalahan - Zuraida PETALING JAYA: Membayar balik wang pinjaman berjumlah RM250 juta tidak sama sekali bermakna melepaskan National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp) daripada dipertanggungjawabkan ke atas krisis yang melanda projek ternakan lembu fidlot itu. Sebaliknya, mereka yang terbabit dengan kes tersebut perlu dihadapkan ke muka pengadilan dan menerima hukuman jika terbukti wujudnya sebarang bentuk penyelewengan ke atas dana yang diberikannya itu. Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR), Zuraida Kamaruddin berkata, adalah tidak wajar melepaskan mereka yang didapati bertanggungjawab ke atas projek itu hanya kerana mereka telah membayar balik pinjaman berkenaan. "Bayar balik memang perlu tapi kalau kesalahan telah dilakukan kita tak boleh membebaskan pelaku-pelakunya," kata beliau. Zuraida berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abd Aziz berhubung isu Pusat Fidlot Nasional (PFN) itu. Mohamed Nazri, pada Ahad, telah dipetik menyeru keluarga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil supaya membayar balik wang dana RM250 juta yang dipinjamkan oleh kerajaan untuk projek PFN. Zuraida yang juga ahli Parlimen Ampang juga kurang bersetuju apabila Mohamed Nazri berkata bahawa Shahrizat tidak perlu meletakkan jawatan apabila telah mengembalikan wang kepada kerajaan. "Saya tak setuju sepenuhnya. Satu 'bahagian' saja dia betul dan saya setuju - bahagian bayar balik RM250 juta," katanya Zuraida. "(Kenyataan) Bayar balik duit seolah-olah membebaskan mereka yang terlibat dan menutup kesalahan," katanya. Isu berkaitan PFN itu menjadi hangat ekoran daripada laporan audit negara mengenai status projek itu dan disusuli dengan dakwaan pembangkang bahawa berlakunya penyelewengan dana PFN yang disalurkan melalui penerajunya iaitu NFCorp dengan pembelian kondominium mewah di Lembah Klang dan juga Singapura. -mstar Bayar balik untuk tutup skandal NFC klik untuk baca |
Lagi Kebakaran Misteri Berlaku Posted: 13 Feb 2012 03:28 AM PST Subang Mas - Tidak sampai tempoh lima hari insiden empat kereta dilaporkan terbakar di pangsapuri Seri Nipah, di sini penduduk di kawasan itu sekali lagi dikejutkan dengan kejadian sama, tetapi kali ini membabitkan sembilan motosikal. Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, lima motosikal hangus, manakala empat lagi sempat diselamatkan orang ramai. Misteri kebakaran itu berlaku masih belum dapat dipastikan, namun penduduk dihantui kebimbangan berhubung kejadian itu. Salah seorang pemilik motosikal, Mohd Zulkarnain Yunus, 26, berkata, dia menyedari kejadian itu apabila terhidu kepulan asap yang memenuhi rumah didiaminya bersama beberapa rakan. Menurutnya, dia kemudian menjenguk menerusi tingkap untuk melihat apa yang berlaku dan terkejut apabila menyedari api marak di tingkat bawah pangsapuri. "Saya segera mengejutkan kawan-kawan serumah dan bingkas bergegas ke tingkat bawah untuk melihat apa yang berlaku. "Memang tidak sangka, motosikal yang digunakan untuk ke tempat kerja setiap hari menjadi mangsa kebakaran sama," katanya. Mohd Zulkarnain berkata, dalam keadaan kelam-kabut itu, orang ramai membantu memadamkan kebakaran yang membabitkan deretan motosikal di tempat letak kenderaan berkenaan. Suasana katanya, agak huru-hara apabila orang ramai cuba mengalihkan beberapa motosikal, bagaimanapun dia gagal menyelamatkan motosikalnya sendiri. Mohd Zulkarnain berkata, dia yang mengetahui kes empat kereta terbakar awal pagi Rabu lalu, sama sekali tidak menyangka akan menerima nasib sama. "Kejadian pagi tadi (semalam) berlaku lebih kurang lima meter dari lokasi empat kereta terbakar dahulu, saya tidak pasti apakah punca kejadian dahulu (Rabu lalu) dan juga kejadian pagi ini (semalam) kerana belum menerima maklumat mengenainya," katanya yang memaklumkan mengalami kerugian RM4,000. Seorang penduduk, Siti Nur Amalina Suadmaji, 19, berkata, jika kejadian sebelum ini kereta abangnya hampir musnah terbakar, kali ini motosikal kakaknya pula menjadi mangsa. "Kakak saya terdengar jiran menjerit-jerit mengatakan motosikal terbakar, lantas dia mengajak saya turun ke tingkat bawah untuk melihat apa yang berlaku. "Apabila tiba di lokasi, kami terkejut melihat motosikal sudah terkena percikan api yang marak, kami cuba mengalihkannya, tetapi bimbang ia meletup," katanya. Siti berkata, atas keprihatinan penduduk lain, motosikal kakaknya dialihkan ke tempat selamat dan hanya mengalami kerosakan ringan. "Insiden ini memang mengejutkan kerana baru sahaja beberapa hari kereta milik abang yang diletakkan di depan kedai runcit yang kami usahakan terbakar, kali ini hampir 10 motosikal termasuk milik kakak pula yang terbakar," katanya. -SH |
[Bergambar & Video] Bantah JKKK Rampas Tanah SRIDB, ADUN Lari Sembunyi Di Resort Posted: 13 Feb 2012 12:55 AM PST DDUNGUN – Seramai kira-kira 1500 orang telah menyertai bantahan aman rampasan tanah Sekolah Rendah Islam Darul Bayan (SRIDB) oleh Jawatankuasa Keselamatandan Kemajuan Kampung (JKKK) yang bermula di hadapan sekolah itu pada jam 12.30 tengahari, Ahad 12 Februari. Himpunan yang bermula dengan perarakan secara berjalan kaki sejauh kira-kira 1.5 kilometer, memakan masa selama 15 minit dan berakhir di hadapan Pejabat Khidmat Masyarakat ADUN Paka. Selain disertai oleh para pelajar, ibu bapa serta simpatisan turut sama, sambil melaungkan slogan 'hidup Islam', 'hancur kezaliman' dan 'kembalikan tanah sekolah kami'. Penasihat SRIDB, Ustaz Satiful Bahri Mamat berkata, himpunan tersebut diadakan bagi mempertahankan hak anak-anak pelajar sekolah dan menunjukkan sikap tidak redha dengan kezaliman yang dilakukan. "Bagaimana tanah yang sedia ada untuk sekolah agama rakyat, milik orang Melayu, untuk agama Islam, sanggup dirampas (sedangkan) mereka berkata, merakalah pejuang agama, merekalah pejuang Melayu, "tidak lain dan tidak bukan (tindakan itu) adalah kerana sifat zalim mereka,"ujarnya ketika berucap pada perhimpunan itu. Menurutnya, tanah tersebut juga adalah hak anak-anak yatim kerana akan pihak pentadbiran akan membina sebuah rumah kebajikan untuk mereka. Katanya, seekar tanah yang terdapat didalamnya dua unit rumah guru, sebuah kantin sekolah dan sebahagian tanah surau sekolah dirampas dan dibahagi-bahagikan kepada lima orang JKKK. Beliau menegaskan pihak sekolah da orang ramai yang hadir akan mempertahankan setiap inci tanah yang dirampas. "kita bagi pihak sekolah dan semua jamaah akan mempertahankan tanah sekolah dan tidak membiarkan kezaliman mereka, "kita tidak akan membiarkan walau seinci tanah pun dirampas,"tegasnya. Malangnya, hasrat mereka untuk menyerahkan memorandum bantahan kepada ADUN Paka Zakaria@ Ariffin Abdullah tidak kesampaian kerana pejabatnya ditutup rapat dan berkunci. ADUN Paka terbabit telah lari meninggalkan pejabatnya dan bersembunyi di sebuah Resort berhampiran. Tinjauan yang dilakukan oleh skuad Buletin pada kira-kira jam 2.15 petang kenderaan rasmi Zakaria yang bernombor pendaftaran TBE 8998 telah diletakkan dihadapan Resort tersebut. Zakaria didapati sedang duduk 'bersantai' di bahagian luar restoran Resort itu, bersama dua orang yang lain. Apabila beliau menyedari kehadiran pihak media, beliau yang pada mulanya menghadap ke dalam restoran, memalingkan badannya, seolah-olah mahu 'menyusup' Selang beberapa minit kemudian, beliau keluar dari Resort terbabit mengikut jalan belakang dan meninggalkan Resort dengan menaiki kenderaannya kira-kira jam 2.25 petang. Sumber Resort memberitahu skuad Buletin, beliau berada di kawasan restoran Resort tersebut sejak jam 1 tengahari, sewaktu para peserta himpunan, membanjiri ruang hadapan pejabat khidmatnya. -BO Kredit Foto: Foto-foto dari blog Ust Saiful Bahri & Buletin Online. Terima kasih. |
"Bayar Balik RM250 Juta Kepada Kerajaan" - Kata Nazri Kepada Shahrizat Posted: 12 Feb 2012 10:49 PM PST Nazri nasihat Shahrizat bayar RM250j KUALA KANGSAR – Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dinasihatkan supaya membayar balik RM250 juta yang dipinjamkan kepada syarikat milik keluarganya untuk menjalankan projek Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC). Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abd Aziz yang menasihatkan demikian berkata, itu adalah penyelesaian terbaik bagi masalah berkenaan tanpa perlu Shahrizat meletak jawatan. "Beliau tak perlu letak jawatan. Apa yang paling utama, kembalikan semula wang itu kepada kerajaan," katanya. Nazri berkata, dengan penyelesaian seperti itu, kerajaan masih boleh meneruskan projek NFC. "Tetapi selepas ini, adalah lebih baik dijalankan secara tender terbuka bagi mengelak masalah hal yang tidak diingini," katanya kepada pemberita selepas melepaskan peserta Larian Ria di pekarangan pejabat Umno Bahagian Padang Rengas di sini, semalam. -SH |
Sekalipun Kelantan Dizalimi Kerajaan Pusat, Kelantan Tetap Bina Lebuhraya Posted: 12 Feb 2012 08:12 PM PST Kelantan bina lebuh raya tanpa bantuan Putrajaya Kerajaan negeri Kelantan akan meneruskan projek pembinaan lebuhraya Kota Bharu- Kuala Krai yang diluluskan oleh kerajaan pusat di bawah Rancangan Malaysia ke-5 (1986-1990) tetapi belum dimulakan sehingga ke hari ini. Dalam satu kenyataan hari ini, Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri Kelantan Datuk Husam Musa berkata tender untuk projek berkenaan dibuka pada 2 Januari lalu dan ditutup pada 9 Februari. Hasilnya, pihak kerajaan negeri telah menerima tawaran dan kertas cadangan dari limayarikat. "Pembinaan lebuhraya sepanjang 73 kilometer yang bertaraf R5 dengansembilan persimpangan bertingkat serta dua buah kawasan Rehat dan Rawat (R&R) dengan tawaran kos sebanyak RM1.5 bilion hingga RM1.8 bilion. "Pemilihan syarikat yang berjaya akan diputuskan oleh majlis mesyuarat kerajaan negeri Kelantan selepas jawatankuasa teknikal dan kewangan menilai cadangan-cadangan tersebut dalam masa terdekat," katanya. Menurut Husam, projek yang dicadangkan oleh kerajaan persekutuan tetapi tidak dilaksanakan itu, sekali lagi diluluskan pada Rancangan Malaysia Kesembilan (2006 -2010). Walaupun, kerajaan BN telah melantik pemaju bagi menguruskan projek berkenaan namun sehingga kini tiada kerja-kerja yang dilakukan. "Memandangkan laluan ini adalah sangat penting bagi kemajuan negeri Kelantan serta kemudahan untuk pengguna terutama sekali pada musim perayaan, kerajaan negeri memutuskan untuk mengambil langkah untuk melaksanakan pembinaan lebuh raya ini melalui inisiatif kerajaan negeri, kata Husam. Sebelum ini, kerajaan negeri Kelantan pimpinan PAS seringkali mendakwa kerajaan pusat mengabaikan ekonomi negeri itu sejak parti Islam itu mengambil pemerintahan negeri ini pada tahun 1990. Bantuan pusat diperincikan Husam berkata beliau berharap dengan tindakan kerajaan negeri harapan rakyat Kelantan untuk mempunyai jaringan pengangkutan yang moden dan selesa akan dapat direalisasikan dalam masa yang terdekat. Sementara itu, di Kota Bharu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata kerajaan pusat akan memperincikan setiap peruntukan yang diberi kepada kerajaan Kelantan itu sejak beberapa tahun lepas agar rakyat mengetahui sejelas-jelasnya mengenai perkara berkenaan. Beliau dipetik Bernama sebagai berkata mengikut kajian yang dilakukan, rakyat Kelantan masih belum mendapat gambaran jelas apa sumbangan kerajaan pusat terhadap kerajaan negeri pimpinan PAS itu dalam membangunkan negeri tersebut selama ini. "Rakyat Kelantan masih tidak mengetahui secara terperinci peruntukan kerajaan Pusat kepada Kelantan selama ini. Ini perkara utama yang kita akan perjelaskan dalam tempoh terdekat. "Untuk pengetahuan setiap tahun lebih 30 peratus peruntukan itu digunakan bagi tujuan perbelanjaan tadbir urus kerajaan negeri dan 70 peratus lagi bagi peruntukan perbelanjaan pembangunan kerajaan negeri dan ini perlu rakyat tahu," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Persekutuan negeri Kelantan di Jabatan Pembangunan Persekutuan di Kota Bharu, hari ini. Mustapa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan berkata rakyat negeri itu juga perlu mengetahui kerajaan pusat telah membina sebuah loji air di Pintu Geng di Kota Bharu dengan kos sebanyak RM52 juta. "Bila siapnya loji ini nanti akan diserahkan kepada Syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) dan hasilnya akan diperolehi syarikat itu yang dibina demi untuk rakyat mendapatkan bekalan air bersih," katanya. Beliau berkata selain itu sebanyak RM100 juta lagi diperuntukkan kerajaan pusat untuk membina jalan-jalan negeri. Menurutnya tindakan memperincikan peruntukan tersebut bukan untuk membangga diri sebaliknya untuk menafikan tohmahan pembangkang kononnya kerajaan pusat berlaku zalim terhadap Kelantan dengan menganaktirikan mereka. Mustapa juga menafikan dakwaan Pakatan Rakyat bahawa kerajaan pusat telah gagal melaksanakan beberapa projek di Kelantan sebaliknya projek berkenaan seperti Jambatan Kedua Sultan Ismail Petra hanya lewat disiapkan dan bukannya gagal. "Kerajaan Pusat sendiri akan pastikan setiap projek yang kita laksanakan tidak gagal tetapi kelewatan yang berlaku ada sebab yang munasabah," katanya. -mk Kenyataan Media :PROJEK PEMBINAAN LEBUHRAYA KOTA BHARU – KUALA KRAI Ulasan GB Sekalipun projek lebuhraya Kota Bharu- Kuala Krai yang diluluskan oleh kerajaan pusat di bawah Rancangan Malaysia ke-5 (1986-1990) tetapi belum dimulakan sehingga ke hari ini dan wang royaltinya dirampas dan dirompak oleh Kerajaan Pusat, namun Kelantan membuktikan, dengan bantuan Allah, ia tetap mampu membangun. Dan apabila ia terlaksana, akan tumbanglah kerajaan pusat yang sepatutnya di bawah konsep "federalisma", menjadi tanggungjawab kerajaan pusat melaksanakan pembangunan tanpa melihat kepada parti apa yang memerintah. Kezaliman dan kekejaman kerajaan pusat terhadap rakyat Kelantan, insyaAllah akan terbalas. Hukum kebenaran dan keadilan akan mengambil tempatnya. Dan GB pernah mengulas di SINI. Petikan: Salah satu sebab yang menyumbang kepada tumbangnya kerajaan Pusat UMNO BN nanti adalah kerana kezaliman mereka menganiaya rakyat Kelantan dengan merompak hasil royalti minyak yang menjadi hak milik rakyat Kelantan. Ya, anak kelahiran Kelantan bersama-sama anak kelahiran Perak yang kerajaannya dirampas dan digulingkan secara tidak demokratik bakal memimpin Putrajaya satu hari nanti! |
You are subscribed to email updates from KELAB GREENBOC To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
No comments:
Post a Comment