SEARCH

Thursday, February 16, 2012

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Gadai Aqidah: Ramai Terkejut Mufti Perak, Harussani Buat Pusingan U

Posted: 15 Feb 2012 05:04 PM PST

Thaipusam: Najib tak langgar hukum syarak, kata Harussani

BANGI - Kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada sambutan Thaipusam di Batu Caves baru-baru ini tidak menyalahi hukum syarak, kata Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria.

Beliau berkata sebagai seorang pemimpin tidak salah untuk Perdana Menteri bersama-sama dengan bangsa lain dalam perkara yang berkaitan dengan adat.

"Sekiranya tiada niat untuk merayakan atau redha dengan perbuatan agama lain tidak mengapa tetapi kalau sama-sama merayakan baru tidak boleh," katanya kepada pemberita selepas perasmian Seminar Profesionalisme Penceramah Agama Umno
Bahagian Pekan 2012 oleh Perdana Menteri di sini hari ini.

Dipetik Bernama hari ini, Harussani yang hadir pada seminar itu berkata, Perdana Menteri memaklumkan kepadanya bahawa beliau hanya berada di dewan untuk menerangkan polisi kerajaan dan tidak terbabit dengan perarakan keagamaan dan tidak masuk ke dalam kuil atau dalam gua Batu Caves.

Mufti Perak itu sebelum ini dipetik sebagai berkata orang Islam yang merestui dan turut serta dalam upacara keagamaan lain melakukan perbuatan syirik.

Mengenai Najib yang memakai Kurta iaitu pakaian tradisional kaum India pada sambutan itu, beliau berkata, ia hanya budaya sahaja kerana orang Islam di India pun memakai pakaian yang sama.

Oleh yang demikian, Mufti Perak itu menasihatkan pihak yang cuba memutarbelitkan isu kehadiran Najib pada sambutan Thaipusam itu supaya menghentikannya kerana mereka membuat tuduhan tanpa usul periksa sehingga boleh
menjadi fitnah.

"Masalahnya dalam keadaan sekarang orang Melayu berpecah, masing-masing mencari peluang untuk menghentam orang lain terutamanya menghentam sesama bangsa, pantang silap sikit.

"Saya harap semua orang kita (Melayu) balik pada asal, balik pada musyawarah... soal politik berbeza itu bukan menjadi masalah," katanya.

Sebaliknya, Harussani lebih kecewa dengan tindakan Pas di Perak semasa majlis sambutan Thaipusam dengan mengadakan gerai dan khemah serta mengibarkan bendera Pas seolah-olah menyokong dan redha dengan orang yang melakukan kufur. -SH

LAPORAN KENYATAAN MUFTI PERAK, HARUSSANI ZAKARIA SEBELUM INI


Najib 'gadai akidah' hadir upacara Thaipusam di Batu Caves, tegas Harussani

KUALA LUMPUR, 10 Feb — Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria melahirkan rasa terkilan dengan sikap Datuk Seri Najib Razak yang "menggadai akidah" apabila hadir dalam upacara keagamaan sempena sambutan perayaan Thaipusam di Batu Caves baru-baru ini.

Tegas Harussani, walaupun sudah ditegur setiap tahun namun perdana menteri itu seolah-olah tidak memandang berat akan kepentingan agama Islam dan akidah.

"Ini perbuatan syirik, saya tidak tahu mengapa jadi macam ini... sedangkan perayaan kaum lain kita tidak boleh sambut ini pula hadir di rumah ibadat mereka.

"Bagaimana boleh terlajak macam ini, sepatutnya perdana menteri wakilkan menteri beragama Hindu untuk menggantikan dirinya... sebab umat Islam tidak boleh terlibat dalam sambutan perayaan agama lain,"
katanya kepada The Malaysian Insider.

Beliau menambah menteri hal ehwal agama Islam atau penasihat agama sepatutnya menasihatkan Najib agar tidak hadir dalam perayaan itu.

"Kita tidak boleh sambut (perayaan agama lain), mereka lakukan upacara keagamaan dan kita sebagai umat Islam tidak boleh hadir... itu upacara ibadat mereka.

"Sebagai perdana menteri, Najib sepatutnya sedar dan menghantar wakil. Saya sudah tegur perkara ini setiap tahun namun tidak dipedulikan," katanya menambah Najib wajar mencontohi sikap perdana menteri terdahulu yang menghantar wakil masing-masing.

Pada 7 Februari lalu, Najib menghadiri sambutan perayaan Thaipusam di Batu Caves selain turut mengumumkan peruntukan awal berjumlah RM2 juta untuk membina pusat kebudayaan di kawasan itu.

Najib yang lengkap berpakaian Kurta berwarna kuning muda ditemani isteri Datin Seri Rosmah Mansor, mengakui gembira untuk turut sama memeriahkan Hari Thaipusam dan ini merupakan kali ketiga beliau mengunjungi Batu Caves sempena perayaan itu sejak 2010.

"Jangan gadai akidah kita, hukumnya syirik apabila kita hadir dalam perayaan mereka seperti kita merestui agama kaum lain... kita sepatutnya menjauhi perbuatan kufur yang boleh merosakkan akidah.

"Perkara ini serius kerana ia masalah akidah, saya wajib tegur... kalau tidak mahu dengar terpulang," kata Harussani menambah tiada halangan sekiranya menghadiri majlis rumah terbuka tetapi bukan upacara keagamaan.
-TMI


Ulasan GB

GB tak mahu ulas panjang. Masing-masing boleh buat penilaian sendiri mengenai dua kenyataan berbeza mufti berkenaan.

Sungguh dasyat.

[Mengejutkan] Sean Stone Peluk Islam Tatkala Barat Menekan Negara Iran

Posted: 15 Feb 2012 03:14 PM PST

Anak pengarah filem Oscar peluk Islam di Iran

KUALA LUMPUR, 15 Feb: Penerbit filem Amerika Syarikat, Sean Stone (gambar), anak kepada pengarah terkenal Oliver Stone, yang pernah memenangi Oscar telah memeluk Islam pada Selasa lalu di Iran, di mana beliau sedang membuat satu dokumentari, lapor AFP.

"Kemasukan ke Islam bukan bermaksud membuang Kristian mahupun Judaism, kepercayaan yang saya dilahirkan dengan. Ia bermaksud saya telah menerima Mohammad dan juga nabi-nabi yang lain," kata beliau dalam satu perbualan telefon ringkas daripada Isfahan, di mana beliau memeluk Islam di pejabat ulama terkenal Ayatullah Mohammad Nasseri Dowlatabadi.

Bapa Sean Stone ialah seorang Yahudi, manakala emaknya ialah seorang Kristian.

Pemuda 27 tahun itu tidak menyatakan mengapa beliau memilih untuk memeluk Islam.

Berdasarkan laporan media Iran, Fars news, Sean Stone telah menjadi seorang Muslim dengan nama pertamanya Ali.

Sean pernah berlakon dalam beberapa filem bapanya, dan pernah mengarah beberapa siri dokumentari.

Tahun lepas, timbul spekulasi hangat bahawa bapa Sean akan merealisasikan cita-citanya untuk membuat sebuah filem blockbuster mengisahkan Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad.

Pengarah kontroversi, yang pernah memenangi tiga Oscar turut berada di republik tersebut mencari lokasi yang sesuai untuk penggambaran.

Pada 2010, seorang ahli personaliti Barat yang popular, wartawan dan juruhebah Britain Lauren Booth, ipar kepada bekas perdana menteri Britain Tony Blair turut memeluk Islam setelah lawatannya ke Iran. -HD



Ulasan GB

Demikian Hukum Kebenaran & Keadilan berjalan.

Tatkala dunia barat sedang menekan negara Iran dengan pelbagai sekatan, tiba-tiba kita dikejutkan dengan berita anak pengarah filem terkenal Oliver Stone iaitu Sean Stone memeluk Islam di negara Iran. (Kerajaan UMNO BN Malaysia turut mengikut telunjuk Barat mengenakan sekatan terhadap iran apabila Malaysia menghentikan bekalan minyak kelapa sawit ke Iran)

Sama kes semasa tragedi 11 September tatkala Islam diberikan liputan hodoh dengan fitnah yang mengaitkan Islam dengan pengganas, tiba-tiba berduyun-duyun masyrakat Barat memeluk Islam selepasnya.

Itu semua ayat-ayat "manzurah" yang diturunkan oleh Allah s.w.t.

..sesungguhnya tiada sesuatupun yang Allah jadikan itu sia-sia....

Kegagalan DEB: UMNO BN Tak Pandang Serius Teguran Raja Muda Perak

Posted: 15 Feb 2012 07:32 AM PST

DEB Gagal: Teguran Istana Takkan Dipeduli Umno/BN

SHAH ALAM, 15 FEB : Kerajaan Umno/BN tidak akan sesekali beri perhatian terhadap sebarang teguran untuk penambaikkan pentadbirannya biarpun teguran tersebut datangnya dari orang kuat istana, ujar Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Idris Ahmad.

Semalam, Raja Muda Negeri Perak, Raja Dr Nazrin Shah menegur kegagalan Dasar Ekonomi Baru (DEB) gagal mencapai sasaran kerana kemungkinan terdapat penyelewengan di peringkat perlaksanaanya.

"Saya sifatkan teguran itu sangat bertepatan. Orang politik sudah lama tegur, Ketua Audit juga selalu dan sekarang orang istana pula yang memberi teguran kepada kerajaan.

"Kita berharap dengan teguran ini dapat membawa penambahbaikkan dalam perlaksanaan dasar kerajaan," tegas Idris yang dihubungi melalui panggilan telefon.

Bagaimanapun beliau meragui teguran ini akan diberi perhatian ekoran segala teguran yang berlandaskan fakta dan angka sekalipun tidak pernah diperduli oleh Umno/BN malah segala teguran itu sering diperlekehkan mereka.

"Sebaliknya kita memerlukan transformasi politik dan juga perubahan sikap di kalangan kepimpinan negara.

"Sebagai contoh pemimpin Pakatan Rakyat telah terbukti dan teruji mentadbir negeri yang diperintah dengan baik," ujar Idris yang turut menjelaskan Pakatan berjaya mentadbir walaupun terdapat kekangan sumber kewangan daripada Kerajaan Pusat.

Idris turut bersetuju dengan kenyataan Raja Dr Nazrin bahawa kegagalan DEB merupakan kesan daripada pemimpin yang tidak amanah mentadbir dana yang seharusnya disalurkan untuk kebaikan dan keuntungan rakyat.

Katanya selain amalan rasuah, amalan kronisme, sogokan dan salah guna kuasa telah menjadi budaya dikalangan pemimpin dan pentadbiran Umno/BN sehingga tidak lagi mampu dibendung.

"Sejak dari RMK1 hingga ke RMK10, kerajaan sudah memperuntukkan kira-kira RM 1.2 trillion dan setiap RMK diberi dana besar untuk membela rakyat yang susah yang kebetulan majoritinya Melayu.

"Malangnya DEB sentiasa gagal akibat pemimpin yang korup. Mereka hanya ingat rakyat menjelang PRU dan selepas menang mereka lupa rakyat dan berpaling mengutamakan kroni-kroni mereka," jelas Idris kesal.

Bagaimanapun, Idris yakin rakyat kini sudah mampu memilih antara pentadbiran yang telus membela rakyat dan kerajaan yang hanya bekerja mengikis harta dan khazanah milik rakyat.

"Kita lihat sahaja negeri Kelantan yang mana pada tahun 1990 berada di tangga ke-dua kedudukan negeri termiskin. Namun kini Kelantan sudah menurun kedudukannya dan menduduki tangga ke-enam.

"Sebaliknya Sabah menduduki tangga teratas diikuti Terengganu walaupun kedua-dua negeri pentadbiran Umno/BN ini kaya dengan sumber hasil bumi petroleumnya," akhiri Idris. -tvsnews


Raja Nazrin: 'DEB tidak berdosa, berdosa pelaksana'

KUALA LUMPUR - Raja Muda Perak Dr Raja Nazrin Shah menyelar sesetengah pihak yang tidak amanah dalam menjalankan Dasar Ekonomi Baru (DEB) sehingga dasar yang baik itu gagal mencapai matlamatnya untuk membantu orang Melayu dan umat Islam.

Baginda bertitah akibat dari sikap itu, matlamat mahu mengimbangkan agihan ekuiti dalam kalangan ummah gagal dicapai dan dasar murni yang diwujudkan kerajaan itu pula dipersalahkan.

"Sedarilah, dasar tersebut tidak berdosa dan tidak pernah melakukan dosa,

yang berdosa adalah di kalangan mereka yang telah melakukan pelbagai penyelewengan di peringkat pelaksanaan. Akibatnya berlaku kerapuhan pegangan hak milik terutama di kalangan individu Melayu, lalu berlaku ketirisan hak milik harta dan ketirisan hak milik urus niaga bernilai tinggi," titah baginda semasa merasmikan Seminar Wakaf: Penjana Pembangunan di Bank Negara Malaysia di sini.

Menurut Raja Nazrin, kajian menunjukkan bahawa hanya enam peratus daripada kekayaan individu Melayu yang sempat sampai ke generasi ketiga dan hanya dua peratus sahaja disambungkan ke generasi seterusnya.

"Pola daya tahan pemilikan ekuiti di kalangan individu yang begitu sementara sifatnya akan memberi impak negatif dalam jangka panjang dan boleh menyebabkan ummah menerima nasib berdagang di bumi sendiri," titah baginda.
Baginda mengesyorkan satu mekanisme yang lebih berkesan perlu ada untuk memberi jaminan bahawa semua pegangan ekuiti Melayu Islam ini tidak begitu cepat terhakis.

Raja Nazrin turut melahirkan rasa kesal kerana ada individu yang bersifat "pagar memakan padi" yang telah menyebabkan beberapa institusi yang diwujudkan kerajaan untuk menjaga kepentingan ummah menghadapi masalah hingga muflis atau terpaksa diselamatkan oleh pemerintah.

"Konsep wakaf korporat difikirkan sebagai satu alternatif yang berpotensi menggantikan kaedah sedia ada. Konsep yang sedang dirintis ini menyuntik pendekatan arus niaga bersandarkan roh Islam... berpegang kepada konsep iman dan
takwa," titah baginda.

Idea wakaf korporat sudah pun tercetus sejak dari beberapa tahun lepas dan pada zaman dahulu ia berperanan sebagai sumber kekuatan ekonomi ummah sehingga ummah tidak perlu terlalu bergantung kepada dana kerajaan sehinggalah akhirnya ia berkubur akibat manipulasi penjajah, titah baginda.

Konsep ini telah dibuktikan kejayaannya di negara ini melalui penubuhan Waqaf An Nur Corporation yang ditubuhkan pada 3 Ogos 2006 yang boleh dijadikan rujukan untuk diterima pakai di peringkat lebih luas.

Menurut Baginda, bagi membolehkan konsep ini berjaya, idea itu perlu diangkat untuk pertimbangan di Persidangan Majlis Raja-Raja, selain mendapat sokongan ulama serta mendapatkan persefahaman di peringkat kerajaan persekutuan dan negeri manakala individu yang dipilih memegang amanah nanti terdiri daripada mereka yang menghayati semangat Fisabilillah.
- Bernama



Ramai Kena Cekup Di Hari Kekasih

Posted: 15 Feb 2012 06:13 AM PST

Johor Bahru – Hasrat kononnya ingin menjadikan Hari Kekasih sebagai hari istimewa bersama pasangan bertukar menjadi mimpi ngeri kepada 102 orang yang dicekup Jabatan Agama Islam Johor (Jaij), malam kelmarin.

Jumlah itu adalah mereka yang ditahan di seluruh negeri ini dalam Operasi (Ops) Kekasih dilakukan Jaij bermula jam 10 malam hingga dua pagi.

Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasaan Jaij, Mohd Zamri Kambari berkata, kesemua mereka ditahan dalam beberapa serbuan di hotel bajet dan tempat awam dan berusia sekitar 18 hingga 40 tahun.

"Daripada jumlah tersebut, 94 orang merupakan rakyat tempatan, tujuh warga Indonesia dan seorang lagi warga Bangladesh," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurut Mohd Zamri, sebanyak 44 pasangan disiasat mengikut Seksyen 27 (1)(a) & (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 kerana berkhalwat.

Katanya, seramai 12 orang pula disiasat mengikut Seksyen 29 enakmen sama kesalahan berkelakuan tidak sopan di tempat awam dan dua di bawah Seksyen 19 enakmen sama kerana meminum minuman memabukkan.

Kesemua yang ditahan telah diambil keterangan sebelum dibebaskan dengan jaminan sementara.

Sementara itu, dalam salah satu operasi yang dijalankan, seorang wanita bagaikan tidak serik apabila dicekup buat kali ketiga di sebuah hotel murah di Taman Puteri Wangsa, di sini, kelmarin.

Wanita berusia 22 tahun yang sebelum ini pernah ditahan dua kali atas kesalahan sama dicekup bersama pasangannya berusia 30-an ketika serbuan dijalankan pada jam 11.30 malam.

Turut ditemui di bilik yang disewa oleh pasangan itu peralatan dan dadah dipercayai jenis syabu. Dalam operasi sama, seorang lelaki hampir pitam apabila bilik yang disewanya diserbu penguatkuasa.

Lelaki berasal dari Kota Tinggi itu kelihatan pucat dan berpeluh-peluh apabilanya dihujani pelbagai soalan daripada pegawai bertugas.

Dalam Ops Kekasih tahun ini, seramai 78 penguatkuasa Jaij terlibat di seluruh daerah negeri Johor. -SH

Menggigil dicekup Jais di hotel

PETALING JAYA - Seorang lelaki menggigil ketakutan ketika dicekup bersama pasangannya oleh penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) di sebuah hotel bajet di sini, dalam operasi bersepadu cegah maksiat sempena Hari Kekasih, awal pagi semalam.

Walaupun bertegas mendakwa mereka adalah suami isteri yang sah, lelaki berusia 20-an itu gagal menunjukkan kad nikah.

Akibat terlalu takut, lelaki itu mengeluarkan kad nama daripada dompetnya sambil tangannya terketar-ketar apabila penguat kuasa meminta menunjukkan kad nikah.

Bagaimanapun, dia memberi alasan tidak membawa kad nikah dan mahu pulang ke rumahnya bagi mengambil kad tersebut.

Jurucakap Jais berkata, sebelum itu, penguat kuasa terpaksa menunggu kira-kira 15 minit sebelum bilik hotel itu dibuka oleh lelaki tersebut dalam serbuan kira-kira jam 2.30 pagi.

Pasangan itu antara enam pasangan kekasih yang ditahan di bilik hotel bajet di sekitar daerah ini.

Selain Jais, operasi bermula jam 1 pagi itu melibatkan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Imigresen, Majlis Bandaraya Petaling Jaya dan polis.

Jurucakap Jais berkata, daripada lebih 10 hotel bajet yang diperiksa, pihaknya menahan enam pasangan berusia lingkungan 20 hingga 30 tahun kerana berdua-duaan dalam bilik tanpa ikatan pernikahan yang sah.

Kesemua pasangan yang ditahan kemudian dibawa pulang ke ibu pejabat Jais untuk disoal siasat mengikut Seksyen 29 Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 kerana berkhalwat.


Pasangan cuba lari elak dicekup

DAMANSARA DAMAI – Cubaan sepasang kekasih cuba melarikan diri tidak kesampaian apabila mereka berjaya dicekup unit cegah maksiat Masjid Al-Muhtadeen dan Biro Keselamatan Apartment Idaman di sebuah hotel bajet awal pagi semalam.

Pasangan berusia 28 dan 24 tahun itu cuba melarikan selepas mendapat tahu hotel tempat mereka menginap diserbu.

Ketika disoal, wanita itu memberikan pelbagai alasan termasuk mengakui lelaki yang datang bukan kekasihnya tetapi kawan yang kebetulan mahu menghantar makanan.

"Saya sepatutnya menginap di rumah rakan, tetapi kerana rumahnya tidak cukup bilik, saya disuruh menyewa hotel,"katanya kepada Sinar Harian.

Sementara lelaki yang bekerja sebagai juruteknik menara telekomunikasi mengaku hanya mahu menghantar makanan.

"Dia bukan teman wanita saya kerana saya datang ke sini untuk tolong beli makanan sahaja,"katanya yang tinggal di Bandar Sri Damansara.

Sementara itu mengulas lanjut mengenai operasi yang dijalankan Imam Masjid Al-Muhtadeen, Ustaz Mohd Fadhil Mohd Nor berkata pemantauan akan terus dibuat di lokasi berisiko menjadi port remaja melakukan maksiat di perumahan itu.

"Kita akan lakukan rondaan tambahan pula semalam ialah sambutan Hari Kekasih, kerana tahun lalu kita berjaya memberkas tujuh pasangan berkhalwat di hotel yang sama,"katanya.



'Hadiah' sempena Hari Kekasih

SEREMBAN - Sepasang kekasih yang asyik bermadu asmara di sebuah hotel sekitar bandar ini, terkejut diserbu oleh anggota penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), awal pagi semalam.

Dalam serbuan kira-kira jam 2 pagi itu, pasangan yang mendakwa dari negeri lain, datang ke Seremban untuk meraikan Hari Kekasih, sebelum mengambil keputusan menginap di sebuah hotel bajet, di sini.

Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Penguat kuasa JHEAINS, Ahmad Husaini Mustafa berkata, pasangan kekasih berusia awal 20-an itu bertemu pada petang kel­marin.

Katanya, selepas menyambut Hari Kekasih pada tengah malamnya, mereka mengambil keputusan menyewa sebuah bilik di salah satu hotel di bandar ini untuk bermalam.

"Semasa pemeriksaan, mereka yang lengkap berpakaian, memberi kerjasama kepada anggota penguat kuasa. Hasil pemeriksaan mendapati, teman lelaki wanita terbabit adalah warganegara Indonesia tetapi memiliki dokumen perjalanan sah," katanya.

Menurutnya, mereka juga menyatakan tujuan sebenar datang ke bandar ini adalah untuk mencari kerja kerana tidak mahu berjauhan.

Dalam pada itu, pada Ahad lalu, dua anggota lelaki dari sebuah unit beruniform ditahan kerana disyaki berkhalwat dengan pasangannya di dua lokasi berlainan.

Semua pasangan, berusia 20 dan 30-an itu, berdua-duaan, sekitar jam 3 hingga 5 pagi di Port Dickson dan juga Seremban.

"Semua kes akan disiasat mengikut Seksyen 61 (1) Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992," katanya.

SEMENTARA ITU DI BANDARAYA MELAKA, bagi mencegah pasangan Islam meraikan Hari Kekasih dan melakukan maksiat, Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) melakukan pemantauan di kawasan tumpuan orang ramai di negeri ini bermula lewat malam, kelmarin.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Agama Jaim, Rahimin Bani berkata, pemantauan membabitkan lapan lokasi dalam operasi selama tiga jam, bermula jam 11 pagi itu.

"Bagaimanapun, keba­nyakan pengunjung melarikan diri selepas melihat kami membuat rondaan. Antara lokasi yang dipantau adalah Pantai Crystal Bay, kawasan tambak Padang Temu, Kampung Portugis, Pantai Klebang, Pantai Puteri, Dataran Pahlawan, Pantai Marina Bay dan Pulau Melaka," katanya, semalam.

Menurutnya, menerusi pemantauan di Pantai Klebang mendapati, banyak kenderaan diparkir, dipercayai untuk melakukan maksiat.

"Namun, sejurus kenderaan kami tiba, semua pemandu terbabit beredar dari kawasan berkenaan," katanya, di sini, semalam.

"Ada juga kawasan yang lengang dan hanya terdapat pengunjung yang memancing di tepi pantai," katanya.


[Video] Lelaki Iran Cedera Dalam Serangan Bom Di Thailand

Posted: 15 Feb 2012 03:46 AM PST

Bangkok: Seorang lelaki warga Iran yang membawa bom tangan cedera dan empat orang awam turut cedera dalam tiga letupan yang menggegarkan sebuah kejiranan di ibu kota Thailand itu, semalam.

Bangkok berada dalam keadaan berjaga-jaga sejak bulan lalu apabila Amerika Syarikat mengeluarkan amaran mengenai ancaman pengganas di kawasan yang sering dikunjungi pelancong.

Namun, pihak berkuasa masih belum dapat memastikan jika insiden semalam ada kaitan dengan amaran Amerika itu.

Tiga lelaki dilihat melarikan diri setelah sebuah rumah di Sukhumvit Road, di timur Bangkok, meletup.

Skuad pemusnah bom bergegas ke kawasan itu dan melihat tiga lelaki melarikan diri dan seorang daripada mereka melontar bom ke arah sebuah teksi.

'Dia cuba menahan teksi tetapi memandangkan dia berlumuran darah, pemandu teksi tidak mahu berhenti,' kata Jeneral Polis, Pansiri Prapawat.

Lelaki itu kemudian cuba melempar sebutir bom ke arah polis, menyebabkan satu lagi letupan berlaku di tepi sebatang jalan yang sibuk.

Menurut pihak berkuasa, akibat letupan itu, sebelah kaki lelaki, yang dipercayai warga Iran itu hancur dan empat orang awam- tiga lelaki dan seorang wanita Thai - turut tercedera.

Letupan di Bangkok itu berlaku sehari setelah sebuah kereta diplomatik Israel dibom di India - serangan yang menurut Israel dilakukan Iran.

Pihak berkuasa Thailand mengatakan mereka tidak pasti jika kedua-dua insiden itu ada kaitan antara satu dengan lain, namun jurucakap Kementerian Luar Israel, Encik Yigal Palmor, berkata mereka tidak dapat menolak kemungkinannya.

Pasukan keselamatan Thailand menemui lebih banyak bahan letupan di sebuah rumah, yang didiami lelaki Iran itu ketika di Bangkok.

Tapi, kata Jeneral Pansiri, mereka tidak dapat pastikan apakah sasaran sebenar kumpulan itu.

Menurutnya lagi, sebuah pasport ditemui di salah satu lokasi letupan dan menunjukkan pengebom sebagai Saeid Moradi dari Iran.

Tambahnya, pihaknya percaya letupan pertama, yang memusnahkan sebahagian bumbung rumah Moradi, berlaku secara tidak sengaja.

Lelaki itu dan mereka yang cedera, kini dirawat di hospital.

Seorang lelaki Iran turut ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi, malam semalam sedang dia cuba berlepas ke Malaysia.

Lelaki itu masih disoal siasat dan pembabitannya dalam insiden letupan semalam masih belum dapat dipastikan. -- AFP, AP.



Diperangkap Teman lelaki

Posted: 15 Feb 2012 02:49 AM PST

Melaka - Gara-gara sayangkan kekasih, seorang gadis terpaksa meringkuk dalam penjara selepas diperangkap teman lelakinya sendiri atas kesalahan mengeluarkan cek palsu.

Joanna (bukan nama sebenar), 25, diperdayakan teman lelaki yang baru dikenalinya di Johor Bahru menerusi seorang teman pada 2009 sehingga tidak menyedari nama dan MyKadnya digunakan untuk mengeluarkan lima keping cek palsu berjumlah RM20,000 setahun kemudian.

Menurut Joanna, wang tersebut dikatakan untuk menjamin tiga rakan kepada teman lelakinya yang ditahan polis akibat satu kesalahan undang-undang.

"Ketika itu di Johor Bahru, dia menggunakan nama dan MyKad saya untuk diletakkan dalam cek bagi membayar jaminan rakannya itu. Pada masa itu, saya tidak mencurigai tindakannya, sebelum dimaklumkan bahawa cek tersebut sebenarnya palsu," katanya.

Joanna berkata demikian semasa ditemui Sinar Harian pada Majlis Jalinan Kasih di Kompleks Penjara Sungai Udang, dekat sini.

Joanna berkata, akibat tindakan teman lelakinya itu, dia terpaksa menerima hukuman penjara lima tahun selepas didapati bersalah ketika dihadapkan ke mahkamah.

"Buntu fikiran saya apabila mengenangkan apa yang dilakukan teman lelaki saya itu. Saya tidak ada bukti untuk mendakwa cek itu bukan saya lakukan. Bagaimanapun, teman lelaki saya sedikit pun tidak rasa bersalah dengan apa dilakukan kepada saya selepas saya didakwa di mahkamah," katanya.

Joanna yang merupakan anak sulung dari empat beradik yang juga mempunyai seorang kembar lelaki juga mengakui langsung tidak mengenali tiga rakan teman lelaki yang dijaminnya itu.

"Sepanjang kira-kira setahun saya mengenalinya, saya tidak pernah kenal mana-mana rakannya. Malah, dia akan kawal setiap pergerakan saya walaupun apabila saya hendak ke tempat kerja di sebuah kilang di Singapura," katanya.

Menurutnya, pada awal perkenalan, teman lelakinya itu tidak pernah menunjukkan sikap panas baran. Bagaimanapun, keadaan berubah kira-kira tiga bulan selepas itu apabila sering melenting dan berselisih faham.

"Namun, saya buta kerana menyayanginya tanpa merasakan diri saya dalam bahaya," katanya.

Joanna kini terpaksa menghabiskan dua tahun lagi dalam penjara berkenaan mengakui menyesal dan sedar dengan kesilapan diri serta mahu keluar nanti dengan semangat kehidupan baru.

Dia turut menasihatkan orang ramai terutama anak-anak gadis berhati-hati berkawan supaya tidak terjerumus dengan situasi seperti itu hanya disebabkan terlalu sayangkan teman lelaki sehingga tidak menyedari akhirnya diperangkap.

"Mujur keluarga saya tidak pernah meminggirkan saya kerana mereka percaya saya tidak sejahat itu," katanya. -SH

Abdullah Ali Sertai PAS, UMNO Pula Bakal Buru Pemain Bolasepak Selepas Ini

Posted: 15 Feb 2012 12:12 AM PST

Lagenda bola sepak negara, Abdullah Ali sertai PAS

KOTA BHARU, 14 Feb: Lagenda bola sepak negara, Abdullah Ali, 57, hari ini menyerahkan borang permohonan keahlian PAS kepada Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, pada majlis ringkas di sini sebentar tadi.

Anak kelahiran Bukit Payong, Kuala Terengganu itu hari ini mengisytiharkan secara rasmi untuk menyertai PAS memandangkan parti itu satu-satunya yang memperjuangkan Islam.

Hadir pada majlis itu, Yang Dipertua PAS Kawasan Kota Bharu, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah, Timbalan Setiausaha Agung PAS Pusat, Datuk Takiyuddin Hassan di JKR 10. Pemimpin PAS Terengganu yang turut hadir meraikan penyertaan Abdullah itu ialah timbalan-timbalan pesuruhjaya, Muhyiddin Abdul Rashid dan Dr Alias Razak, bendahari dan ketua penerangan, M Shukrimun Shamsudin dan Ustaz Nik Muhammad Zawawi Salleh.

Selain Abdullah, turut menyerahkan borang keahlian lagenda bola sepak Kelantan yang juga pemain Olimpik 1972, Salleh Ibrahim dan Kamarudin Abdullah yang juga pemain kebangsaan.

Abdullah yang juga bekas Pengurus Petronas (Dagangan), berkata dengan rasuah, ketidakdilan yang berlaku dan kerajaan yang dipimpin Umno dan BN tidak ada sebab untuknya menyertai parti itu.

"Saya yakin dengan perjuangan PAS yang memperjuangkan Islam, dengan dasar perjuangannya, dengan model yang ditonjolkan oleh pemimpinnya membuatkan saya yakin inilah parti yang wajar diberi sokongan," ujarnya.

Abdullah juga turut berhasrat untuk turun berkempen pada pilihanraya umum nanti di seluruh negara sekiranya beliau diperlukan oleh parti.

"Insyaallah saya bersedia turun membantu untuk berkempen," ujarnya.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, melahirkan rasa syukur dengan penyertaan lagenda bola sepak negara itu untuk menyertai PAS.

Tuan Guru berharap, semoga dengan penyertaan Abdullah Ali akan lebih ramai lagi yang akan menyertai PAS memandangkan tidak ada sebab rakyat di negara ini menolak perjuangan yang berlandaskan Islam itu.

"Saya benar-benar berbangga dan bersyukur," ujarnya sambil tersenyum.

Abdullah menyertai ahli PAS seumur hidup dan borang keahliannya diserahkan terus kepada Takiyuddin untuk diurus segera di peringkat PAS Pusat.

"Insya Allah bulan hadapan permohonan ini akan selesai," ujarnya ketika ditemui pada majlis itu. -HD

Ulasan GB

UMNO tidak boleh senang duduk dengan berita di atas.

Selepas ini, sama seperti kes selebriti menyertai PAS, akan berlaku pula beberapa pemain bolasepak akan diburu UMNO untuk buat perisytiharan besar-besaran mereka telah menyertai UMNO untuk lawan berita Abdullah Ali dan beberapa pemain bolasepak kebangsaan sertai PAS.

MIMOS Dapati 200,000 Pengundi Mencurigakan Di dalam Daftar Pemilih

Posted: 14 Feb 2012 10:05 PM PST

Semakan audit dapati lebih 200 ribu pengundi diragui

Jawatankuasa Pilihan Parlimen (PSC) mengenai pembaharuan sistem pilihan raya di negara ini dimaklumkan bahawa semakan audit yang dijalankan ke atas daftar pemilih mendedahkan wujudnya jumlah amat besar pengundi yang meragukan.

Mimos Bhd, sebuah syarikat teknologi milik penuh kerajaan yang membuat semakan audit itu pada taklimatnya kepada PSC berkata terdapat sekurang-kurangnya 230,000 pengundi yang mencurigakan.

Menurut ahli PSC Anthony Loke, taklimat telah diberikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Mimos, Abdul Wahab Abdullah semasa mesyuarat dua jam, semalam.

Turut hadir semasa mesyuarat dan taklimat berkenaan adalah pengerusi PSC Datuk Seri Maximus Johnity Ongkili.

Loke berkata Mimos pada taklimatnya memberitahu pihaknya mengesan 820 kes di mana terdapat lebih daripada 100 pengundi yang menetap di alamat yang sama.

"Selain itu, kami mendapati 1,259 kes di mana antara 51-100 pengundi tinggal di alamat yang sama, 3,254 kes di mana terdapat antara 21-50 pengundi tinggal di alamat sama, dan 6,002 kes yang melibatkan antara 11 hingga 20 pengundi di rumah sama.

"Tempat-tempat ini termasuk kem tentera," katanya kepada Malaysiakini.

Turut dipertikaikan adalah alamat yang mencurigakan di mana pengundi didaftar dengan alamat yang tidak lengkap ataupun tidak sah. Sebagai contoh, katanya: "Tiada alamat atau rumah 62, Lembah Pantai dan E6, Seputeh".

Menurut Loke, PSC telah memberikan Mimos tempoh dua minggu untuk menjalankan semakan dengan Jabatan Pendaftaran Negara dan Suruhanjaya Pilihan Raya bagi mengemaskini nama-nama dan alamat mencurigakan itu.

"PSC itu tidak bincang lanjut bagaimana untuk membetulkan perkara itu dan Mimos akan kembali dalam masa dua minggu," katanya.

Belum boleh bubar parlimen

Memandangkan jumlah pengundi yang meragukan sebegitu ramai, Loke berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak perlu memastikan daaftar pemilih dibersihkan sebelum beliau membubarkan parlimen supaya pilihan raya umum dapat diadakan.

Pemimpin DAP itu berkata Mimos turut mengenal pasti 785 polis dan anggota tentera yang berdaftar sebagai pengundi pos dan pada masa yang sama, juga sebagai pengundi biasa.

Semasa laporan awal PSC dibentangkan pada Disember, selepas jawatankuasa itu mengadakan beberapa pendengaran awam, mereka telah membuat beberapa cadangan, termasuk semakan audit pengundi.

Mimos kemudian ditugaskan untuk memeriksa daftar pemilih bagi mengesan nama atau kad pengenalan yang sama ataupun bertindih, pengundi berusia lebih 100 tahun dan mengesahkan butiran pengundi dengan pangkalan data dari agensi-agensi kerajaan yang lain.

Loke juga mendedahkan bahawa Mimos berjaya mengesan 22,076 pemilih berdaftar yang berumur lebih 90 tahun. -mk

Ulasan GB

GB sudah nyatakankan sebelum ini bahawa bukan sahaja daftar pemilih perlu dibersihkan malah SPR dan JPN perlu dibawa ke muka pengadilan akibat dari berlakunya penyelewengan dan salahlaku yang ketara di dalam daftar pemilih. Petikan:

Perkara pokok yang perlu dilaksanakan sekarang ialah daftar pemilih yang meragukan itu perlu dibersihkan.

Dan di dalam waktu yang sama sebuah Suruhanjaya Siasatan perlu dilakukan untuk menyiasat SPR dan JPN yang sudah tercemar dengan pelbagai konspirasi dan salah-laku.

Yang bersalah perlu didakwa dan dihukum seadil-adilnya sebelum rakyat bangkit secara menyeluruh menuntut kebenaran dan keadilan dilaksanakan.



Laporan sebelum ini
klik untuk baca




Mayat Melekat Pada Mesin Melentur Logam

Posted: 14 Feb 2012 07:52 PM PST

Kuching: Seorang pekerja kilang keluli mati dalam keadaan mengerikan apabila kepala dan tangan kirinya hancur akibat terperosok dalam mesin melentur logam di sebuah kilang di Jalan Datuk Stephen Yong, di sini, semalam.

Mayat Hamid Bujang, 32, dari Kampung Tanah Putih, Serian, ditemui rakan sekerjanya yang curiga apabila ternampak satu 'objek' melekat pada mesin berkenaan ketika mahu memulakan kerja, kira-kira jam 6 pagi.

Difahamkan, ketika kejadian mangsa dipercayai cuba membengkok besi tanpa menyedari kepala serta tangannya terlalu dekat dengan mesin berkenaan.

Rakan mangsa yang enggan dikenali berkata, selepas ternampak mangsa tersangkut pada mesin dalam keadaan tidak sedarkan diri, dia segera menutup suis mesin berkenaan, namun usahanya terlambat kerana mangsa sudah meninggal dunia.

"Dia (Hamid) berpengalaman lebih 10 tahun bekerja dan mengendalikan mesin di kilang ini. Kebiasaannya, ada beberapa pekerja lain ditugaskan mengendali mesin di kilang ini, tetapi pada hari kejadian, hanya dia seorang saja yang bekerja.

"Terkejut dengan kejadian itu, saya kemudian menghubungi Hospital Umum Sarawak (HUS) bagi mendapatkan bantuan," katanya ketika ditemui Harian Metro, semalam.

Sepasukan anggota polis turut bergegas ke tempat kejadian sebaik dimaklumkan mengenai kejadian itu bagi menjalankan siasatan.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Roslan Bek Ahmad ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan kejadian itu.

Beliau berkata, mangsa yang sudah berkahwin disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke HUS untuk bedah siasat.

"Keluarga mangsa sudah dimaklumkan mengenai kejadian itu dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya. -hm



No comments: